Sabtu, 12 March 2022 | 11:00am

PRN Johor misi 'hidup, mati' parti hadapi PRU-15

Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) melakarkan sejarah baharu dalam rekod pilihan raya di Malaysia apabila pembangkang buat kali pertama berjaya melakukan 'tsunami politik' dengan menguasai majoriti undi di Dewan Rakyat dan beberapa Dewan Undangan Negeri (DUN), termasuk Johor.

Kemenangan ini dikatakan sebagai 'kemenangan rakyat' akibat rasa ketidakpuasan hati terhadap kelemahan kerajaan ketika itu dalam pengurusan dan pelaksanaan agenda pembangunan rakyat.

Ketika itu, pelbagai isu ekonomi, politik dan sosial dikatakan tidak dapat ditangani kerajaan dengan baik, sekali gus menyaksikan suara rakyat diterjemahkan pada kertas undi.

Keputusan PRU-14 seolah-olah memberi harapan baharu kepada rakyat agar nasib, harapan serta kesejahteraan mereka dapat digalas dan dipenuhi oleh barisan kepemimpinan baharu.

Selepas 22 bulan pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH), berlaku ketidakstabilan politik akibat 'Langkah Sheraton'.

Ia adalah pemula kepada ketidakstabilan politik di Malaysia, sekali gus menyaksikan permainan kuasa dalam kalangan elit politik semakin rancak dan membimbangkan banyak pihak.

Dalam tempoh singkat, demokrasi elitis mula mengambil tempat demokrasi rakyat, sehingga elit politik saling 'berkempen' dan 'mengundi' sesama mereka untuk membentuk kerajaan baharu.

Ketidakstabilan politik ini pula berlaku ketika kesejahteraan hidup rakyat terjejas akibat pandemik COVID-19.

Susulan itu, rakyat amat tertekan dengan ketidakstabilan politik dan percaturan kuasa yang berlaku sesama elit politik ditambah pula dengan penangan COVID-19

Berikutnya, Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak dan Melaka menjadi medan menguji kekuatan gabungan pakatan baharu, sekali gus turut mencetuskan pergeseran kuasa antara parti dominan Melayu iaitu UMNO dan BERSATU yang kemudian menyaksikan kebangkitan UMNO pada PRN di Melaka.

Riak ketidakstabilan di Melaka terbawa ke Johor, sekali gus menyebabkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan membubarkan DUN Johor pada 22 Januari lalu.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad dalam kenyataannya sebaik sahaja pembubaran DUN mengakui beliau menjadi Menteri Besar bukan berdasarkan mandat rakyat.

Justeru, katanya PRN segera perlu diadakan bagi mengembalikan kestabilan politik di Johor.

Di Johor, kemenangan yang selesa seperti di Sarawak dan Melaka amat diharapkan oleh semua parti yang bertanding khususnya BN, PN dan PH.

Tanpa majoriti besar dan selesa, mana-mana parti yang memerintah akan berada dalam situasi sukar dan akan menjejaskan tadbir urus serta segala pelan pembangunan ingin dilaksanakan untuk rakyat.

Namun, bagi parti baharu seperti Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Parti Warisan (WARISAN), Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), PRN Johor adalah pertapakan awal untuk mempromosi parti mereka dengan idealisme, prinsip dan manifesto sebagai pilihan baharu untuk memenangi hati rakyat.

Buat kali pertama, Johor melakarkan kemunculan purata berlaku pertandingan antara tiga hingga tujuh penjuru di hampir semua 56 DUN.

Pertandingan pelbagai penjuru ini turut memberi variasi dalam membuat pilihan oleh pengundi. Namun, di sisi lain pilihan yang banyak ini juga boleh mengelirukan pengundi membuat pilihan.

Pilihan raya dan demokrasi meraikan penyertaan parti baharu ini. Ia dipercayai mampu memperkukuh amalan demokrasi yang lebih matang pada masa depan. Hal ini demikian kerana masing-masing parti berusaha menonjolkan The Do's and The Don't's dalam amalan demokrasi.

Di Johor, Undi18 buat kali pertama diperkenalkan dan ia medan terbaik kepada anak muda menterjemahkan suara hati mereka dalam memilih calon serasi dengan kehendak mereka.

Justeru, Undi18 mencetuskan gelombang baharu kepada semua parti politik dengan turut memberi tumpuan kehendak anak muda dalam manifesto dan kempen mereka.

Selain, semua manifesto parti yang bertanding memberi fokus kepada kesejahteraan rakyat, agenda dan komitmen reformasi politik yang ditawarkan oleh kebanyakan parti politik dijangka dapat memancing pengundi muda dan pengundi lain.

Dengan jumlah pengundi anak muda yang signifikan ramai di Johor, ia turut memberi kesan kepada kemenangan parti bertanding.

Strategi dan pendekatan kreatif dan inovatif parti bertanding dititikberatkan untuk mendekati dan menjinakkan pengundi muda ini.

Keputusan PRN Johor amat signifikan, sekali gus menentukan corak dan jalur PRU-15. Jika PRN kali ini dimenangi fraksi politik sama seperti di Melaka, corak ini menunjukkan rakyat sangat dahagakan kestabilan politik.

Hanya politik stabil memberi kelegaan dan harapan kepada rakyat ketika pelbagai kemelut dan krisis melanda sekarang.

Sejak dua tiga tahun kebelakangan ini, ketidakstabilan politik amat menjejaskan kehidupan dan kesejahteraan rakyat terutama akibat kesan penularan COVID-19.

Pelbagai isu yang melingkari rakyat seperti kenaikan kos sara hidup, peningkatan kadar pengangguran, pemberhentian kerja, kenaikan harga barang asas, hartal dalam kalangan doktor muda dan krisis kesihatan awam tidak dapat ditangani dengan bijaksana kerajaan.

Selain masalah domestik, ketidakstabilan kerajaan juga menjejaskan tumpuan mereka menangani isu serantau dan antarabangsa.

Pergeseran politik dalaman parti turut menjejaskan kepentingan Malaysia dalam membuat keputusan dalam beberapa isu keselamatan geopolitik, alam sekitar, pasaran saham yang menguncup, ketidakstabilan harga komoditi utama dan perdagangan antarabangsa.

Justeru, faktor kejayaan kritikal bagi menangani semua masalah yang timbul pada peringkat domestik dan antarabangsa ini memerlukan sebuah kerajaan yang stabil dan utuh.

Berdasarkan pengamatan semasa dan kajian yang dibuat oleh beberapa pusat strategik penyelidikan di Malaysia menunjukkan rakyat muak dengan drama dan sandiwara politik parti arus perdana.

Justeru, jika peratusan mengundi pada PRN Johor kali ini melebihi PRN di Melaka, ia menunjukkan rakyat benar-benar berhasrat memilih kerajaan stabil dan dapat membela mereka.

Maka, apabila rakyat membuat pilihan pada pilihan raya, pemimpin politik jangan persiakan pilihan dan mandat rakyat. Keazaman politik bukan hanya di bibir, tetapi dikotakan dengan tindakan telus lagi berintegriti.

Krisis politik yang membabitkan perebutan kuasa akan hanya 'membunuh' demokrasi dalam jangka panjang.

Jika ia terus berlaku, Malaysia yang berpotensi besar sebagai sebuah negara maju berpendapatan tinggi pada masa depan akan terus tertinggal dalam banyak bidang dengan negara tetangga seperti Indonesia, Vietnam dan Thailand.

Justeru, pengundi harus menggunakan ruang demokrasi diberikan kepada mereka. Dalam bahasa mudah, mengundi pada pilihan raya adalah usaha memilih calon yang baik dan berkualiti.

Penulis adalah Ketua Penyelidik Kumpulan Penyelidikan Kepimpinan dan Kesejahteraan Sosial Universiti Teknologi Malaysia

Berita Harian X