Khamis, 2 Jun 2022 | 11:00am
Istana Kehakiman, Putrajaya. - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim
Istana Kehakiman, Putrajaya. - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim

Siasatan tribunal tutup suara sumbang pertikai Badan Kehakiman

Titik hitam keruntuhan sistem kehakiman negara dikatakan bermula pada 1988 apabila Allahyarham Tun Dr Mohamed Salleh Abas dipecat sebagai Ketua Hakim Negara selepas peristiwa pengharaman UMNO.

Pada 2007, badan kehakiman negara, sekali lagi diuji dengan kemunculan video membabitkan peguam kanan, Datuk V K Lingam dikatakan bercakap dengan Hakim Besar Malaya dan berbincang mengenai pelantikan hakim, pada ketika itu.

Kesan daripada krisis badan kehakiman pada 1988, pindaan terhadap Perlembagaan dibuat dan kuasa mahkamah dihadkan.

Terbaru, serangan ke atas Badan Kehakiman terjadi lagi apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat siasatan terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Ghazali.

Sabtu lalu, Majlis Peguam mengutuk sekeras-kerasnya sebarang campur tangan ke atas kebebasan Badan Kehakiman dan pelanggaran prinsip asas pengasingan kuasa menjadi satu daripada kata putus pihak berkenaan.

Mohd Nazlan adalah hakim yang mengenakan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Datuk Seri Najib Razak selepas mendapati bekas Perdana Menteri itu bersalah terhadap tuduhan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.

Sementara itu, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan pada 21 April lalu berkata, artikel ditulis penulis blog, Raja Petra Kamarudin bertajuk Judge Mohd Nazlan being investigated for unexplained RM1 million in his bank account disiarkan di sebuah portal berita adalah palsu dan tidak berasas.

Maka, timbul pelbagai persoalan membabitkan isu kebebasan Badan Kehakiman negara, antaranya adakah doktrin pengasingan kuasa seperti termaktub dalam Perlembagaan hanya wujud di atas kertas, namun tidak dipraktikkan?

Mungkin juga siasatan dibuat pada waktu salah, lebih-lebih lagi ketika kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) masih pada peringkat rayuan.

Pakar Undang-undang dan Perlembagaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar, berkata kebebasan kehakiman sememangnya diperuntukkan dalam Perlembagaan.

Bagaimanapun, pengasingan kuasa dan kebebasan kehakiman mempunyai banyak aspek, antaranya pelantikan, pemecatan dan perlindungan seorang hakim.

Di negara ini, doktrin pengasingan kuasa masih diamalkan sehingga sekarang dan bukan sekadar prinsip atau teori. Mengambil contoh pengasingan kuasa dalam pelantikan hakim, Perlembagaan memperuntukkan Hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi dilantik Yang di-Pertuan Agong, jelas beliau.

Tambahnya, tugas seorang hakim adalah menegakkan keadilan, namun itu tidak bermakna hakim berada di atas undang-undang atau tidak boleh disiasat terutama membabitkan kesalahan jenayah.

Dalam hal ini, Perkara 125 Perlembagaan memperuntukkan sekiranya terdapat mana-mana pelanggaran terhadap etika atau salah laku hakim, maka dakwaan boleh dirujuk kepada tribunal atau badan ditubuhkan di bawah undang-undang persekutuan untuk mengendalikan pelanggaran itu.

Tambahnya, dakwaan salah laku dan kritikan dibuat menerusi tribunal dapat memastikan perkara itu ditangani dengan berkesan mengikut lunas undang-undang dan Perlembagaan. Ia juga boleh menutup suara sumbang atau campur tangan luar terhadap Badan Kehakiman.

Bagaimanapun kata beliau, tribunal itu hanya mendengar keterangan dan tidak mempunyai kuasa melakukan siasatan.

Maka, di sini tribunal sekali lagi memainkan peranan mereka dengan meminta bantuan atau mengarahkan polis atau SPRM menjalankan siasatan.

Arahan itu akan menghilangkan syak wasangka orang ramai mengenai campur tangan eksekutif, iaitu polis atau SPRM terhadap badan kehakiman, memandangkan ia atas permintaan tribunal.

Sementara itu, pengamal undang-undang, Farhan Read menjelaskan, siasatan dilakukan SPRM terhadap Mohd Nazlan bukan perkara salah.

Sebaliknya, SPRM harus diberi ruang dan peluang menjalankan siasatan tanpa dikritik atau diberikan tekanan mana-mana pihak mendakwa Mohd Nazlan diperangkap.

"Siasatan pihak berkuasa tidak bermakna ia melanggar doktrin pengasingan kuasa, sebaliknya itu adalah tugas dan tanggungjawab mereka sebagai badan eksekutif.

"Namun pada masa sama, ia perlu dilakukan secara berhemah dan profesional supaya tidak menimbulkan kesangsian dan meruntuhkan kepercayaan awam terhadap badan kehakiman.

"Dalam hal ini, kenyataan media SPRM hanya perlu menyentuh berkenaan status siasatan yang diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk keputusan dibuat ke atas siasatan dijalankan," katanya.

Penulis adalah Wartawan BH

Berita Harian X