Khamis, 4 Ogos 2022 | 12:20pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Tingkat penjelasan definisi, implikasi gangguan seksual

SEJAK dulu, sekarang dan sampai bila-bila perlakuan gangguan seksual menjadi isu penting wajar diperjuangkan kerana kesan salah laku jenayah itu mampu meninggalkan kesan mendalam, menjejaskan perkembangan psikologi dan fizikal kepada mangsa, sekali gus mencemar kesejahteraan masyarakat.

Oleh itu, apa-apa sahaja bentuk gangguan seksual sama sekali tidak boleh dinormalisasikan, malah masyarakat sewajarnya tidak boleh bertolak-ansur terhadap sebarang isyarat atau perkataan yang menjurus kepada tindakan keji itu, sekali gus menghentikannya segera.

Hakikatnya, perjuangan lebih sedekad Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) secara lebih terancang memang cukup lama.

Justeru, kelulusan Rang Undang-Undang Antigangguan Seksual (RUU AGS) 2021, minggu lalu menjadi langkah pertama yang signifikan untuk membendung kes gangguan seksual secara tuntas kerana dilihat semakin membarah dalam kehidupan seharian.

Sasarannya tentu sahaja bukan semata-mata untuk menurunkan statistik kes, sebaliknya paling utama mangsa boleh mendapatkan keadilan menerusi saluran betul dengan melaporkan kejadian itu kepada Tribunal Bagi Antigangguan Seksual yang akan ditubuhkan di bawah RRU AGS sebagai platform alternatif untuk diberi kuasa mendengar dan menentukan kes gangguan seksual dialami.

Dalam Fasal 7 AGS 2021, tribunal berkuasa membuat suatu award termasuk perintah kepada responden untuk mengeluarkan pernyataan permohonan maaf kepada pengadu.

Sedia peruntukan hak tebus rugi

RUU AGS juga menyediakan peruntukan hak tebus rugi kepada individu mengalami gangguan seksual dengan tribunal berkuasa mengeluarkan perintah kepada pelaku untuk membayar pampasan sehingga RM250,000 kepada mangsa bagi apa-apa kehilangan atau kerosakan ditanggungnya.

Secara keseluruhannya, RRU AGS jelas antara lain bertujuan meningkatkan pemahaman dan kesedaran masyarakat mengenai perlakuan itu, sekali gus memastikan persekitaran selamat dan kondusif dapat diwujudkan, selain isyarat serius bahawa negara mahu menangani sebarang bentuk diskriminasi atau keganasan berasaskan gender.

Kita tidak mahu isu gangguan seksual meninggalkan kesan trauma, fobia dan takut hingga boleh menjejaskan rutin harian, produktiviti, kesejahteraan dan kehidupan mangsa secara keseluruhannya.

Masyarakat perlu disedarkan bahawa kelakuan bersifat seksual boleh berlaku dalam apa-apa bentuk sama ada secara lisan, bukan lisan, visual, isyarat atau fizikal ditujukan kepada seseorang yang menyinggung, menghina atau mengancam mangsa.

Ini termasuk pandangan atau kerlingan memberikan bayangan niat atau keinginan berbentuk seksual, menghantar atau menunjukkan mesej berunsur seksual menerusi media elektronik, dalam talian atau secara berhadapan atau isyarat membayangkan perlakuan seks atau lain-lain berkaitan, semuanya termasuk dalam jenayah gangguan seksual.

Maka, sesiapa yang mengalami gangguan berkenaan, jangan berdiam diri tetapi gunakan hak itu untuk membuat aduan kerana tingkah laku itu tidak boleh dibiarkan.

Bagaimanapun, kita akui masih banyak perlu dilakukan untuk memastikan semua mangsa tidak malu atau takut untuk tampil membuat aduan.

Ini kerana berdasarkan beberapa soal selidik, statistik mangsa tampil membuat aduan masih terlalu rendah kerana kira-kira 80 peratus individu mengalami gangguan seksual tidak membuat laporan atas pelbagai sebab seperti fobia, malu dan trauma.

Malah, berdasarkan soal selidik Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) pada 2019 terhadap 28,852 responden berusia 21 hingga 40 tahun di negara ini, hanya 1,796 atau 6.3 peratus responden akan membuat laporan, manakala majoriti (93.7 peratus) memilih tidak membuat laporan.

Dalam kajian sama, seramai 17,925 responden (62 peratus) menyatakan undang-undang sedia ada tidak mencukupi untuk mengendalikan kes gangguan seksual.

Mengikut kajian dilakukan Omnibus YouGov pada 2019 pula, 36 peratus wanita Malaysia didapati mengalami gangguan seksual berbanding hanya 17 peratus lelaki.

Daripada jumlah itu, 53 peratus daripada wanita mengalami gangguan seksual membuat laporan atau memberitahu kepada seseorang.

Rekod Pusat Tadbir Urus dan Pengajian Politik (CENT-GPS) 2021 pula mencatatkan 57 peratus wanita berusia 18 dan 30 tahun mengalami gangguan seksual berbentuk lisan secara kebiasaan apabila di jalanan, malah mereka mengaku diganggu secara seksual berbentuk lisan sekurang-kurangnya sekali di jalanan.

Anggap gurauan, usikan

Malah, isu gangguan seksual juga biasa berlaku di tempat kerja yang seolah-olah sudah menjadi perkara lumrah. Ramai menganggap perbuatan itu sekadar gurauan atau usikan untuk meredakan tekanan akibat bebanan tugas di pejabat atau memang sengaja suka-suka untuk menarik perhatian mangsa.

Namun, kita yakin perlakuan kecil jika dibiarkan akan bertambah serius kerana si pelaku merasakan mangsa boleh menerima segala tindakannya.

Bagi mewujudkan suasana kondusif tidak kira di mana juga lokasinya, perlakuan berkenaan tidak seharusnya dipandang remeh demi menjaga maruah terutama wanita yang kerap menjadi sasaran perbuatan itu.

Justeru, RUU AGS 2021 yang dijangka dibawa bagi bacaan kali kedua dan ketiga di Dewan Negara, bulan ini sebelum diluluskan serta diserahkan untuk diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.

Yang pasti, proses ini sebenarnya masih panjang termasuk kerajaan perlu bersedia menerima cadangan daripada pelbagai pihak untuk penambahbaikan dalam segenap aspek supaya pengklasfikasian apa saja bentuk perlakuan itu tiada sebarang kelompangan.

Pada masa sama, KPWKM juga perlu melipatgandakan siri jelajah ke seluruh negara bagi memberi penerangan, pemahaman secara menyeluruh, meningkatkan kesedaran serta program advokasi mengenai gangguan seksual.

Penerangan lebih jelas mengenai definisi gangguan seksual, implikasi dan akibatnya kepada mangsa, tatacara pelaporan, bagaimana pendengaran kes dan fungsi Tribunal bakal dilaksanakan, bentuk serta sistem sokongan diperlukan mangsa.

Justeru, kita mengharapkan dengan semua input yang diperoleh itu, penggubalan rang undang-undang gangguan seksual yang lebih holistik dan cukup kukuh untuk dilaksanakan bagi membendung perilaku kegiatan ini dan memberi keadilan kepada mangsa jenayah gangguan seksual.

Penulis adalah Pengarang Berita BH

Berita Harian X