Jumaat, 2 Disember 2022 | 12:25pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Anggota Kabinet perlu tunjuk teladan urus kementerian

Teguran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya Kabinet bakal diumumkan mengurangkan campur tangan politik dalam pentadbiran bertepatan, ter- utama mengurangkan risiko dan gangguan dalam urusan kerajaan.

Campur tangan politik dalam pentadbiran bukan baharu, bahkan pernah berlaku penjawat awam terpaksa berdepan dengan arahan menteri bertentangan prosedur dan pekeliling kerajaan.

Penjawat awam berdepan situasi sebegini sering mengeluh kerana jika ingkar arahan, mereka akan menghadapi tindakan seperti ditukar tempat kerja atau tidak dinaikkan pangkat. Jika patuh arahan terbabit, mereka pasti akan dikenakan tindakan tatatertib sekiranya apa dilaksanakan bertentangan peraturan dan pekeliling perkhidmatan awam.

Justeru, keadaan ini menyebabkan perkhidmatan awam terdedah dengan pelbagai risiko. Walaupun penjawat awam sering diberi nasihat untuk tidak mematuhi arahan daripada menteri jika melanggar peraturan kerajaan, tidak ramai berani ingkar dengan arahan pihak atasan.

Oleh itu, amaran Perdana Menteri menjadi mesej jelas kepada semua anggota Kabinet untuk memahami peraturan dalam perkhidmatan awam. Sebarang arahan bertentangan dengan pekeliling perkhidmatan awam, mestilah dielakkan, terutama berkaitan perolehan tender kerajaan.

Risiko terdedah dengan elemen rasuah dan salah laku adalah tinggi jika arahan itu membabitkan pembelian atau pemberian dan perolehan tender kerajaan.

Ketika kerajaan komited membasmi amalan rasuah, sebarang elemen mengundang pelanggaran peraturan kerajaan dan ketirisan aset negara perlu dibanteras dari awal.

Proses tender terbuka 

Dalam ucapan awal Perdana Menteri di hadapan kakitangan Jabatan Perdana Menteri (JPM), Anwar menggariskan semua perolehan kerajaan perlu dibuat melalui proses tender terbuka.

Arahan berkuat kuasa serta-merta adalah satu tindakan sangat baik kerana proses perolehan secara tender akan mengurangkan risiko rasuah. Laporan audit tahunan sebelum ini sering mendedahkan bagaimana kerajaan kerugian berjuta ringgit akibat perolehan dibuat secara rundingan terus.

Kaedah pemberian perolehan secara terus juga memudahkan campur tangan politik dalam pemberian sesuatu projek kerajaan. Amalan ini juga mendedahkan penjawat awam terbabit secara langsung dalam pemberian projek kepada amalan rasuah dan salah laku.

Terdapat banyak kes salah laku dan rasuah dalam kalangan penjawat awam terbabit dalam pemberian projek secara terus kepada pihak mempunyai kepentingan dengan mereka.

Justeru, arahan Perdana Menteri supaya semua perolehan kerajaan dibuat secara tender akan meningkatkan lagi urus tadbir baik dalam kerajaan.

Lebih utama, amalan sebegini akan mengurangkan ketirisan wang negara dan seterusnya dapat memastikan setiap wang rakyat akan digunakan secara berhemat dan bertanggungjawab.

Ketika negara berdepan kemelesetan ekonomi dunia dan peningkatan inflasi, pemimpin perlu berhemat dalam membelanjakan wang negara.

Adalah menjadi kewajipan semua anggota Kabinet menunjukkan contoh dan teladan dalam menguruskan kementerian. Pematuhan terhadap peraturan dan undang-undang, terutama dalam pentadbiran sangat diperlukan, terutama dalam meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap kepemimpinan negara.

Sebarang elemen campur tangan politik dalam pentadbiran boleh membuka ruang untuk jenayah rasuah dan salah laku perlu dihindarkan.

Setiap perbelanjaan negara perlu dibuat berhemat dan amalan penjimatan perlu dilaksanakan menyeluruh. Jika prinsip urus tadbir baik dalam kerajaan dimulai anggota Kabinet, perkhidmatan awam akan lebih berdaya saing dan produktif.

Rakyat amat berharap supaya anggota Kabinet yang akan dilantik adalah dalam kalangan mereka berintegriti, bersih, bertanggungjawab dan mampu mengurus negara dengan baik.

Jika ekonomi dan aset negara diuruskan dengan berhemat, rakyat pasti akan mendapat kebaikan hasil daripada kebijaksanaan pemimpin negara menguruskan negara dengan baik.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) dan Ketua Kluster Tadbir Urus dan Integriti, Majlis Profesor Universiti Utara Malaysia (UUM)

Berita Harian X