Selasa, 20 September 2022 | 12:20pm

Pemimpin politik ketagih rasuah, gila kuasa buat rakyat meluat

Perangsang utama menjentik keinginan menghadiri Sembang-Sembang Kopi Persatuan Anak-Anak Melayu Johor (PAMJ), Sabtu lalu, ialah tokoh yang ditampilkan, iaitu bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam, membicarakan tajuk yang skopnya begitu serbaneka.

Siri bicara tokoh dianjurkan PAMJ Wilayah Persekutuan dan Selangor itu, bertemakan Melayu: Membina Penyatuan & Menyuburkan Integriti dan ternyata, Tun Musa masih berbisa, sekalipun sekian lama menyepikan diri.

Sayugia juga dimaklumkan, Majlis Perundingan Melayu (MPM) juga pernah menganjurkan sidang meja bulat atas tajuk hampir sama, iaitu Penyatuan Bangsa sempena Sambutan Aidilfitri MPM, Mei lalu.

Pada penghujung siri bicara tokoh berlanjutan lebih dua jam itu, Tun Musa menyuarakan saranan mengenai tema siri bicara ini: jika benar Melayu itu hendak bersatu, dua perkara perlu dilaksanakan segera.

Pertama, tiga parti utama bangsa Melayu, iaitu UMNO, PAS dan BERSATU wajib bina kesepakatan ikhlas, dihormati serta diterima semua pengundi, bukan saja dalam kalangan bangsa Melayu.

Kedua, semua pemimpin itu wajib mengedepankan agenda penyatuan nasional dan bukan mempermainkan sentimen kemelayuan atau keIslaman.

Orang Melayu sendiri pun sudah meluat dan mual dengan cara serta taktik politik pemimpin yang mempermainkan dan mempersendakan kedua-dua sentimen berkenaan.

Pada hemat saya, siapa pun tokoh ditampilkan untuk berbicara mengenai topik berkaitan penyatuan bangsa, waima Tun Musa sekalipun, mesejnya tidak sampai ke telinga pemimpin Melayu dimaksudkan.

Agenda penyatuan bangsa 

Hal itu bukan disebabkan mereka pekak atau tidak insaf betapa perlunya agenda penyatuan bangsa diperkukuhkan.

Masalahnya ialah mereka tidak lagi berperanan sebagai pemimpin institusi politik kepentingan bangsa dan agama. Mereka sudah menggenggam kuasa politik, maka mereka hendak berbuat demikian sampai mati.

Jika mereka pemimpin dalam erti kata sebenarnya, mereka tidak akan menggenggam kuasa itu lama. Sebaliknya mereka pasti menjunjung kuasa itu sebagai amanah daripada bangsanya.

Andai mereka itu pemimpin dalam erti kata sebenar, mereka bukan berada di situ untuk membina legasinya, tetapi mengekalkan budaya dan tamadun kepemimpinan Melayu yang berterusan.

Mereka itu sebenarnya ketua 'kartel' politik yang lebih cenderung berperanan sebagai 'tauke' politik. Mereka menggunakan produk politik yang boleh mencetuskan sentimen dalam kalangan penyokongnya.

Pada perkiraan mereka, bangsa Melayu ini amat mudah dipengaruhi dengan sentimen berpolitik secara emosi dalam hal berkaitan agenda bangsa dan agama Islam.

Apa pun, Tun Musa tidak terlewat membuat seruan itu. Beliau pun tahu tiada pemimpin politik Melayu daripada ketiga-tiga parti politik utama bangsa Melayu itu berminat dengan seruannya.

Namun, Tun Musa tahu pengundi Melayu, malah pengundi pelbagai etnik dan kaum, jauh lebih stabil pemikiran serta emosi mereka terhadap usaha membina kemakmuran negara berbanding pemimpin politik itu.

Itu sebabnya negara ini tidak kucar-kacir sekalipun politik bergolak dan kerajaan silih berganti. Hakikatnya rakyat stabil, sekalipun berdepan kegawatan ekonomi.

Rakyat sudah tidak sangat ambil peduli akan ketidakstabilan politik. Sebabnya, apa yang tidak stabil hanyalah beberapa parti politik bangsa Melayu.

Apa yang rakyat bimbang ialah apabila jentera pentadbiran kerajaan tidak stabil kerana kerakusan sebilangan kecil mereka ketagih rasuah dan gila kuasa, manakala ramai juga antara mereka malas melaksanakan agenda kepentingan bangsa dan negara dengan sepenuh hati.

Apapun, syabas PAMJ di atas penganjuran acara itu. Kepada Tun Musa, ulangilah seruan itu, sekalipun 1,000 kali lagi. Kami akan tetap hadir menadah telinga untuk mendengar celotehmu diselangi gelak ketawa.

Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM)

Berita Harian X