Data ialah aset berharga kepada perkhidmatan awam sebagai elemen penting memperkasa penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat. Ini kerana data ialah sumber asas penghasilan maklumat dalam membantu kerajaan memahami keperluan semasa dan masa hadapan, sekali gus membuat keputusan tepat secara cekap serta berkesan.
Ini terbukti melalui Rancangan Malaysia Ke-11 2016–2020 (RMK-11) seperti dinyatakan dalam Bab 9, Bidang Fokus A: Mempertingkat Penyampaian Perkhidmatan dengan Mengutamakan Rakyat, di bawah Strategi A3 - Memanfaatkan Data Bagi Meningkatkan Outcome dan Mengurangkan Kos.
Bagi tujuan pemanfaatan data, kerajaan melaksana dan memperkukuh inisiatif data terbuka serta analitis data raya terhadap seluruh agensi sektor awam. Kedua-dua inisiatif ini masing-masing dikenali sebagai Data Terbuka Sektor Awam (DTSA) dan Data Raya Sektor Awam (DRSA).
Melalui inisiatif DTSA, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) membangunkan Portal Data Terbuka (www.data.gov.my) sebagai platform memudahkan data terbuka kerajaan diakses secara berpusat daripada sumber rasmi. Bermula hanya 115 set data pada 2014, kini 12,683 set data terbuka menjadi rujukan pelbagai pihak termasuk industri, akademia, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), penyelidik, pelajar dan orang awam.
Data terbuka dirujuk ini didefinisikan sebagai data kerajaan boleh digunakan secara bebas, dikongsi dan digunakan semula oleh rakyat, agensi sektor awam serta swasta bagi sebarang tujuan. Penyediaan data terbuka oleh agensi sektor awam membabitkan penilaian teliti terhadap data bagi memastikan pematuhan kepada perundangan,peraturan dan polisi berkuat kuasa.
Ketersediaan dan kebolehcapaian data terbuka kerajaan menunjukkan ketelusan perkhidmatan awam dalam meningkatkan kebolehgunaan data melalui penghasilan produk data sama ada dalam bentuk sistem aplikasi, penyelidikan atau hasil analisis data.
Melalui pertandingan data terbuka dianjurkan MAMPU, iaitu gabungan Hackathon Data Terbuka dan Hackathon Aplikasi Mudah Alih yang kini dikenali sebagai Challenge on Innovation and Problem solving through Technology Advancement (CHIPTA), banyak inovasi dalam bentuk aplikasi berjaya dibangunkan.
Maklumat dan pengetahuan diperoleh daripada inovasi data terbuka meningkatkan keupayaan
kerajaan untuk memberikan perkhidmatan lebih produktif, proaktif dan inklusif.
Berbeza dengan inisiatif DTSA, DRSA dipelopori MAMPU ini adalah berkaitan analisis pelbagai jenis data sama ada berstruktur, separa berstruktur atau tidak berstruktur. Analisis dibuat terhadap data sistem aplikasi, teks, imej, audio, video, fail log dan media sosial akan menghasilkan pengetahuan atau maklumat berbentuk deskriptif, diagnostik, prediktif dan preskriptif.
Antara produk DRSA dibangunkan ialah
Analisis Data Raya Penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi mengenal pasti trend tindakan penguatkuasaan serta meningkatkan perancangan operasi dan pembudayaan pematuhan peraturan jalan raya.
Sistem Cartelogy, Kementerian Kewangan pula dibangunkan untuk memperkukuh pengurusan perolehan kerajaan. Melalui sistem ini, corak hubungan antara pembekal dan tender serta sebut harga disertai boleh dikenal pasti, seterusnya dapat mengesan potensi pakatan harga serta risiko rasuah dan monopoli pembekal dalam perolehan kerajaan.
Penggunaan produk data ini memberi impak
besar kepada kerajaan kerana hasil analisis data membantu kerajaan dalam menggubal polisi serta merancang pelan tindakan berdasarkan keperluan semasa dan masa hadapan dengan lebih baik. Pencapaian DRSA tidak terhad terhadap pembangunan produk data tetapi juga termasuk penyediaan platform guna sama, metodologi, rangka kerja, tadbir urus dan garis panduan pelaksanaan DRSA.
Selain itu, khidmat nasihat dan perundingan diberikan turut membantu dalam memberi pendedahan serta bimbingan bagi menggalakkan agensi sektor awam melaksanakan analisis data raya di agensi masing-masing.
Kompetensi penjawat awam juga dapat ditingkatkan melalui program latihan, kursus pensijilan dan bimbingan pembangunan produk data bagi membangunkan modal insan berkemahiran dalam analisis data raya.
Selain DTSA dan DRSA, kerajaan juga melihat aspek penggunaan semula data merentas agensi bagi mengurangkan pertindihan pengutipan data serta memperkasa sistem penyampaian perkhidmatan merentas agensi.
Rentetan itu, Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam Bilangan 2 Tahun 2021 - Dasar Perkongsian Data Sektor Awam dibangunkan. Pekeliling ini memberi panduan pelaksanaan perkongsian data merentas agensi ke arah penyampaian perkhidmatan bersepadu dan berpacukan data.
Antara inisiatif ditekankan dalam pekeliling ini ialah penggunaan standard Data Dictionary Sektor Awam (DDSA) (sddsa.mampu.gov.my), iaitu standard berkaitan data bagi menyokong saling kendali.
Pada 2002, DDSA dibangunkan MAMPU menyediakan standard definisi bagi sesuatu elemen data dan standard format data (saiz dan jenis medan). Antara elemen data boleh dirujuk ialah nama, alamat tetap dan negeri merangkumi data spesifik serta generik. Contoh definisi elemen data bagi nama ialah 'nama seperti dalam kad pengenalan'; mereka belum memperoleh kad pengenalan (nama seperti dalam sijil lahir) dan bagi warganegara asing (nama seperti dalam pasport).
Selain itu, DDSA turut menyediakan data rujukan kepada elemen data tertentu seperti data rujukan jantina, agama dan negara. Sungguhpun DDSA dilaksanakan hampir 20 tahun, ia masih relevan menjadi rujukan pelbagai pihak sama ada penjawat awam mahupun orang awam. DDSA kini dalam proses penambahbaikan bagi meningkatkan potensinya selari dengan perkembangan teknologi digital dan evolusi data.
Teknologi Komunikasi dan Maklumat (ICT) serta data memberikan keupayaan baharu kepada kerajaan untuk menjangkakan perkara mungkin akan berlaku pada masa hadapan. Sesuatu tindakan dapat dirangka kerajaan bagi mencapai sesuatu tujuan atau mengelakkan sesuatu perkara daripada berlaku. Namun, kemajuan dan revolusi teknologi seperti penggunaan internet benda (IoT) turut menyumbang kepada ledakan data.
Oleh itu, cabaran menangani data sama ada bagi tujuan penyimpanan atau pemprosesan perlu diurus sewajarnya bagi memastikan aset data dapat dimanfaatkan sepenuhnya. Data juga perlu digunakan secara beretika selari prinsip Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia yang menyatakan data dan peralatan digital perlu digunakan secara beretika.
Justeru, data seperti wang, perlu diuruskan selamat dan selari dengan perundangan sedia ada agar integriti data terpelihara bagi merealisasikan potensi serta manfaat data sepenuhnya.
Usaha pengurusan dan pemanfaatan data berterusan adalah penting kepada sektor awam serta negara dan diambil kira dalam perancangan strategik hala tuju masa hadapan seperti dalam Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia, iaitu di Teras Strategik 1: Memacu Transformasi Digital Sektor Awam; Strategi 4: Memanfaatkan data untuk menambah baik perkhidmatan kerajaan.
Diharapkan melalui pemanfaatan data, penyampaian perkhidmatan kerajaan boleh terus diperkasakan bagi memperkukuh landasan pembangunan negara bagi mencapai objektif Malaysia Makmur, Inklusif dan Mampan berlandaskan semangat Keluarga Malaysia.