X
Rabu, 23 November 2022 | 12:25pm
 Istiadat Mengangkat Sumpah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan, Datuk Seri Saarani Mohamad sebagai Menteri Besar ke-15. Saarani juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak.
Istiadat Mengangkat Sumpah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan, Datuk Seri Saarani Mohamad sebagai Menteri Besar ke-15. Saarani juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak.

Pembentukan kerajaan Perak gambaran 'Kabinet wajah Malaysia'

Teka-teki pembentukan kerajaan negeri Perak selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akhirnya terjawab dengan selesainya Istiadat Mengangkat Sumpah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan, Datuk Seri Saarani Mohamad sebagai Menteri Besar ke-15. Saarani juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak.

Perak terbentuk melalui jajaran 33 kerusi sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) masing-masing terdiri daripada PH dengan 24 kerusi dan BN (sembilan kerusi). Meskipun Perikatan Nasional (PN) menjuarai angka tertinggi sebanyak 26 kerusi, ia masih gagal melepasi majoriti mudah, iaitu 30 kerusi.

Pembentukan kerajaan ini dilengkapi pula dengan pelantikan kira-kira 10 ADUN mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak. Masing-masing tiga ADUN BN dan sembilan ADUN daripada PH. Tiga ADUN Barisan Nasional (BN) iaitu ADUN Lintang, Datuk Mohd Zolkafly Harun; ADUN Temengor, Salbiah Mohamed dan ADUN Belanja, Khairudin Abu Hanipah.

Daripada PH, ADUN Sungai Rapat daripada Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Dr Mohammad Nizar Jamaluddin; A Sivanesan (Sungkai-DAP); Loh Sze Yee (Jalong-DAP); Teh Kok Lim (Aulong-DAP); Sandrea Ng Shy Ching (Teja-PKR); Mohd Azlan Helmi (Tualang Sekah-PKR) dan Woo Kah Leong (Pasir Bedamar-DAP).

Satu yang menarik dalam pelantikan ini adalah ia menjalinkan gabungan muka baharu dan lama memperlihatkan beberapa figura berpengalaman turut kembali dilantik seperti Zolkafly, Mohammad Nizar dan Sivanesan.

Perhatian juga terhala kepada komposisi etniknya menggambarkan sebuah 'Kabinet wajah Malaysia' dibarisi semua etnik hampir secara imbang.

Kerangka ini pada dasarnya kelihatan serasi dengan citra monarki Perak sering menekankan peri penting penolakan unsur eksterimisme dan memelihara nilai perpaduan dalam kalangan masyarakat. Meskipun monarki ialah sosok apolitikal, keserasian citra dan aspirasinya berupaya diterjemahkan kerajaan negeri mampu memberi nilai tambah dalam mengutuhkan kestabilan kerajaan.

Satu sisi jelas dalam trajekori pembentukan kerajaan negeri ini juga adalah melalui pelaksanaan taktikal produktif, efisien dan efektif dalam eksekusi pola kuasa dalam sebuah gabungan kerajaan. Dalam tempoh beberapa hari pasca-PRU15, sebuah kerajaan lengkap bersama EXCO dituntaskan tanpa sebarang konflik dan kontroversi nyata (tangible) dengan proses licin dan hampir sempurna.

Kesepaduan dan keserasian elit politik 

Kelicinan dalam memposisikan kuasa ini juga memberi gambaran awal mengenai kesepaduan dan keserasian elit politik dalam gabungan ini yang setidak-tidaknya berpotensi mewujudkan kerajaan stabil melalui keutuhan tapaknya.

Kestabilan pada dasarnya menatijahkan kewujudan dasar substantif dan berupaya dilaksanakan ke dalam ekologi masyarakat memandangkan kurangnya kegiatan politiking yang lebih memberi tumpuan kepada soal percaturan kuasa berbanding kemampanan dasar.

Pengalaman kerajaan negeri Perak dalam era Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang menghadapi situasi keterlanjuran berpolitik menjelaskan kegagalannya dalam menterjemahkan aspirasi kerajaan melalui dasar efektif. Kelemahan ini akhirnya memunculkan krisis kepercayaan menyebabkan tumbangnya sesebuah kerajaan negeri di pertengahan penggal.

Dalam konteks ini, gabungan baharu membabitkan jajaran PH dan BN ini juga menggambarkan suasana segar memandangkan kerjasama ini menjadi permulaan baharu yang masih belum dicemari pengalaman buruk silam seperti unsur 'pengkhianatan' berlaku dalam jajaran sebelumnya. Keadaan ini berpotensi mewujudkan sebuah penyatuan kerajaan bersama barisan EXCO menatijahkan pengolahan kuasa lebih harmoni melalui kesegaran psikologi politik.

Bagaimanapun, cabaran pastinya tidak terkecuali dan mungkin wujud jika mengambil kira faktor perbezaan ideologi dalam jajaran ini. Perbezaan ideologi antara UMNO dan PH sebahagiannya berisiko memunculkan ketidakserasian akhirnya menghidupkan kembali jalur politiking.

Mengambil kira kerusi PN turut berada dalam angka relatif besar, kegagalan dalam melunakkan jurang perbezaan ideologi ini berisiko dalam menggoncangkan kestabilan kerajaan negeri Perak dan kembali menghidupkan peluang untuk penyaksian drama politik seperti pertukaran kerajaan sebelum penghabisan penggal.

Secara rangkuman, pembentukan kerajaan negeri Perak dan pelantikan EXCO dituntaskan dalam suasana licin menjadi pengimbang tara dalam menggambarkan keserasiannya dalam mewujudkan dasar substantif. Begitu pun, ia tidak bermakna risiko politik tidak akan berlaku pada masa depan. Keutuhan jajaran ini bergantung kepada mekanisme pengolahan kuasa dalam memastikan jurang perbezaan dapat diminimumkan.

Pensyarah di Universiti Sultan Azlan Shah (USAS)

Berita Harian X