Laluan maritim khasnya Laut China Selatan yang turut menjadi perairan penting Malaysia adalah samudera paling penting di dunia. Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCTAD) menganggarkan AS$3.37 trilion atau 21 peratus daripada perdagangan global, transit melalui Laut China Selatan pada 2016.
Namun dalam tempoh sedekad ini, pelbagai isu sensitif dan keselamatan melatari Laut China Selatan terutama membabitkan soalan tuntutan hak serta kedaulatan maritim membabitkan beberapa negara termasuk Malaysia sehingga menimbulkan krisis diplomasi antarabangsa.
Isu Laut China Selatan bukan satu isu kecil. Terdapat tujuh pihak menuntut hak dan kedaulatan Laut China Selatan iaitu China, Brunei, Indonesia, Malaysia, Filipina, Taiwan dan Vietnam. Selain China, negara paling bergantung kepada Laut China Selatan ialah Vietnam, Singapura, Indonesia, Jepun dan Korea Selatan.
Oleh itu, penting untuk Kerajaan Perpaduan yang baru terbentuk ini terus membuktikan dan menunjukkan ia peka serta cakna soal keselamatan dan kedaulatan negara di Laut China Selatan.
Dalam hal ini, pentadbiran baharu tidak boleh mewujudkan sebarang alasan yang boleh menjejaskan kesiapsiagaan negara berdepan ancaman di Laut China Selatan.
Tahun ini sahaja, China siap membina sekurang-kurangnya tiga pulau bagi tujuan ketenteraan, Amerika Syarikat (AS) pula umum akan meningkatkan kawalannya di perairan ini. Ketegangan antara China dan AS semakin menjadi-jadi di kawasan perairan ini.
Tatkala China bertegas keseluruhan kawasan perairan dalam '9-Dash-Line' dan turut membabitkan perairan Malaysia, AS pula tetap bertegas ia hanya mahu memastikan wujud jaminan kebebasan navigasi di kawasan perairan tersibuk di dunia ini.
Selain itu, ketegangan di Selat Taiwan sejak beberapa bulan lalu juga mengundang sikap China untuk bertindak lebih agresif dalam menampakkan dominasinya di kawasan perairan dikongsi pelbagai negara ini.
Justeru, tidak dapat dielakkan isu Laut China Selatan adalah subjek penting untuk ditangani Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
Jaminan keselamatan
Kerajaan Perpaduan harus memastikan jaminan keselamatan buat semua pemegang taruh Laut China Selatan seperti golongan nelayan dan pemain industri minyak dan gas negara. Malaysia tidak boleh bersifat pasif lagi dalam hal ini, terutama ketika negara kini diterajui pemimpin mempunyai aura dan pengaruh global meluas.
Pengaruh meluas Anwar di pentas global diyakini mampu meletakkan Malaysia pada kedudukan terbaik untuk menggerakkan solidariti serantau mengenai isu Laut China Selatan.
Keakraban Anwar dengan pemimpin serantau lain diharap membantu Malaysia dalam usaha mewujudkan solidariti ASEAN bagi menjamin keharmonian Laut China Selatan.
Malah, ia bertepatan deklarasi bersama dipersetujui menteri pertahanan ASEAN pada 23 November lalu untuk meningkatkan solidariti menjamin keharmonian keselamatan rantau Asia Tenggara.
Menerusi deklarasi bersama ini, Malaysia komited berganding bahu dengan rakan ASEAN dan rakan kerjasama ASEAN seperti AS dan China untuk berhadapan sebarang cabaran terhadap keselamatan sama ada aspek ancaman tradisional atau bukan tradisional.
Antara dipersetujui dalam deklarasi ini ialah kesediaan negara ASEAN meningkatkan semangat perpaduan dan kerjasama dalam pertubuhan itu bersama Negara Plus untuk merealisasikan keselamatan harmoni bagi menggalakkan keamanan, kestabilan, kemakmuran dan daya tahan terhadap cabaran keselamatan semasa dan baru muncul di rantau ini.
Justeru, pentadbiran baharu memerlukan pola pemikiran baharu dalam menyelesaikan kemelut ini. Kedua-dua negara, China dan AS adalah rakan akrab Malaysia.
Menjadi keutamaan Wisma Putra di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan ini untuk memastikan kemesraan antara dua kuasa dunia ini kekal terjalin, selaras konsep 'perpaduan' diketengahkan dalam kerajaan hari ini.
Pengarah Strategi Firma Geo Politik