Sabtu, 26 November 2022 | 12:00pm

Jawatankuasa Tetap Parlimen seimbangkan Kabinet kecil

Pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim menamatkan teka-teki kemelut politik selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tetapi dalam sehari dua, ia membuka pula persoalan siapakah bakal mengisi Kabinet dalam kerajaan perpaduan.

Berdasarkan janji Anwar sendiri ketika kempen PRU15, beliau dijangka akan mengubah senarai kementerian untuk mengecilkan Kabinet menjadi kurang daripada separuh jumlah dalam pentadbiran sebelum ini.

Bagi tujuan itu, bilangan Ahli Jemaah Menteri mungkin akan dikecilkan sekitar 20 orang dengan Ahli Parlimen Tambun itu sendiri akan menjadi Menteri Kewangan, selain Perdana Menteri.

Sementara itu, Anwar juga mungkin akan melantik dua Timbalan Perdana Menteri dengan sekiranya berdasarkan sentimen semasa, penyandang jawatan itu mewakili Borneo, Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Seri Fadhillah Yusof mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebagai gabungan terbesar dari wilayah itu. Seorang lagi penyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri pula datang daripada Barisan Nasional (BN)-UMNO, iaitu Ahli Parlimen Rembau, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Dalam perjanjian disebut-sebut antara Pakatan Harapan (PH) dengan BN, mungkin akan ada lima menteri datang daripada barisan yang memiliki 30 Ahli Parlimen yang bakal mengisi kementerian kanan dan portfolio penting seperti Menteri Undang-Undang di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Kementerian Pertahanan serta Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Pada masa sama, Sabah dan Sarawak juga mungkin akan memiliki tiga menteri sekiranya Anwar mengehadkan bilangan Kabinet, sekali gus ini juga boleh mengurangkan Ahli Parlimen daripada PH.

 Rafizi mungkin Menteri Ekonomi 

Menteri Kesihatan mungkin akan diberikan kepada Ahli Parlimen Parti Amanah Negara (AMANAH) sebagai komponen PH, manakala Presidennya yang juga Ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu juga mempunyai kebarangkalian dilantik.

Kita juga mengharapkan Timbalan Presiden PKR yang juga Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli akan dilantik sebagai Menteri Ekonomi di JPM. Disebabkan ekonomi menjadi antara perkara penting dalam menghadapi kegawatan ekonomi global dijangka berlaku pada tahun depan, Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani daripada UMNO boleh diserap ke Kementerian Kewangan sebagai Timbalan Menteri Kewangan dengan mengambil kira keperluan mewujudkan Kabinet kecil.

Kita juga mungkin melihat Ahli Parlimen Seremban yang juga Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke mungkin akan meneruskan kesinambungannya dalam Kementerian Pengangkutan, iaitu jawatan pernah disandangnya dalam kerajaan PH selepas PRU14 pada 2018.

Mengenai pembabitan wanita dalam pentadbiran, kita menjangkakan mereka akan mengisi Kementerian Perpaduan yang menjadi langkah penting selepas senario kempen PRU15, selain tentunya Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Mungkin kita memerlukan menteri perpaduan dan menteri wanita datang daripada PH.

Dalam konteks keperluan pertanian yang menjadi elemen terpenting dalam sekuriti makanan dan penggantian import makanan, sektor pertanian dan luar bandar mungkin digabungkan tetapi sekiranya diasingkan ia lebih baik. Malah, bagi memastikan lebih gah, ia perlu mengambil kira teknologi pertanian.

Sudah tentu sekiranya Anwar mahu Kabinetnya lebih kecil, ia akan menyebabkan ramai Ahli Parlimen tidak dapat diserapkan ke Kabinet yang mungkin boleh menjadi satu isu terutama dalam konteks parti.

Justeru, dicadangkan kerajaan baharu mewujudkan lebih banyak Jawatankuasa Tetap Parlimen yang ditadbir sepenuh masa Ahli Parlimen sebagai ketua eksekutif dan turut dianggotai pakar pelbagai bidang diperlukan.

 Kemuka cadangan terus kepada Parlimen 

Kewujudan Jawatankuasa Tetap Parlimen ini sebenarnya lebih berkesan dan berkuasa kerana dapat mengemukakan sebarang cadangan terus kepada Parlimen seperti peranan dilaksanakan Jawatankuasa Senat di Amerika Syarikat (AS), malah ia lebih banyak berbanding 15 ahli Kabinet.

Oleh itu, kewujudan Kabinet lebih kecil tetapi diimbangkan dengan penubuhan Jawatankuasa Tetap Parlimen adalah untuk memastikan kerajaan baharu dapat berperanan dengan lebih optimum.

Apatah lagi, semua menaruh harapan besar kepada Anwar kerana beliau selalu dilihat sebagai prihatin dan bersemangat terhadap masalah rakyat. Anwar juga dilihat sebagai 'pro-business' yang mempunyai pengaruh dan sentiasa melihat ke hadapan prospek perdagangan, sekali gus menjadikannya memiliki perspektif penuh serta berlapis.

Pada masa sama, Anwar juga dilihat sebagai 'team player' berbanding sejarah Perdana Menteri lalu, terutama semasa di bawah BN, sekali gus memungkinkan kita akan melihat lebih banyak polisi baharu dikemukakan hasil daripada kerja pasukan, bukannya idea secara bersendirian.

Antara polisi baharu seperti ditawarkan Anwar adalah menghapuskan tol yang boleh dibawa ke Jawatankuasa Tetap Parlimen untuk membincangkan bagaimana untuk melaksanakannya.

Ini kerana rakyat sebenarnya tidak mengharapkan tol dihapuskan di Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dari Johor hingga Perlis, tetapi perlu ada perubahan dalam sistem tol seperti memindahkan PLUS ke dalam tabung endowment yang membolehkan tabung itu mendapat pendapatan tahunan RM20 bilion tetapi boleh digunakan untuk membantu kumpulan memerlukan secara lestari dan secara berterusan.

Penulis adalah Pakar ekonomi dan Profesor Emeritus di Sekolah Siswazah Perniagaan, Universiti Tun Abdul Razak

Berita Harian X