Selasa, 15 November 2022 | 12:00pm
- Gambar hiasan/Arkib NSTP
- Gambar hiasan/Arkib NSTP

Kerajaan stabil mampu kawal impak kegawatan ekonomi 2023

Bank Negara Malaysia mengumumkan ekonomi Malaysia tumbuh pada kadar 14.2 peratus pada suku tahun ketiganya, Jumaat lalu. Pengumuman ini mungkin mengejutkan banyak pihak walaupun ramai penganalisis ekonomi antarabangsa meramalkan ekonomi Malaysia akan tumbuh pada kadar dua angka.

Sebenarnya 22 penganalisis ekonomi antarabangsa sudah meramalkan ekonomi Malaysia akan tumbuh pada 11.7 peratus pada suku ketiga tahun ini, sekali gus menjadikan 14.2 peratus sebagai peratusan mungkin dilihat terlalu baik dan kadar pertumbuhan terbaik dunia sewaktu berhadapan kegawatan ekonomi sengit.

Justeru, apakah Malaysia sudah keluar daripada kegawatan ekonomi? Malaysia sebenarnya keluar daripada situasi itu setelah mengalami kadar pertumbuhan negatif sejak Mac 2020, serendah 28.7 peratus pada April 2020.

Walaupun ekonomi cuba melonjak untuk pulih dengan kadar pertumbuhan melebihi 33 peratus pada April tahun lalu, ekonomi menjunam semula ke paras negatif 8 peratus pada Julai tahun sama. Akhirnya pada Oktober berikutnya, ekonomi Malaysia mula meningkat pada lebih 1.3 peratus.

Ekonomi terus meningkat bulan demi bulan dan memuncak pada Jun lalu pada kadar 16.5 peratus. Ini adalah kadar pertumbuhan tertinggi dicatatkan secara bulanan. Kadar pertumbuhan mula menurun kepada 11.6 peratus pada September lalu.

Jika dilihat mengikut suku tahun, grafnya lebih nyata menunjukkan bagaimana ekonomi Malaysia sudah pulih sebenarnya dan keluar daripada kegawatan pada suku keempat 2021 dan terus meningkat daripada 3.6 peratus pada suku tahun keempat 2021 kepada 5 peratus (suku pertama 2022), 8.9 peratus (suku kedua 2022) dan kini 14.2 peratus.

Dilihat daripada kadar pertumbuhan suku tahun ke suku tahun, kadar pertumbuhan mutlaknya ialah 4.8 peratus, iaitu satu kadar masih kukuh. Dari perspektif bulanan, kadar pertumbuhan pada Ogos ialah 3.2 peratus dan September (0.7 peratus) masih lagi positif.

Apakah prospeknya pada suku keempat tahun ini? Berasaskan pada arah graf, kadar pertumbuhan akan menurun sedikit pada suku keempat mungkin pada paras 6 hingga 8 peratus.

Bagaimanapun, penganalisis ekonomi dunia sudah menyemak semula kadar pertumbuhan ekonomi Malaysia untuk keseluruhan 2022 yang dijangka meningkat daripada 5.5 hingga 6.5 peratus menjadi 7.5-8.5 peratus, iaitu perkembangan sangat positif.

Kadar pertumbuhan 2023 diramal rendah

Bagi 2023, penganalisis ekonomi meramalkan kadar pertumbuhan rendah sedikit pada kadar antara 4 hingga 5 peratus dan bagi 2024, kadar pertumbuhan diramal antara 3 hingga 4 peratus.

Apakah yang memacu kadar pertumbuhan mantap ini? Ini boleh dilihat dari dua perspektif, iaitu
pengeluaran dan perbelanjaan.

Dari perspektif pengeluaran, ekonomi Malaysia dipacu pertumbuhan oleh peningkatan mantap dalam sektor perkhidmatan dan perkilangan menyumbang lebih 82 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Sektor perkhidmatan kini melepasi tahap prapandemik (2019) pada 6.6 peratus, manakala sektor perkilangan melepasi 15.9 peratus berbanding tahap prapandemik.

Malaysia masih perlu memacu sektor makanan dan minuman, penginapan, hartanah serta perkhidmatan perniagaan untuk melewati paras prapandemik. Sektor lain seperti perlombongan, pembinaan dan pertanian juga masih beroperasi di bawah paras pandemik.

Sektor pembuatan berkembang pada kadar 13.2 peratus pada suku ketiga berbanding 9.2 peratus (suku pandemik kedua), khususnya dalam subsektor elektronik, elektrikal dan optikal. Sektor perlombongan juga pulih kepada 9.2 peratus pada suku ketiga, khususnya dalam gas asli dan pembinaan bangunan bukan kediaman.

Sektor pertanian pulih 1.2 peratus pada suku ketiga berbanding penurunan 2.4 peratus pada suku kedua, terutama subsektor kelapa sawit sebanyak 5.1 peratus, perikanan (3.8 peratus) dan ternakan (2.5 peratus). Sektor pembinaan berkembang pada 15.3 peratus berbanding 2.4 peratus suku kedua.

Secara umum, semua sektor ekonomi mengembang pada suku ketiga menunjukkan pemulihan sihat dalam keseluruhan ekonomi negara.

Dari perspektif perbelanjaan pula, perbelanjaan swasta dan isi rumah mengakaunkan 61.5 peratus daripada KDNK dan pada suku ketiga, berkembang pada kadar 15.1 peratus berbanding 18.3 peratus (suku kedua), khasnya dalam pengangkutan, restoran, hotel, rekreasi dan kebudayaan. Perbelanjaan penggunaan akhir swasta menguncup sedikit 1.2 peratus membayangkan sikap berhati-hati pengguna dalam berbelanja.

Perbelanjaan akhir kerajaan tumbuh 4.5 peratus berbanding 2.6 peratus pada suku kedua 2022, manakala pembentukan modal tetap kasar meningkat 13.1 peratus berbanding 5.8 peratus (suku kedua).

Dalam konteks eksport, ia meningkat 23.9 peratus berbanding 10.4 peratus (suku kedua). Import juga meningkat 24.4 peratus berbanding 14.0 peratus (suku kedua). Eksport bersih sebenarnya meningkat 18.7 peratus berbanding penurunan 28.7 peratus (suku kedua).

Rizab Bank Negara meningkat

Ada juga penganalisis tempatan mempersoalkan bagaimana rizab Bank Negara merosot jika kadar pertumbuhan meningkat dengan banyak. Sebenarnya jumlah rizab negara bertambah daripada RM480 bilion menjadi RM491 bilion pada suku ketiga berbanding suku kedua. Bagaimanapun, kerana kadar pertukaran ringgit dengan dolar merosot, kita melihat jumlah dalam baki rizab dalam mata wang Amerika Syarikat (AS) itu merosot.

Di sebalik persepsi negatif cuba dilemparkan, kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terbukti menunjukkan prestasi cemerlang dalam memulihkan ekonomi daripada kesan kegawatan dialami lebih sembilan bulan.

Walaupun begitu, kadar pemulihan cemerlang ini mungkin akan dijejaskan kesan kegawatan dunia diramalkan berlaku pada 2023.

Namun, Malaysia dijangka akan berupaya menepis kesan besar kegawatan jika kerajaan baharu lebih stabil akan dibentuk selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini dapat terus mengawal kesan inflasi dan berusaha meningkatkan tahap pendapatan isi rumah, apatah lagi jika ada kesinambungan dalam penjawat jawatan Perdana Menterinya.

Penulis adalah Profesor Emeritus di Sekolah Siswazah Perniagaan, Universiti Tun Abdul Razak

Berita Harian X