Sudah 12 hari Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri bagi mengemudi Kerajaan Perpaduan seperti dititahkan Yang di-Pertuan Agong.
Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bersama Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengambil tanggungjawab menubuhkan kerajaan, manakala Perikatan Nasional (PN) bertegas menjadi pembangkang bertanggungjawab sebagai ejen semak dan imbang.
Kerajaan Perpaduan digagaskan Yang di-Pertuan Agong adalah atas kesedaran baginda bahawa semua pihak yang menang tidak menang semua dan yang kalah tidak kalah semua.
Seruan Seri Paduka ke arah mewujudkan kerajaan itu adalah bagaikan biduk lalu kiambang bertaut, hulurkan tangan bagi merapatkan semula saf semua ahli Dewan Rakyat demi masa hadapan negara tercinta.
Tegas Tuanku, negara ini umpama harta pusaka dengan pemimpin adalah pemegang amanah perlu dijaga kerana bakal diwarisi generasi muda yang akan membawa negara terus maju ke mercu kejayaan.
Sudah tiba masanya ahli Dewan Rakyat dipilih rakyat, mempamerkan solidariti dengan memberikan keutamaan, komitmen tinggi dan perkhidmatan terbaik kepada mereka.
Namun bak bidalan Melayu, rumah siap pahat masih berbunyi, begitulah keadaan senario politik ketika ini apabila saban hari di media sosial terutamanya, kita membaca pemimpin PN menyatakan rasa tidak puas hati dengan pembentukan kerajaan ini.
Sepatutnya mereka mengambil peluang membentuk kerajaan idaman bersama PH apabila BN sudah bersiap sedia untuk menjadi pembangkang berwibawa. Namun, sayangnya hal itu tidak berlaku.
Mereka sebaliknya mempertikaikan keabsahan Anwar sebagai Perdana Menteri, selain mengasak peribadi, bahkan paling dahsyat menuduh sebagai ejen Israel, selain mendakwa kerajaan ini minoriti, bukannya kerajaan perpaduan.
Main sentimen perkauman
Mujur Anwar sedia membawa usul undi percaya pada Sidang Dewan Rakyat dijadualkan pada 19 Disember ini. Sentimen perkauman turut dimainkan dengan menyatakan kononnya kerajaan ini dikuasai DAP.
Namun, angka menyangkal kenyataan itu. Faktanya, Kerajaan Perpaduan didominasi oleh 73 Ahli Parlimen Melayu Islam. Pecahannya ialah 26 Ahli Parlimen BN; PKR (18); GPS (11); Parti Amanah Negara (AMANAH) (lapan); GRS (tiga); Parti Warisan (tiga); DAP (tiga) dan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) (satu). Barisan pembangkang daripada PN pula mempunyai 72 Ahli Parlimen Melayu Islam.
Oleh itu, menjadi kewajipan semua 73 Ahli Parlimen Melayu Islam ini memastikan Kerajaan Perpaduan dipayungi Islam, Melayu dan Raja-Raja, manakala 72 daripada PN mesti menjadi pembangkang melaksanakan semak dan imbang.
Di sinilah letaknya tanggungjawab pemimpin parti dalam usaha menjayakan hasrat Yang di-Pertuan Agong itu. Menjadi kewajipan semua pemimpin untuk memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat.
Tidak dapat dinafikan pastinya wujud perbezaan cara fikir dan ideologi terutama membabitkan politik. Perbezaan ilmu dan kefahaman menjadikan manusia sentiasa berbeza. Malah Islam mengiktiraf kepelbagaian agama anutan manusia meskipun menegaskan agama benar di sisi Allah hanyalah Islam.
Justeru, seseorang pemimpin perlu mencari titik persamaan dalam kepelbagaian yang ada ketika ini. Perbezaan dikecilkan jurangnya dan kesepakatan diperbesarkan saiznya. Di situlah letaknya nilai kebijaksanaan pemimpin.
Pemimpin baik dan hebat adalah individu mampu mencantum bukan mencarik, menyatukan bukan memecahbelahkan dalam kepelbagaian rencam identiti rakyat.
Semua pemimpin politik pasca PRU-15 mesti bergerak ke hadapan menyatukan umat. Jangan diapi-apikan dengan pelbagai sentimen keagamaan dan perkauman kerana sekali perpaduan rakyat koyak dan rabak sangat sukar untuk dipertautkan.
Islam agama damai bukannya agama kekecohan dan pertembungan.
Kita mungkin benar tetapi jangan menafikan kebenaran yang barangkali dibawa orang lain. Kalau kita baik, jangan pula menganggap orang lain jahat. Bersangka buruk sesama Muslim itu sendiri pun sudah menjadi satu kejahatan.
Usah berasa diri sendiri suci, tidak melakukan kesalahan, manakala orang lain pula penuh kekotoran. Berpada-padalah, buatlah kebaikan dan berlumba-lumba melakukan kebaikan seterusnya serahkan nilaiannya kepada Allah SWT.
Bekas Ahli Parlimen Kuala Nerus