Jumaat, 25 November 2022 | 12:00pm
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (kanan) berkenan menyampaikan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Istiadat Pengurniaan sebagai Perdana Menteri ke-10 di Istana Negara. - Foto BERNAMA
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (kanan) berkenan menyampaikan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Istiadat Pengurniaan sebagai Perdana Menteri ke-10 di Istana Negara. - Foto BERNAMA

Terjemahkan setiap undi bentuk kerajaan utamakan nasib rakyat

Pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Ke-10 selepas kemelut politik pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang menyaksikan Parlimen tergantung ekoran tiada gabungan parti mendapat majoriti mudah, menamatkan drama empat hari penuh debaran.

Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) mendakwa masing-masing memiliki angka untuk menubuhkan kerajaan Persekutuan, manakala Barisan Nasional (BN) terutama UMNO terbelah dua sehingga wujud dua calon Perdana Menteri, iaitu Anwar yang juga Pengerusi PH serta Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Rakyat Malaysia hampir-hampir menyaksikan siaran ulangan drama politik 2020 dengan Ahli Parlimen diangkut ke Istana Negara untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi menamakan calon Perdana Menteri selepas kerajaan PH runtuh akibat Langkah Sheraton.

Bagaimanapun, ketenangan diperlihatkan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada awal kemelut seolah-olah membayangkan drama politik 2020 itu tidak akan ditayangkan hingga tamat, sebaliknya berakhir lebih awal.

Ini kerana selepas Anwar dan Muhyiddin dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong, Selasa lalu, titah baginda mengenai kerajaan perpaduan menunjukkan jalan keluar kepada kemelut politik itu sudah pun diisyaratkan, tinggal lagi siapakah bersedia untuk menyambutnya atau setidak-tidaknya memberikan pertimbangan.

Kuasa diperuntukkan Perlembagaan seperti Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) membenarkan Yang di-Pertuan Agong melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli dewan berkenaan, tetapi kebijaksanaan baginda mengisyaratkan kerajaan perpaduan sebagai jawapan kepada kemelut itu.

Pastinya, pertimbangan Yang di-Pertuan Agong adalah kepada keperluan menubuhkan kerajaan untuk memastikan kebajikan rakyat terpelihara dan negara dapat ditadbir serta diuruskan, terutama cabaran melepasi pandemik COVID-19 dan mendepani ribut ekonomi dijangka melanda dunia tahun depan.

Tentu bagi ahli politik, undi diterima dalam PRU15 sama ada oleh PH, PN, BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan (WARISAN), malah gabungan parti, parti kecil serta calon Bebas adalah kepada calon masing-masing.

Hakikatnya, undi diterima setiap calon daripada rakyat melangkaui bukan sahaja batang tubuh individu terbabit, bahkan gabungan parti atau parti bertanding dalam mekanisme demokrasi yang kali ini dijolok sebagai Ibu Segala PRU 2.0.

Undi wakili harapan rakyat

Ini kerana setiap kertas dipangkah rakyat yang mengundi itu, hakikatnya adalah undi supaya setiap calon diyakini membela kebajikan mereka dan secara kolektif dapat membentuk kerajaan membawa negara ke arah yang betul sama ada dari segi politik, ekonomi, sosial dan pendidikan atau pembangunan material dan fizikal serta kesejahteraan mental dan rohani.

Realiti ini mengingatkan saya kepada kisah diceritakan Maulana Rumi dalam magnum opusnya, Mathnawi, mengenai empat pengembara berbangsa Parsi, Arab, Turki dan Greek yang mendapat sekeping dirham.

Pengembara Parsi itu mengatakan dirham itu wajar digunakan untuk membeli 'angur' tetapi dibantah rakannya berbangsa Arab yang mahu membeli 'inab,' manakala lelaki Turki dan Greek pula masing-masing bertegas supaya ia dimanfaatkan untuk mendapatkan 'unum' serta 'astaphil.'

Disebabkan perbezaan 'kehendak' itu, keempat-empat pengembara terbabit bertelingkah keras kerana masing-masing mahu membeli apa yang disebutkan.

Pertelingkahan itu andai berterusan, ia pasti akan memudaratkan semua kerana mereka sebenarnya kelaparan dan kehausan tetapi terus bergaduh dan tidak mahu mengalah selagi kehendak berkenaan tidak dipenuhi.

Ketika itulah, seorang budiman yang bijaksana dan mengetahui semua bahasa ibunda keempat-empat pengembara muncul dan menjelaskan kepada mereka bahawa 'angur', inab, unum dan astaphil membawa makna sama, iaitu buah anggur.

Barulah keempat-empat pengembara itu sedar apa yang disangkakan sebagai sesuatu berbeza itu, hakikatnya adalah sama tetapi disebabkan 'bahasa' digunakan berlainan, mereka bertelingkah.

Pengajaran kisah Maulana Rumi itu wajar diambil teladan oleh ahli politik dan gabungan atau parti diwakili mereka. 'Undi' diperoleh adalah ibarat 'angur', inab, unum dan astaphil yang berbeza pada tanggapan, tetapi bermakna undi supaya membentuk kerajaan yang dapat menjaga kepentingan dan kebajikan rakyat serta membawa negara ke arah pemulihan pascapandemik dan mendepani ribut ekonomi itu.

 Bakal galas tanggungjawab besar 

Pengajaran itu tidak hanya berhenti selepas
Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri di Istana Negara, petang semalam, sebaliknya ketika membentuk Kabinet dengan memilih
individu memiliki merit, pragmatik dan kejujuran seperti pernah disiarkan dalam kolum Belalang pada hari mengundi PRU15, Sabtu lalu.

Anwar sudah tentu memerlukan sokongan daripada gabungan lain untuk membentuk kerajaan stabil dan setiap yang menjadi bahagian dalam pentadbiran itu perlu memahami undi diterima bukan semata-mata menghantar mereka ke Putrajaya.

Undi diterima itu adalah taklif atau tanggungjawab, bukan tasyrif (kemuliaan) hingga mereka bukan sepatutnya mendapat ucapan tahniah, sebaliknya 'takziah' kerana bakal menggalas beban amanah sangat besar.

Malah, sebahagian Ahli Parlimen yang menjadi pembangkang turut menerima undi hingga mereka perlu bertindak sebagai pihak yang mampu menjalankan tanggungjawab semak dan imbang, bukan semata-mata menghiruk-pikukkan Dewan Rakyat.

Justeru, undi diterima sama ada pihak yang menang atau kalah di kawasan Parlimen ditandingi dan melayakkan mereka menjadi kerajaan atau pembangkang hakikatnya semua mempunyai makna sama - kemahuan rakyat supaya negara ini ditadbir dan diuruskan dengan baik, manakala kepentingan serta kebajikan mereka terjaga.

Penulis adalah Pengarang Berita BH

Berita Harian X