Sabtu, 2 April 2022 | 10:30am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

MySJ Trace perlu dikuat kuasa bantu pengesanan kontak rapat

MySejahtera adalah aplikasi dilancarkan kerajaan pada April 2020 bertujuan memantau dan mengawasi penularan COVID-19 dalam kalangan penduduk.

Aplikasi ini membolehkan Kementerian Kesihatan (KKM) mengawal dan mengambil tindakan cepat bagi mengawal penularan COVID-19 melalui fungsi disediakan dalam aplikasi ini.

Dalam pengurusan penyakit berjangkit, pengesanan awal dan pengasingan adalah penting dalam mengekang penularan sesuatu penyakit.

Sebarang kelewatan dalam tindakan berkenaan akan mendorong wujudnya kluster penyakit berjangkit di kawasan tertentu.

Jika penularan ini gagal dikawal ia menyebabkan peningkatan kes kematian ke atas golongan rentan seperti warga emas, pesakit dengan penyakit kronik dan kanak-kanak.

Fungsi MySJ Check-In diwujudkan untuk merekodkan data setiap pelawat yang hadir di apa juga premis dengan mengimbas kod QR MySejahtera yang ada di premis berkenaan.

Ini bagi membolehkan pemilik premis merekod dan mengenal pasti pelawat hadir ke premis mereka kerana aplikasi ini menyatakan maklumat pelawat terutama nama penuh, alamat berserta nombor telefon bagi tujuan pengesanan kontak.

Bermakna, fungsi MySJ Check-In menjana maklumat setiap pelawat dengan cepat dan tepat untuk tindakan lanjut pejabat kesihatan.

Asbab kepentingan inilah penggunaan MySJ Check-In diwartakan dan diwajibkan penggunaannya di dalam prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Namun begitu, baru-baru ini KKM memperkenalkan fungsi baharu iaitu MySJ Trace yang dilihat dapat menggantikan peranan MySJ Check-In dalam membuat pengesanan kontak, tetapi penggunaannya masih belum dikuatkuasakan sepenuhnya.

Antara fungsi lain MySJ Check-In adalah untuk mengenal pasti dan menyenaraikan titik panas (Hotspot) melalui data kedatangan pesakit COVID-19 ke sesuatu premis.

Pengecaman Lokasi Panas untuk Libat Urus Dinamik atau Hotspot Identification for Dynamic Engagement (HIDE) menggunakan sistem kecerdasan buatan (AI) dalam membuat ramalan lokaliti berpotensi merebaknya COVID-19 berdasarkan data diperoleh melalui MySJ Check-In.

Senarai premis di bawah HIDE akan diterbitkan KKM untuk tindakan lanjut Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) supaya pemantauan pematuhan SOP di lokaliti berkenaan dilakukan sekali gus mengekang penularan wabak.

Namun, sistem HIDE ini dilihat kurang relevan selepas negara memasuki fasa peralihan ke endemik.

Ini kerana, virus COVID-19 dengan pelbagai varian boleh dikatakan menular ke setiap pelosok dalam negara, menjadikan hampir setiap premis berpotensi menyebarkan virus berkenaan.

Begitu pun, ia tidak bermakna sistem MySJ Check-In perlu dibuang terus fungsinya kerana ada aspek tertentu fungsi ini boleh dimanfaatkan kerajaan.

Sebagai contoh, fungsi ini boleh digunakan untuk merekodkan kedatangan pengembara memasuki Malaysia melalui pintu sempadan negara.

Fungsi ini dapat membantu KKM memantau dan memastikan setiap pengembara yang tiba untuk melakukan saringan COVID-19 dalam tempoh 24 jam selepas ketibaan di Malaysia.

Surat arahan kuarantin akan diberikan secara automatik sekiranya pengembara gagal melakukan ujian saringan dalam selang masa ditetapkan, sekali gus membolehkan pengembara dikompaun sekiranya didapati melanggar arahan kuarantin.

Justeru, fungsi MySJ Check-In boleh dimansuhkan penggunaannya di premis dalam negara kerana fungsi tertentu diambil alih dengan fungsi lain seperti MySJ Trace dalam membuat pengesanan kontak rapat.

Namun, pihak kerajaan harus menguatkuasakan penggunaan MySJ Trace ini kerana pengesanan kontak rapat masih perlu dilakukan walaupun kita berada dalam fasa peralihan ke endemik.

Selain itu, sistem HIDE menggunakan data MySJ Check-In juga dilihat kurang relevan kerana penularan COVID-19 boleh dikatakan 'berada di mana-mana' di Malaysia.

Pemansuhan penggunaan MySJ Check-In di premis juga secara tidak langsung mengembalikan secara beransur-ansur kehidupan rakyat kepada norma asal sebelum wabak COVID-19 melanda negara.

Penulis adalah bekas Presiden Ikatan Pengamal Perubatan Dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) Johor

Berita Harian X