Sistem demokrasi di negara ini secara keseluruhannya hanya mempunyai beberapa persamaan dengan demokrasi Westminster, terutama aspek struktur organisasi dan pentadbiran.
Perbezaan paling ketara ialah kedaulatan dalam sistem Perlembagaan di negara ini terletak pada kedaulatan Raja-Raja Melayu yang menginstitusikan Perlembagaan Persekutuan dalam bentuk bertulis berlandaskan struktur asas Negeri Melayu merdeka.
Parlimen Malaysia tidak mutlak untuk menggubal undang-undang kerana ada sekatan yang memerlukan persetujuan Majlis Raja-Raja dan dalam keadaan tertentu pula, persetujuan Yang di-Pertua Negeri bagi Sabah serta Sarawak.
Parlimen Malaysia juga diikat dengan prinsip keluhuran Perlembagaan mewarisi aspek watan tanah air diwakili sistem beraja Melayu, Islam sebagai agama Persekutuan dan negeri (kecuali Sarawak), bahasa Melayu, kedudukan istimewa orang Melayu, kedudukan istimewa anak Sabah dan Sarawak serta beberapa ciri khas lain.
Dalam pada itu terdapat jaminan buat kebebasan asasi dan kepentingan sah kaum lain sebagai warganegara Persekutuan Malaysia.
Disebabkan Perlembagaan Persekutuan diasaskan kedaulatan Raja-Raja Melayu yang kekal berdaulat mengikut Perkara 181(1) dan kedudukan Yang di-Pertuan Agong seperti diberikan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957, maka prerogatif Yang di-Pertuan Agong sebagai raja pemerintah terpelihara dalam Perlembagaan, termasuklah bagi pemilihan Perdana Menteri.
Perkara 43(2)(a) memperuntukkan Yang di-Pertuan Agong berkuasa melantik seorang Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri dalam kalangan ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.
Kuasa itu terjumlah dalam budi bicara Yang di-Pertuan Agong menurut Perkara 40(2)(a) dan boleh dilaksanakan dalam keadaan ada parti mahupun gabungannya memenangi pilihan raya umum (PRU) secara majoriti atau ketika tiada pihak yang dapat melepasi jumlah kerusi majoriti mudah.
Pelantikan Perdana Menteri dan kaedah bagaimana calon berkenaan dipilih adalah prerogatif baginda selagi tiada membataskan tatacaranya secara nyata melalui peruntukan bertulis Perlembagaan.
Perlembagaan menetapkan sebarang cabaran kepada kewibawaan Perdana Menteri sama ada beliau mempunyai kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat boleh diuji selepas pelantikannya.
Kepercayaan itu boleh dibuktikan sama ada menerusi proses undi percaya di Parlimen, jumlah sokongan akuan bersumpah (SD) atau kaedah lain boleh memuaskan hati Yang di-Pertuan Agong atau jika usul tidak percaya dikemukakan ahli Dewan Rakyat kepada Perdana Menteri.
Keunikan sistem politik Malaysia
Seorang anggota Parlimen adalah mewakili kawasan, tidak lagi mana-mana parti apabila terpilih.
Seorang Ahli Parlimen dikehendaki untuk melafazkan sumpah kesetiaan seperti termaktub dalam Jadual Keenam, iaitu menumpahkan taat setia sebenar kepada Malaysia serta memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, bukannya perlembagaan parti masing-masing.
Inilah keunikan sistem politik Malaysia menjunjung kedaulatan Raja-Raja Melayu dan keluhuran Perlembagaan, di samping menerima amalan demokrasi berperlembagaan.
Isu tiada parti atau gabungan politik yang berjaya mendapat majoriti mudah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) begitu banyak ditimbulkan di samping cubaan pihak tertentu mengetengahkan pelbagai kaedah bagi pemilihan Perdana Menteri demi memberikan kelebihan kepada calon idaman atau kepentingan kepartian masing-masing.
Sering kali perbahasan mengenai pelantikan Perdana Menteri hanya menonjolkan kehendak kepartian dan kononnya aspirasi rakyat secara keseluruhannya tanpa melihat secara lebih dekat kedudukan sebenar kewajipan Perdana Menteri dan Jemaah Menterinya.
Perkara 39 Perlembagaan dengan jelas memperuntukkan kuasa eksekutif Persekutuan terletak hak pada Yang di-Pertuan Agong dan tertakluk pada peruntukan undang-undang Persekutuan, bolehlah dijalankan Jemaah Menteri atau menteri diberikan kuasa Jemaah Menteri atau pihak lain.
Peruntukan itu menunjukkan peranan Yang di-Pertuan Agong untuk melantik Perdana Menteri dan Jemaah Menterinya tidaklah hanya bersifat istiadat, tetapi menyentuh hak kuasa eksekutif Persekutuan diamanahkan di atas bahu baginda.
Lantaran budi bicara Yang di-Pertuan Agong dalam pemilihan Perdana Menteri hendaklah sentiasa dihormati kerana baginda berhak untuk memastikan kewibawaan calon untuk menjalankan fungsi kuasa baginda selaras dengan kehendak Perlembagaan.
Sekiranya berlaku keadaan tiada parti atau gabungan politik berjaya mendapat majoriti mudah pada PRU15, Yang di-Pertuan Agong mempunyai prerogatif menentukan pelantikan Perdana Menteri mengikut Perkara 43(2)(a) tanpa terikat dengan apa jua konvensyen bagaimana pemilihan itu dibuat.
Baginda boleh mengulangi konvensyen yang pernah berlaku ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin atau Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik baginda atau kaedah lain difikirkan wajar mengikut kebijaksanaan dan keperluan semasa.
Dengan kata lain, Yang di-Pertuan Agong tidak terikat secara mutlak untuk hanya melantik pengerusi gabungan, presiden parti atau 'poster boy' sebagai Perdana Menteri.
Dalam pada itu, gabungan politik boleh meluaskan kerjasama selepas keputusan PRU15 diumumkan. Undang-Undang Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti diluluskan menerusi pindaan Perlembagaan baru-baru ini, khususnya Perkara 49A tidak menghalang seorang ahli Dewan Rakyat menyatakan sokongan kepada mana-mana ahli Dewan Rakyat sebagai calon Perdana Menteri, walaupun daripada gabungan parti berbeza.
Sokongan itu boleh diberikan tanpa perlu keluar parti kerana keanggotaan seorang Ahli Parlimen tidak terjejas melainkan jika dia meninggalkan atau melepaskan keahlian partinya sahaja.
Pada sisi lain, kerjasama merentasi gabungan politik asal pra-PRU15 boleh juga berlaku selepas Perdana Menteri dilantik Yang di-Pertuan Agong. Itu bermakna Perdana Menteri boleh mewujudkan kerajaan campuran menerusi pembentukan kerajaan minoriti.
Apapun, Malaysia memerlukan kestabilan politik untuk mengharungi cabaran ekonomi lebih mencabar pada tahun mendatang. Jika sekiranya berulang kejatuhan Jemaah Menteri akibat undi tidak percaya maka penyelesaian terakhir ialah melalui pembubaran semula Parlimen untuk PRU baharu.
Namun, fikirlah adakah itu yang dihajati rakyat.
Penulis adalah Profesor Madya Universiti Malaysia Pahang dan Pengasas Jurisprudens Watan