Isnin, 25 Julai 2022 | 2:23pm

Pemasyhuran UnIPSAS tingkat peranan martabat ilmu Islam

Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) mencatat sejarah apabila dimasyhurkan sebagai universiti pada hari ini. Lebih membanggakan, majlis pemasyhuran itu disempurnakan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Turut berangkat ke majlis pemasyhuran adalah Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, selaku Canselor UnIPSAS.

Turut hadir, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Datuk Dr Husaini Omar.

Mengimbas kembali sejarahnya, UnIPSAS adalah institusi pengajian tinggi berteraskan Islam milik penuh kerajaan Pahang ditubuhkan pada 27 Ogos 1996. Universiti ini memulakan operasinya dengan nama Kolej Islam Pahang (KUIP) beroperasi di bangunan bekas Pusat Pertanian Paya Besar.

Pengambilan kumpulan pelajar pertama seramai 71 orang dimulakan sebaik menerima keputusan Kementerian Pendidikan ketika itu. Universiti yang cukup sinonim dengan Al-Marhum Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah ini dirasmikan baginda pada 16 November 2000.

Pada tahun itu, nama Kolej Islam Pahang ditukar kepada Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KIPSAS). Selepas 19 tahun beroperasi, universiti ini terus melakar kecemerlangan apabila dinaik taraf sebagai kolej universiti pada 20 Oktober 2015.

Pada peringkat awal, tiga program pengajian diploma Pengajian Islam ditawarkan iaitu Bahasa Arab dan Tamadun Islam, Dakwah dan Pengurusan Islam serta Syariah Perbandingan.

Kini, UnIPSAS mempunyai 32 program pengajian bermula daripada peringkat asasi sehingga ijazah doktor falsafah (PhD). Program pengajian ini diletakkan di bawah tiga fakulti iaitu Fakulti Pengajian Islam, Fakulti Pengurusan dan Informatik serta Fakulti Pengajian Bahasa dan Asasi.

Sejak ditubuhkan lebih 25 tahun lalu, UnIPSAS melahirkan 5,280 graduan. Bagi meluaskan jaringan strategik dengan industri dan pemegang taruh, UnIPSAS menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dan memorandum perjanjian (MoA) dengan industri serta institusi pengajian tinggi (IPT) dalam dan luar negara seperti Universiti al-Azhar, Mesir dan di Jordan.

Antara hasil MoA itu adalah pelajar lepasan Diploma Pengajian Islam UnIPSAS boleh menyambung pengajian pada peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti al-Azhar dengan terus memasuki tahun kedua atau ketiga.

UnIPSAS terbabit secara serius dalam membantu kerajaan Pahang dan agensi lain melalui aktiviti kajian dan penyelidikan. Antara kejayaan penyelidikan ialah UnIPSAS dilantik sebagai panel pakar oleh Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri bagi kajian melengkapkan pangkalan data miskin tegar di seluruh Pahang.

Selain itu, UnIPSAS membantu membina Garis Panduan Pengurusan Harta Tidak Patuh Syariah serta kertas dasar bagi hukum mengambil berkat daripada capal@replika capal milik Rasulullah SAW.

Pelajar UnIPSAS juga memperoleh pencapaian sangat membanggakan. Antaranya, Syed Amirul Rosyid Sy Mohd Sukri, pelajar Ijazah Sarjana Muda Syariah dengan Pentadbiran Kehakiman (Kepujian) terpilih mewakili Pahang dalam program Graduate Ambassador For #Kisahsiswa Digital Volunteering Programme.

Begitu juga Muqri Zafran Mat Khusniza, pelajar Diploma Pengajian Islam Pengkhususan Dakwah dan Pengurusan yang dinobatkan sebagai Johan Pertandingan Syarahan Manhaj Rabbani, Ummah Berkualiti anjuran Jabatan Agama Islam Pahang bagi tahun 2021.

Selepas lima tahun beroperasi sebagai Kolej Universiti, institusi ini merancang bagi mendapatkan penarafan sebagai universiti penuh. Pada 3 Mac 2021, pembentangan permohonan naik taraf KUIPSAS ke universiti penuh dilaksanakan Setiausaha Kerajaan negeri (SUK) merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah Sistem Pendidikan Islam Pahang Sdn Bhd (SPIPSB), Datuk Seri Sallehuddin Ishak.

Sesi pembentangan ini dipengerusikan Husaini dan disertai ahli panel Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan universiti awam. Pada 29 Mac 2021, surat kelulusan naik taraf universiti penuh diserahkan Noraini kepada Wan Rosdy di Putrajaya.

Pada 1 Disember 2021 Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima menghadap Noraini di Istana Negara bagi menerima Warkah Perakuan Pendaftaran InIPSAS.

Kejayaan UnIPSAS dinaik taraf sebagai sebuah universiti penuh adalah kebanggaan rakyat dan Pahang Darul Makmur dalam memartabatkan kecemerlangan ilmu dan keterampilan insan.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi, Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS).

Berita Harian X