Selasa, 15 Februari 2022 | 11:30am

Gabungan kukuh parti politik elak ketidakstabilan selepas PRN

DI sebalik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penting pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 9 Februari lalu, parti politik sudah lebih awal mengadakan pelancaran dan gerak kerja menerusi gembleng jentera dari seluruh negara turun ke Johor.

Malah, ketika prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan pilihan raya belum diumumkan Kementerian Kesihatan (KKM), semakin banyak parti politik mengumumkan penyertaan dan senarai calon bakal diketengahkan dengan satu matlamat sama, iaitu merampas Johor daripada UMNO-Barisan Nasional (BN).

Bagi parti pembangkang, Johor kini dianggap bukan lagi hak milik kekal mana-mana parti politik selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), manakala bagi UMNO-BN, Johor perlu dikembalikan sebagai kubu kuat gabungan berkenaan untuk menebus maruah kekalahan kali pertama di negeri kelahirannya.

Meskipun pelbagai hujah dicipta pemimpin politik bagi membangkitkan semula semangat ahli parti masing-masing menjelang PRN itu, mereka sebenarnya masih terkepung dan bermimpi dengan kepercayaan politik lama bahawa ahli serta pengundi sebelumnya mengundi pada PRU-14 lalu akan kekal memilih mereka.

Malah, penyertaan 749,731 pengundi berusia 18 tahun ke atas menerusi pendaftaran automatik pada PRN Johor kali ini juga tidak berjaya menggerunkan parti politik untuk mencari pendekatan lebih strategik, sebaliknya terus mendabik dada dengan yakin mampu menang besar dan melupakan pakatan politik dibentuk sebelumnya.

Situasi ini dilihat apabila UMNO dengan PAS bertalu-talu menyerang antara satu sama lain hingga mencederakan kerjasama politik menerusi Muafakat Nasional (MN), malah PAS dilihat lebih cenderung mempertahankan Perikatan Nasional (PN) yang menjadi seteru politik UMNO.

Bagi UMNO, mereka menolak dan tidak lagi boleh bekerjasama dengan BERSATU. Penolakan ini dikatakan sama seperti situasi PAS tidak boleh memaafkan Parti Amanah Negara (AMANAH) yang dianggap belot kepada perjuangan parti berkenaan.

Di sebelah kem gabungan pembangkang pula, PKR memutuskan bertanding sendirian dan 'melupakan' gabungan Pakatan Harapan (PH) dianggotai DAP serta AMANAH yang dibaca pemerhati politik sebagai isyarat ketidakyakinan dengan kemampuan gabungan berkenaan.

Berdasarkan perkembangan dan pendirian semasa parti politik menjelang PRN Johor, 20 kerusi dilihat bakal mencetuskan pertandingan empat penjuru, iaitu antara UMNO-BN, PN, PKR dan PEJUANG.

Pertembungan empat penjuru di 20 kerusi DUN ini memperlihatkan parti politik teras Melayu dan didominasi orang Melayu seolah-olah kemaruk kuasa hingga sanggup bersaing antara satu sama lain berbanding berusaha menggembleng kerjasama politik memperkukuh perpaduan politik Melayu.

Malah, pertembungan lima penjuru boleh berlaku di beberapa kerusi dalam perkiraan 20 kerusi DUN berkenaan sekiranya parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) gagal mencapai persetujuan agihan kerusi yang dijalankan bersama PKR. Sudah pasti parti politik akan menurunkan calon Melayu mewakili mereka di 20 kawasan DUN berkenaan.

Parti politik ini sebenarnya tidak belajar cara berpolitik parti teras Cina dan didominasi kaum Cina yang hanya diwakili dua parti, iaitu MCA dan DAP.

Politik kaum Cina lebih gentleman dan pasti jika calon daripada parti berkenaan tewas, mereka tidak mengalami perpecahan politik besar, manakala kepentingan politik kaum berkenaan tetap terbela.

Sepatutnya, penyertaan 749,731 pengundi berusia 18 tahun ke atas menerusi pendaftaran automatik menjadi peringatan awal kepada parti politik seperti UMNO, BERSATU, PAS, PEJUANG, PKR dan MUDA merombak keseluruhan strategi politik lama yang tidak lagi boleh diguna pakai pada PRN Johor kali ini.

PRN Johor kali ini seolah-olah reset button kepada corak pengundian dan arah tuju negara yang perlu difahami semua parti politik. Maka, parti sepatutnya perlu berusaha memperkukuhkan kerjasama gabungan parti politik seperti MN, PN dan PH sebelum hari penamaan calon untuk meraih keyakinan pengundi di Johor bagi mengundi mereka dalam PRN di negeri berkenaan.

Namun, perpecahan politik luar biasa ini diyakini akan menyebabkan ketidakstabilan politik terus berlaku selepas PRN Johor kerana tidak ada satu gabungan dominan akan memenangi PRN berkenaan dengan gelombang perpecahan politik semasa.

Malah, sebaliknya boleh berlaku apabila parti politik yang sebelum ini bertelagah sebelum PRN Johor akan kembali berunding dengan bilangan kerusi dimenangi dalam PRN untuk bersama-sama membentuk kerajaan negeri.

Keadaan ini sebenarnya tidak membantu kepada mewujudkan kestabilan politik di Johor selepas PRN seperti diinginkan sesetengah parti khususnya BN, tetapi parti kingmaker akan terus kekal menggugut demi kepentingan politik sebagai syarat untuk menyokong kelangsungan kerajaan.

Sudah pasti pengundi berusia 18 tahun ke atas berjumlah 749,731 orang ini tidak mahu ketidakstabilan berlarutan dan mereka kini kingmaker sebenar pada PRN Johor untuk memastikan hanya pemimpin mampu menunaikan janji, membantu perubahan kehidupan mereka dan mewujudkan kestabilan politik Johor dipilih pada pilihan berkenaan.

Pengundi dalam kategori ini juga pengundi 'suci' yang tidak mudah dipengaruhi kerana mempunyai literasi maklumat tinggi, sekali gus mampu mempengaruhi persepsi mereka yang boleh berubah bila-bila masa sahaja.

Oleh itu, parti politik perlu menilai semula strategi dan peluang untuk menang pada PRN Johor sebelum penamaan calon. Parti politik khususnya UMNO-PAS-BERSATU masih mempunyai masa untuk kembali berunding dan berdamai, manakala parti pembangkang pula perlu membentuk gabungan PH Plus edisi Johor dengan PEJUANG dan MUDA untuk memperkukuh gabungan pembangkang.

Sekiranya parti politik berjaya memulihkan kerjasama gabungan politik masing-masing sebelum hari penamaan calon dan berani mewujudkan pertandingan satu lawan satu, keadaan ini memudahkan pengundi membuat pilihan pada pilihan raya.

Jika tidak, bukan sahaja pengundi keliru untuk memilih wakil rakyat, malah penganalisis juga akan terus dalam keadaan dilema untuk menilik kecenderungan sokongan kabur susulan penyertaan pengundi 18 dan automatik dalam PRN Johor.

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Pentadbiran dan Politik, Universiti Malaya (UM)

Berita Harian X