Ahad, 30 Oktober 2022 | 12:30pm

Tinggalkan retorik 'mahu buat Islam', tampil tadbir urus baik

Biasanya calon dan parti Islam dalam pilihan raya umum (PRU) tidak ada masalah berkempen meyakinkan pengundi sekiranya bersangkutan soal agama.

Apatah lagi sekiranya di negeri diistilahkan sebagai Malay-belt atau pengundi Melayu majoriti besar seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah. Malah, bekas Menteri Besar Kedah, Allahyarham Tan Sri Sanusi Junid pernah menyimpulkannya sebagai 3P, iaitu PAS, padi dan pondok menunjukkan betapa agama mendapat perhatian besar orang Melayu.

Tidak hairanlah sejak merdeka hingga pertengahan 1990-an, pertembungan parti politik dalam PRU mahupun pilihan raya kecil (PRK) sering disederhanakan kepada kempen simplistik, iaitu siapa mahu atau enggan 'buat' Islam dan siapa sokong atau lawan ulama.

Kesan kempen sebeginilah, ayat al-Quran mengenai kewajipan laksanakan undang-undang Islam disempitkan semata-mata dalam bentuk hudud sering dilontarkan di pentas ceramah atau mengundi calon ini dan parti itu mendapat pahala kelak bernatijahkan syurga.

Memang banyak ayat al-Quran, hadis dan kaedah fiqh boleh digunakan untuk mengeluarkan 'hukum' sebegini, tinggal lagi sejauh mana ia tepat dan diterima dalam tradisi ilmu Islam lebih luas daripada sekumpulan ulama dalam sebuah parti. Hubungan Islam dalam politik bukan hanya menamakannya sebagai parti Islam dan meletakkan kalimah al-Quran serta hadis dalam perlembagaan atau mengira slogan dan janji diungkapkan pemimpinnya, terutama dalam pilihan raya.

Sebaliknya, ia berhubung apakah pandangan alam digunakan dalam menterjemahkan perlembagaan dan tindak-tanduk pemimpinnya? Malah, Islam tidak boleh disempitkan dalam politik semata-mata, sebaliknya merangkumi akidah, fiqh serta akhlak dan tasawuf.

Pemilihan pemimpin pula dalam faham Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) walaupun mempunyai kedudukan penting, tetapi tidak ekstrem seperti menjadi pegangan syiah atau Khawarij meletakkannya sebagai usul dalam akidah. Justeru, pemilihan pemimpin dalam pilihan raya di Malaysia sebagai negara berpegang aliran ASWJ, tidak boleh diletakkan dalam kerangka dikotomi antara iman dengan kufur hingga sesiapa tidak menerima konsep ditawar atau diperjuang sesuatu parti, mengakibatkan individu atau golongan itu menentang Islam.

Dikotomi sebeginilah membawa kewujudan golongan Khawarij pada zaman Sayidina Ali RA, pertumpahan darah di Tanah Hijjaz termasuk Makkah dan Madinah pada abad ke-19 dan ke-20, termasuk perampasan Masjidil Haram pada akhir dekad 1970-an serta keganasan terburuk tidak pernah tercatat dalam sejarah Islam melalui al-Qaeda dan Daesh.

Peranan, perjuangan parti Islam 

Bagaimanapun dalam tempoh dua dekad ini, banyak perubahan berlaku dalam konteks perjuangan menegakkan Islam secara aktivisme terutama politik, pemerintahan dan pilihan raya atau Islamisme.

Apatah lagi, banyak parti atau gerakan Islam dahulunya tidak pernah memerintah, tetapi mulai alaf baharu, mengecap puncak kuasa termasuk di Asia Barat seperti Ikhwan Muslimin di Mesir, Ennahda di Tunisia dan Parti Keadilan dan Pembangunan Islam (PJD) di Maghribi. Sebaik menjadi kerajaan, mereka mula berdepan situasi sebenar sebagai pemerintah dan bagaimana proses 'melaksanakan' Islam bukan semudah menukar perlembagaan dalam tempoh semalam.

Malah, PJD di Maghribi sendiri tidak lagi menjadikan slogan menegakkan negara Islam sebagai agenda utama parti kerana tidak lagi menganggap sistem monarki sedia ada bercanggah seperti difahami dalam buku, Rethinking Political Islam susunan Shadi Hamid dan William McCants.

Sebaliknya, sebagai kerajaan, setiap parti Islam yang menang perlu melaksana tadbir urus baik, menjalankan program pembangunan holistik, memelihara kebajikan dan keperluan rakyat dari semua segi termasuk ekonomi, sosial serta pendidikan.

Sebenarnya, hal sama berlaku di negara ini apabila PAS menjadi kerajaan bersama Perikatan Nasional (PN) dan sebelumnya menguasai Kelantan, Kedah serta Terengganu, manakala Parti Amanah Negara (AMANAH) berpengalaman sebagai pemerintah bersama Pakatan Harapan (PH). Malah, UMNO sendiri sebagai parti teras dalam Barisan Nasional (BN) tergolong dalam parti dipimpin dan didominasi orang Melayu-Islam tentu mempunyai pengalaman sama dalam konteks pembangunan Islam.

Justeru, isunya tidak lagi siapa mahu 'buat' Islam atau tidak, sebaliknya sejauh mana pemimpin parti berkenaan menunjukkan pelaksanaan tadbir urus baik, perancangan ekonomi dan pembangunan holistik serta penjagaan keperluan dan kebajikan rakyat.

Lebih menarik, keempat-empat blok bakal bertanding, iaitu BN, PN, PH dan Gerakan Tanah Air (GTA) turut diwakili sama ada parti didominasi orang Islam atau parti Islamis. Ini menjadikan kempen berkaitan Islam tidak lagi boleh dalam kerangka dikotomi iman dengan kufur atau hanya slogan yang selalu dilontarkan dalam pilihan raya abad lalu.

Justeru, tawaran dikemukakan bukan lagi 'janji mahu buat Islam' atau menuduh mana-mana pihak sebagai musuh Islam, sebaliknya mengemukakan sesuatu yang betul-betul bermanfaat kepada negara, agama dan rakyat seluruhnya.

Pengarang Berita (Rencana & Agama) BH

Berita Harian X