Rabu, 16 March 2022 | 11:15am

Perkukuh dasar sekuriti makanan negara hadapi cabaran global

SEKURITI makanan, sumber alam dan ekonomi adalah perkara perlu diberi perhatian mana-mana kerajaan pada masa ini. Kerajaan juga perlu mencari jalan menempuh dengan bijak dan berwaspada.

Pola krisis dan kejutan melanda negara ketika ini sangat luar biasa sifatnya daripada semua sudut. Pandemik sejak 2020 belum menunjukkan ia akan berakhir dalam tempoh terdekat.

Kemudian, negara ditimpa bencana alam seperti banjir berskala besar, menyebabkan kehancuran harta benda dan kehilangan nyawa.

Terbaru konflik Russia dan Ukraine tercetus dan ia berpotensi mengheret dunia ke dalam peperangan dunia ketiga.

Gabungan semua badai ini memberi impak besar kepada sektor pertanian dan ekonomi negara. Krisis dan bencana yang berlaku memberi kesan kepada harga komoditi, terutama industri dan makanan. Ia akan terus meningkat dengan besar.

Komoditi industri meningkat besar adalah bahan api dan cecair gas asli. Ini disebabkan permintaan meningkat mendadak selepas beberapa negara beralih daripada status pandemik kepada endemik.

Malangnya, penghantaran menjadi perlahan akibat masalah rantaian bekalan atau logistik dan kekurangan buruh sehingga merencatkan pengeluaran.

Ketidakseimbangan ini diburukkan lagi dengan konflik Russia-Ukraine. Sekatan dikenakan Pertubuhan Negara Atlantik Utara (NATO) menjejaskan bekalan petrol Russia selaku pengeluar petrol ke-10 terbesar dunia dan negara kedua berpengaruh di bawah Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC).

Harga petrol dijangka mencecah lebih daripada tiga digit iaitu melepasi AS$100 satu tong dan bertahan sehingga konflik reda.

Kesan kenaikan petrol dan gas cecair adalah negara mengalami untung eksport besar, terutama PETRONAS namun yang menjadi mangsa adalah petani kerana kos pengangkutan, baja dan kimia berasaskan petrol meningkat.

Petani melaporkan kos baja meningkat melebihi 100 peratus, sekali gus menyebabkan margin keuntungan mungkin mengecil lantas pengeluaran makanan seperti beras, sayur-sayuran, akuakultur, makanan proses berkurangan.

Sementara itu, pengguna miskin mengalami beban kos pengangkutan tinggi jika kerajaan turut mengubah suai harga petrol mengikut trend dunia.

Perusahaan kecil, sederhana dan mikro (PKSM) dijangka mengalami peningkatan kos tenaga dan bahan api, sekali gus menyebabkan margin keuntungan mereka berkurang.

Usahawan mikro mungkin tidak dapat bertahan dan lazimnya pengusaha memindahkan beban kos kepada pengguna melalui peningkatan harga.

Paras harga komoditi makanan seperti soya dan gandum berada pada paras tinggi, akan meningkat lagi kesan konflik Russia-Ukraine.

Ukraine adalah pengeluar utama gandum dan Russia pula pengeluar soya. Kepincangan antara dua negara ini akan mempengaruhi soya dan gandum.

Kesan kenaikan harga soya menjejaskan kos fid untuk ternakan kerana ia adalah bahan utama. Kenaikan harga soya meningkatkan permintaan jagung yang juga bahan utama fid ternakan. Maka industri ayam pedaging, lembu dan kambing tempatan akan mengalami kesempitan keuntungan kerana dibebani kos bahan api, pengangkutan, jagung dan soya.

Pengusaha lemah dan terlalu kecil mungkin gulung tikar kerana tidak dapat bertahan, manakala sektor pengeluaran makanan negara tidak mampu bertumbuh dan ini mendorong negara mengimport lebih banyak makanan untuk penduduknya.

Impak kepada peningkatan import makanan hanya melemahkan lagi sektor pengeluaran makanan negara.

Namun, kenaikan harga soya menjadi berita baik minyak sawit kerana permintaan ke atas minyak sawit meningkat. Pada tahun lalu, harga pasaran hadapan sawit mencecah RM5,000 satu tan.

Harganya dijangka meningkat lebih tinggi kerana masalah penawaran soya dan jagung. Ia menjadi berita ini baik untuk pekebun kecil kelapa sawit, tetapi mungkin tidak kepada pengguna kerana harga minyak makan turut naik.

Kedua, kenaikan harga bahan api dan komoditi di pasaran antarabangsa berpotensi menyebabkan inflasi berpunca daripada aktiviti import.

Pada Disember 2021, inflasi negara mencecah tiga peratus dan besar kemungkinan kesan geopolitik dan kenaikan harga komoditi meningkatkan kadar inflasi.

Ketiga, inflasi akan menjejaskan pemulihan ekonomi dunia lantas turut menjejaskan pasaran sawit.

Pengimport, terutama India dan beberapa negara dari benua Afrika akan mengalami kesempitan ekonomi lantas mungkin mengurangkan import ke atas sawit.

Negara maju seperti Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat (AS) mungkin melakukan perkara sama. Jika ini berlaku pertumbuhan sektor pertanian dan makanan negara turut terjejas.

Keempat, bank pusat di dunia seperti Federal Reserve di AS dan European Central Bank akan meningkatkan kadar faedah sebagai langkah menangani inflasi dan Bank Negara (BNM) juga dijangka turut melaksanakan perkara sama untuk mengelakkan nilai ringgit menyusut.

Peningkatan kadar faedah akan menjejaskan peminjam dan peniaga serta PKSM. Ternyata, kesan pandemik diburukkan lagi dengan krisis Russia-Ukraine dan bencana alam.

Semua masalah ini memerlukan penyelesaian menyeluruh kerana ia berlegar dalam satu sistem yang mana perubahan dalam satu elemen memberi kesan kepada seluruh elemen dalam sistem berkenaan.

Dalam jangka pendek, bantuan dan sokongan kewangan kerajaan diperlukan untuk mempertahan petani kecil terus berdaya saing dalam pengeluaran, manakala pengguna miskin memperoleh makanan mencukupi.

Antara instrumen pernah dilaksanakan kerajaan adalah memberikan subsidi, bantuan kewangan, kawalan harga, import permit dan pelbagai lagi. Namun, selepas krisis reda, tiada perubahan struktur dilaksanakan.

Sektor makanan, terutama masih di takuk lama yang mana tahap sara diri kian menurun dan defisit import meningkat daripada RM21.6 bilion (2020) kepada RM28.7 bilion (2021). Bilangan import meningkat daripada RM55 bilion kepada RM63 bilion.

Maka, sudah sampai masanya Malaysia menekankan kepada dasar 'Makanan Diutamakan' supaya semua sumber dan tenaga dimanfaatkan kepada pembangunan sektor makanan. Namun, ia menuntut komitmen pemimpin dan dasar sokongan kerajaan menyeluruh.

Negara perlu meningkatkan kemahiran dan produktiviti petani kerana mereka adalah tonggak meneruskan pengeluaran makanan sejak dulu dan untuk masa hadapan.

Produktiviti boleh ditingkatkan dengan memperkukuhkan kemahiran teknologi moden yang cekap, manakala penyelidikan dan pembangunan( R&D) serta pengembangan dirombak supaya tertumpu dalam meningkatkan produktiviti setiap makanan utama negara dalam semua aspek.

Bermakna, pengeluaran input tempatan perlu dimulakan dengan segera untuk mengurangkan kos dan meningkatkan keuntungan.

Penulis adalah Felo Kanan Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (IDEA)

Berita Harian X