Sebagai bekas pengamal media dan pengguna tegar media sosial khususnya Twitter, saya melihat apa berlaku pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) adalah luar daripada kebiasaan bagi landskap media di negara ini.
Pada liputan pilihan raya terdahulu, terutama bermula 2008, media sosial menggantikan media arus perdana sebagai wadah utama untuk mendapatkan maklumat terkini, pelbagai maklumat dan tidak berat sebelah berkaitan politik serta isu semasa. Media sosial menjadi platform terbuka dan tidak dikawal mana-mana pihak.
PRU14 pada 2018 khususnya memperlihatkan bagaimana pihak pembangkang ketika itu, dengan hanya menggunakan Facebook dan Twitter sebagai platform berkempen, mampu mengalahkan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang mempunyai sokongan hampir semua media arus perdana.
Kehadiran media sosial sejak 2008 menyebabkan kredibiliti media arus perdana seperti akhbar dan stesen televisyen semakin merudum kerana ia dilihat sebagai berat sebelah serta hanya memberikan liputan terhadap satu pihak sahaja.
Bagaimanapun, perkara sebaliknya berlaku pada PRU15. Jika dilihat di media sosial terutama di Twitter dan TikTok, maklumat trending dan tular lebih kepada menyokong kepada sesuatu parti, pakatan atau sebelah pihak sahaja.
Di Twitter, maklumat menjadi trending lebih cenderung kepada sokongan terhadap Pakatan Harapan (PH), manakala di TikTok, video dan klip tular lebih menyokong kepada Perikatan Nasional (PN).
Di Facebook yang menjadi laman separa peribadi, apa yang muncul di timeline pengguna masing-masing bergantung kepada kecenderungan maklumat ingin dilihat dan tingkah laku dalam talian rakan masing-masing.
Media sosial di Malaysia pada PRU15 menjadi echo chamber atau ruang gema yang seseorang hanya menemui maklumat atau pendapat mencerminkan dan menguatkan pandangan mereka sendiri.
Liputan seimbang media arus perdana
Menariknya, liputan media arus perdana yang dahulu lebih dianggap sebagai echo chamber berubah dengan agak drastik.
Kebanyakan penyedia berita arus perdana seperti BH dan berita televisyen, sama ada secara dalam talian atau luar talian memberikan liputan kepada kedua-dua belah pihak sama ada parti kerajaan atau parti pembangkang.
Contohnya, kita dapat membaca laporan akhbar arus perdana berkenaan bukan sahaja sorotan kepada PH, Barisan Nasional (BN) dan PN, bahkan kepada gabungan lebih baharu seperti Gerakan Tanah Air (GTA) diberikan dengan lebih adil serta tidak semata-mata bersifat negatif seperti dahulu.
Ini satu perkembangan sangat menarik bagi landskap media di negara ini kerana sejak berdekad-dekad lamanya, media arus perdana dianggap sebagai alat bagi pihak kerajaan dan parti politik untuk menyampaikan maklumat berkaitan ideologi mereka. Hasilnya, media arus perdana dikawal dan dikekang melalui pelbagai akta dan jenis pemilikan.
Ini menyebabkan sebelum ini media di negara ini tidak menjalankan tugas masing-masing yang sepatutnya menjadi tulang belakang kepada sistem demokrasi dan menjadi bebas, profesional dan bertanggungjawab serta menjadi wadah kepada penyampaian maklumat berfakta, mengkritik secara membina dan merangsang perdebatan.
Perubahan drastik terhadap landskap media arus perdana di negara ini bermula sejak perubahan kerajaan pada 2018 dengan skor Indeks Kebebasan Media Dunia bagi Malaysia mencatat peningkatan mendadak dengan lonjakan 22 anak tangga kepada kedudukan 101 untuk 2020. Namun pada 2021, kedudukan Malaysia menurun sedikit kepada kedudukan 119.
Diharapkan dengan perubahan kerajaan baharu di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, media arus perdana di negara ini akan terus dapat menjalankan tanggungjawab dengan efektif sebagai wadah dipercayai, bertanggungjawab dan memastikan fakta tepat untuk rakyat membuat keputusan bagi sesuatu perkara.
Ini amat penting agar media arus perdana seperti akhbar BH dapat saling melengkapi bagi platform media sosial yang dilihat lebih terpisah dan berat sebelah kepada sesuatu pihak sahaja.
Dekan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)