Jumaat, 8 April 2022 | 11:00am
DARI kiri; Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
DARI kiri; Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pembangkang kena cari formula bentuk jajaran lebih kuat, mantap

Pertemuan antara Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Tun Dr Mahathir Mohamad dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang juga Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghangatkan kembali politik Malaysia.

Apatah lagi pertemuan itu turut mencetuskan kenyataan balas antara ketiga-tiga pemimpin itu khususnya antara BERSATU dengan PEJUANG, manakala parti sekutu PH, iaitu PKR bakal menjalani proses pencalonan untuk pemilihan bermula hari ini hingga Isnin depan.

Pada asasnya, pertemuan itu dilaporkan membincangkan peluang bagi membentuk kerjasama baharu menggabungkan parti pembangkang menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bagi menyaingi Barisan Nasional (BN).

Ini juga berdasarkan laporan Biro Politik BERSATU memberi mandat kepada Muhyiddin untuk membincangkan strategi parti bersama parti politik lain bagi menghadapi PRU-15 akan datang.

Realitinya, cadangan pembentukan kerjasama dan pakatan bukan baharu, sebaliknya ia semakin kuat diperkatakan selepas keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor memperlihatkan kemenangan bergaya BN antaranya disebabkan pembangkang lemah dan berpecah.

Ironinya, BERSATU memulakan inisiatif itu sebenarnya sebahagian daripada parti membentuk kerajaan pada peringkat Persekutuan bersama BN.

Maka, ia sebenarnya bukan pembentukan pakatan pembangkang tetapi lebih jajaran strategik baharu bagi menghadapi BN dalam PRU-15.

Memahami sifat politik pilihan raya dinamik dan cair (fluid), pembentukan kerjasama strategik adalah sesuatu normal. Formula ini menjadi asas politik pilihan raya negara dalam konteks pengundian berdasarkan kaum.

BN contohnya berjaya menggunakan formula permuafakatan (consociational) antara parti komponen untuk menang setiap kali pilihan raya diadakan.

BN terlalu kuat dan dominan itulah membawa evolusi tradisi pembangkang dalam tempoh 20 tahun. Bermula era reformasi pada 1998 hingga BN tumbang pada 2018, dinamika politik pembangkang bergerak dan berkembang untuk menumbangkan BN serta memperkasakan demokrasi.

Evolusi ini membawa kepada gerakan pembangkang lebih kemas dan tersusun. Daripada Barisan Alternatif (BA), Pakatan Rakyat (PR) dan PH, gerakan terbabit menonjolkan bagaimana pembangkang menggerakkan naratif penawaran dan pada masa sama, cuba membentuk pakatan benar-benar kuat serta mantap.

Sebelumnya, adalah mustahil pakatan pembangkang mengalahkan BN apatah lagi kalau bertanding berasingan.

Mungkin naratif pembangkang sepanjang 20 tahun berhasil menumbangkan BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), namun kesannya tidak lama dan BN kini dilihat kembali diterima.

Justeru, timbul beberapa persoalan jajaran baharu ini. Pertama, sejauh mana ia relevan kepada politik pembangkang 2.0? Kedua dan paling penting, mampukah dan bagaimana ia boleh berlaku?

Berdasarkan keputusan PRN Melaka dan Johor, pembangkang seperti memerlukan satu 'reset' pantas serta segera jika mahu menyaingi BN atau memenangi pilihan raya.

Walaupun BN menang, keputusan berkenaan masih tidak menggambarkan senario sebenar. Dari perspektif pembangkang, jelas mereka berhadapan krisis identiti dan kredibiliti untuk menyaingi BN.

Justeru, cadangan mewujudkan gabungan pembangkang dalam satu 'khemah besar' masih belum mencukupi.

Pembangkang ketika ini mungkin sudah kalah bertempur, tetapi masih boleh mengelakkan kalah berperang.

Dengan pertambahan pengundi dalam 'perang' PRU-15 akan datang, apa diperlukan adalah penyusunan semula kekuatan dan strategi kemas, kemudian mengemukakan naratif lebih baik serta berwibawa.

Bagaimanapun harus diingat, membentuk satu pakatan hanya sebahagian proses awal 'reset' gerakan mereka. Relevan atau tidak itu bukan persoalannya. Yang penting siapa mahu membuang ego bagi membolehkan pakatan itu terbentuk.

Persoalan asas seperti pendirian dan penerimaan PAS terhadap DAP atau PEJUANG terhadap BERSATU atau komponen PH sendiri berkenaan siapa patut diangkat mengepalai pakatan itu dilihat masih bermasalah.

Setakat ini, tidak nampak ada kemungkinan kerjasama antara Dr Mahathir dan Anwar, manakala PH sendiri masih tiada tokoh lain selain Anwar untuk mengepalainya, walaupun desakan menolak Ketua Pembangkang semakin bergema.

Pemimpin PH pula mempunyai pendirian keras enggan bekerjasama dengan 'pengkhianat' menikam mereka sebelum ini. Parti lain juga dikatakan berkeras mahukan tokoh mereka dipertimbangkan mengepalai kerjasama baharu itu.

Nama seperti Muhyiddin dan Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal juga sangat berpengaruh serta berpotensi untuk menjayakan atau menggagalkan perancangan itu.

Tidak ketinggalan, Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Abd Rahman dan pasukannya juga boleh menjadi kuasa ketiga jika ditarik menyertai gabungan baharu itu.

Masalahnya, akibat terlalu banyak tokoh dan pemimpin, tiada pula mahu mengalah dan tiada faktor penyatu dalam pembangkang.

Tiada kesepakatan antara pemimpin pembangkang serta faktor persaingan ketara, persepsi kestabilan dan kemakmuran politik daripada kem pembangkang dilihat tidak meyakinkan berbanding pihak lawan.

Apatah lagi selepas 22 bulan menjadi kerajaan pramatang, pembangkang terutama PH masih dibebani persepsi gagal menunaikan janji yang hingga kini, masih gagal dikikis.

Dua perkara dilihat membebani pembangkang ketika ini ialah ketiadaan suatu naratif kuat dan masih gagal meyakinkan rakyat bahawa mereka berpotensi menjadi kerajaan berwibawa bila-bila masa.

Dua PRN sebelum ini memperlihatkan peratusan keluar mengundi rendah dan sentimen terhadap politik berubah memberi kelebihan kepada BN.

Tekanan mengadakan PRU-15 lebih awal pula mungkin strategi tersirat BN untuk terus diterima rakyat sebagai kerajaan ketika pembangkang masih dalam keadaan tidak sempurna.

Dengan Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik bakal teruji sekali lagi dalam Sidang Khas Parlimen Isnin ini, nasib pembangkang bergantung kepada keputusan sidang itu.

Berjaya atau tidak Rang Undang-Undang (RUU) Akta Antilompat Parti diluluskan, tekanan sememangnya lebih kepada pembangkang.

Kalau berjaya, ia hanya akan memberi masa kepada pembangkang dijangkakan tidak membawa apa-apa kelebihan. Sekiranya kalah, BN sudah tentu akan menggunakannya untuk merosakkan reputasi pembangkang dan menekan Perdana Menteri untuk membubarkan Parlimen.

Secara mudah, pembangkang sudah tiada pilihan lain selain daripada mencari formula menang-menang untuk membentuk jajaran kepembangkangan kuat dan mantap.

Jelas pembangkang sebenarnya hanya memerlukan kepemimpinan jitu bagi sekurang-kurangnya merealisasikan penyatuan mereka dalam satu gerakan tersusun.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi (FSPPP) Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Berita Harian X