Jumaat, 18 November 2022 | 12:00pm
Gambar hiasan/Mohd Adam Arinin
Gambar hiasan/Mohd Adam Arinin

Sampaikan pandangan ilmiah bukan rosakkan status profesor perkhidmatan awam

Sidang media Deklarasi Profesor Melayu G70 memanggil saya menjelaskan kepada semua secara peribadi, terutama sebagai seorang profesor Melayu masih berkhidmat di universiti awam (UA) dan terbabit secara langsung membantu kerajaan merancang pembangunan negara.

Saya menghormati pandangan dan sokongan peribadi warganegara kepada mana-mana parti dan calon kerana ia hak mutlak setiap rakyat. Kita raikan perbezaan pandangan dan pendapat. Yang pasti semuanya berhasrat menjadikan Malaysia hebat, cemerlang, makmur dan sejahtera.

Deklarasi Profesor Melayu G70 agak berbeza. Namun, jenamanya memberi tempias, gambaran dan tafsiran terhadap profesor di negara kita, khususnya UA. Kenyataan 'ramai lagi profesor berhasrat menyokong' dan 'sambutan sangat menggalakkan' oleh antara jurucakap kumpulan ini adalah kenyataan tidak bertanggungjawab, tidak beretika, tidak ilmiah, seolah-olah cuba meyakinkan masyarakat bahawa pandangan mereka adalah simpulan umum pandangan profesor Melayu.

Sebaiknya terma 'profesor Melayu' tidak digunakan. Kalau hasrat berkempen, guna sahaja terma lain tidak membabitkan perjawatan ilmuwan di UA. Namun, jenama 'profesor' membawa pemberat, maka dipalitkan dalam nama kumpulan ini.

Semua maklum anggota perkhidmatan awam tertakluk kepada peraturan jelas - berkecuali - tidak seharusnya menyuarakan secara umum pandangan menyebelahi mana-mana parti politik, iaitu nonpartisan.

Profesor masih berkhidmat di UA adalah anggota perkhidmatan awam sekali gus tertakluk peraturan nonpartisan ini. Peraturan ini sama sekali tidak menghalang profesor memberi pandangan berasaskan kesarjanaannya, tetapi tidak boleh bersifat partisan iaitu menyokong parti atau ahli politik tertentu.

Deklarasi Profesor Melayu G70 mengandungi enam deklarasi dinyatakan secara khusus. Lima yang pertama, pada hemat saya, saranan baik untuk rakyat membuat pilihan berdasarkan nilai murni sejagat.

Saya yakin semua bersetuju lima deklarasi itu, profesor atau tidak, calon, parti, orang bandar dan orang kampung, tua serta muda semua bersetuju.

Deklarasi keenam berbeza kerana menyatakan sokongan terus kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, calon bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Deklarasi ini bersifat partisan - menyatakan sokongan kumpulan Profesor Melayu G70 kepada Pakatan Harapan (PH).

Tidak salah sesiapa pun menyatakan secara umum sokongan sedemikian, tetapi untuk seorang profesor masih bertugas (anggota perkhidmatan awam), setahu saya, menyatakan ehwal ini secara umum adalah tidak wajar.

Deklarasi keenam adalah kenyataan umum bersifat partisan. Di samping itu, sebahagian besar jawapan balas beberapa ahli kumpulan kepada soalan media juga jelas bersifat partisan.

Bagi memastikan negara terus ditadbir baik, anggota perkhidmatan awam semestinya bersedia melaksanakan tugas perkhidmatan tanpa berbelah bahagi dan tidak dipengaruhi kecenderungan politik masing-masing.

 Tidak boleh cenderung sokong individu

Mereka tidak boleh dilihat cenderung menyokong individu atau parti politik tertentu. Kerajaan dibentuk atas pilihan rakyat, mesti disokong dengan perkhidmatan terbaik.

Kelangsungan pembangunan negara memerlukan perkhidmatan awam bersifat nonpartisan. Sedia berkhidmat penuh amanah kepada kerajaan dipilih rakyat berlandaskan undang-undang. Sesiapa sahaja dipilih rakyat sehingga dapat menjadi Perdana Menteri dalam kalangan mana-mana parti memerlukan pasukan perkhidmatan awam sedia berkhidmat penuh komitmen.

Pengalaman PRU14 jelas membuktikan pentingnya perkhidmatan awam tidak bersikap partisan.

Peraturan ini sama sekali tidak menghalang profesor memberi pandangan terhadap ehwal politik atau polisi kerajaan. Banyak saluran dan pelantar, media cetak, televisyen serta media sosial rasmi atau tidak, untuk ilmuwan memberi pandangan ke atas ehwal negara dengan tiada menghalang asalkan berdasarkan kepakaran dan tidak bersifat partisan.

Saya akui, ada kala ilmuwan tersepit antara kerajaan dengan parti politik. Namun, kita mesti mampu menanganinya dengan menyuarakan pandangan dengan bijak. Bina reputasi diyakini dan dihormati semua.

Rakyat perlu faham gelaran profesor adalah atas kepakaran bidang masing-masing, bukan gelaran mutlak mengesahkan kepakaran dalam semua bidang.

Kenyataan media Profesor Melayu G70 berdurasi sekitar sejam itu, kelihatan janggal. Ada tiga wakil media menyuarakan beberapa soalan ringkas. Seperti biasa, memang menjadi resam akademik (termasuk saya juga sesekali), memberi jawapan bagai syarahan umum, panjang lebar. Menyimpang jauh tidak menjawab soalan ditanya.

Maaf, pada hemat saya, hampir semua jawapan balas Profesor Melayu G70 tidak menjawab soalan ditanya media. Ada memberi penjelasan berdasarkan hubungan peribadi sebagai kenalan lama semata-mata, ada kelihatan gugup menjawab, teragak-agak, menggambarkan tidak begitu pasti, tidak arif dengan perkara ditanya dan ada berhujah di luar tajuk, jauh menyimpang serta jelas cuba mengelak daripada menjawab soalan.

Seorang daripada kumpulan itu menyatakan pandangan tidak partisan, tetapi jawapannya hampir semua partisan. Ramai mengharapkan jawapan yang lebih padat, meyakinkan dan bersifat keilmuan, bukan agak-agak.

Sebagai profesor masih berkhidmat, saya yakin semua ahli Profesor Melayu G70 sedia maklum mengapa peraturan ini diperlukan, memandangkan sebahagian besar nama disenaraikan adalah profesor bersara wajib. Rata-rata berkhidmat di UA sekitar 30 hingga 40 tahun.

Bagi profesor bersara, sumbangan dan pandangan untuk negara kita alu-alukan. Benar, gelaran profesor kekal selepas kita bersara, rasmi atau tidak, seperti kita menghormati guru dengan panggilan 'cikgu.' Sebaiknya, maklumkan juga sudah bersara agar tidak menyabitkan semua profesor lain masih berkhidmat.

Bagi yang masih berkhidmat, kita akur kepada sistem perkhidmatan dan beri yang terbaik untuk negara. Janganlah pendirian peribadi merosakkan nama perkhidmatan dihormati dan amat diperlukan negara.

Pasti setiap kita ada kecenderungan politik. Kita juga rakyat akan memilih. Luahkan pendirian politik semasa mengundi nanti. Itu rahsia masing-masing. Tidak perlu cerita pada semua atau ikut serta berkempen.

Menggunakan label 'profesor Melayu' pada hemat saya adalah tidak wajar. Pelihara nama baik perjawatan profesor.

Hakikatnya bukan semua Profesor Melayu G70 adalah ilmuwan arif dengan ehwal politik. Ada rakan profesor saya dalam bidang sains politik yang sudah bersara dan aktif menyuarakan pandangan serta sokongannya melalui media sosial tetapi dengan hujah ilmiah dan 'profesorial.' Ini dihormati, bersama membina minda rakyat.

Namun ramai mungkin lebih dipengaruhi naluri dalaman politik masing-masing. Pandangan peribadi sahaja, sama seperti semua warganegara. Tidak perlu menggunakan label 'profesor' kalau hasratnya untuk berkempen.

Penulis adalah Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM) dan Sarjana Fulbright di Kennedy School, Universiti Harvard

Berita Harian X