X
Jumaat, 11 Februari 2022 | 11:30am
UPM berjaya kekal kedudukan sebagai universiti paling lestari di negara ini 12 tahun berturut-turut. - Foto hiasan
UPM berjaya kekal kedudukan sebagai universiti paling lestari di negara ini 12 tahun berturut-turut. - Foto hiasan

IPT perlu jadi jaguh terjemah konsep pembangunan mampan

KONSEP pembangunan mampan semakin menjadi perhatian warga dunia apabila Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memperkenalkan matlamat pembangunan lestari (SDG) sejak 2015.

Pembangunan mampan bukan hanya melihat kepada aspek kemajuan ekonomi, bahkan mengambil kira aspek kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat. Hari ini, matlamat pembangunan mampan semakin penting disebabkan peningkatan pelbagai isu mengancam keseimbangan alam sekitar.

Sebagai negara membangun, Malaysia juga komited menyokong matlamat pembangunan mampan, sekali gus menzahirkan iltizam menjadi negara terus membangun secara mampan seiring pengagihan ekonomi adil, saksama dan inkusif.

Ini digariskan melalui Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 diwartakan pada 2019 sebagai panduan kepada hala tuju negara. Malah melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), lonjakan kemampanan diangkat sebagai tema utama bagi memastikan kebolehupayaan negara dalam mengharungi cabaran semasa dalam konteks global dan domestik.

Lonjakan kemampanan memberi tumpuan kepada mempercepat pertumbuhan hijau serta mempertingkat kemampanan tenaga dan mentransformasi sektor air. Inisiatif ini juga memberi pertimbangan kepada amalan ekonomi dan gaya hidup lebih mampan serta menghargai khazanah semula jadi dan kesihatan alam sekitar.

Tidak dinafikan penentu kejayaan hasrat kerajaan ini menuntut pembabitan dan sokongan mantap semua pihak, termasuk agensi kerajaan, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Dalam hal ini, institusi pendidikan tinggi (IPT) seharusnya tidak ketinggalan berperanan penting dalam membantu negara untuk mencapai hasrat digariskan. Malah, IPT sebenarnya perlu menggalas tanggungjawab lebih besar dalam membantu kerajaan merealisasikan SDG disebabkan fungsi dan kelebihannya sebagai institusi memfokuskan pembentukan modal insan serta pengembangan ilmu.

Yang pasti, IPT mampu untuk membawa impak positif berdasarkan beberapa faktor utama.

Pertama, melalui fungsinya sebagai hab penyelidikan meneroka, menjana dan menyebarkan ilmu. Ini bermakna penyelidikan dijalankan di IPT dapat memberi manfaat kepada mahasiswa yang bakal menjadi pemimpin masa hadapan negara kepada industri, kerajaan, komuniti dan persekitaran melalui peningkatan pemahaman serta penemuan ilmu dan inovasi baharu berkaitan kelestarian.

Kedua, melalui program akademik dengan memastikan setiap kursus dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) mempunyai elemen pembangunan mampan. Ini akan membantu generasi akan datang untuk lebih cakna dan berilmu berkaitan kepentingan kelestarian serta bagaimana mereka boleh menyumbang.

Ketiga, melalui program jaringan bersama industri dan masyarakat. Program jaringan memerlukan pembabitan pelajar ini akan membentuk modal insan berkualiti, mempunyai atribut serta nilai sayangkan alam sekitar, sekali gus menyumbang kepada pembangunan negara lebih mampan.

Keempat, melalui inisiatif dilaksanakan IPT dalam aspek tadbir urus, komitmen sumber manusia dan kewangan serta amalan terbaik berkaitan kelestarian dalam kampus. Ini termasuk aspek infrastruktur, penggunaan sumber tenaga, inisiatif pengurangan dan rawatan sisa buangan, penggunaan air serta emisi gas daripada sistem pengangkutan.

Selari kepentingan pembangunan mampan, beberapa penarafan dibangunkan pada peringkat global dalam usaha mengukur sejauh mana universiti menyumbang ke arah pembangunan lestari.

Satu daripada penarafan disertai lebih 900 universiti dari serata dunia ialah UI-GreenMetric World University Ranking. Melalui penarafan antarabangsa ini, Universiti Putra Malaysia (UPM) contohnya berjaya mengekalkan kedudukan sebagai universiti paling lestari di negara ini selama 12 tahun berturut-turut.

Pada tahun ini, UPM juga berjaya meningkatkan kedudukan dunia pada tangga ke-27 dalam Top 50 Sustainable Universities in The World dan disenaraikan sebagai universiti ketiga terbaik di Asia.

Kejayaan UPM ini sebenarnya menuntut komitmen tinggi semua pihak. UPM sentiasa memastikan kejayaan akademik, penyelidikan, perkhidmatan profesional dan pengantarabangsaan mampu memberikan sumbangan bermakna kepada pembentukan kemakmuran serta pembangunan negara, selain kesejahteraan manusia sejagat secara keseluruhannya.

Sebagai contoh, Pelan Strategik UPM 2021-2025 secara jelas menggariskan UPM akan bersama menjayakan pelaksanaan WKB 2030. Dalam hal ini, ia boleh dilihat paling menonjol dengan matlamat keempat dan kelima melalui objektif strategik ketujuh dalam pelan strategik.

Matlamat keempat ialah memperkasakan pertanian demi menjayakan keselamatan makanan negara. Dalam konteks WKB 2030, pertanian pintar dan bernilai tinggi menjadi antara 15 aktiviti pertumbuhan ekonomi utama.

Sementara itu, matlamat kelima melalui objektif strategik ketujuh pula memberi tumpuan kepada membudayakan amalan kelestarian hijau untuk pembangunan mampan.

UPM mempunyai pelan tindakan pembangunan kampus hijau dan lestari meliputi aspek perancangan pelan struktur, persekitaran dan landskap, bangunan, pengurusan tenaga serta pembangunan hartanah untuk kesejahteraan warga UPM dan masyarakat setempat.

Contohnya, projek pemasangan sistem solar di UPM yang juga projek solar terbesar di IPT, akan mengurangkan 14,655 tan metrik karbon dioksida setahun dan penjimatan bil elektrik sebanyak RM114 juta untuk tempoh 25 tahun.

Sebagai menara ilmu, IPT perlu menjadi jaguh dalam menterjemahkan konsep pembangunan mampan ini demi kesejahteraan sejagat. Dalam hal ini, IPT perlu mempertingkat komitmen dalam mendukung usaha kelestarian.

Ia perlu bermula dengan dedikasi pengurusan tertinggi universiti dan perincian tindakan dalam pelan strategik masing-masing. Pengajaran dan penyelidikan pula perlu memberi fokus kepada pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar, manakala aktiviti dijalankan bersama pelajar perlu memberi impak kepada pembentukan komuniti cakna mengenai penjagaan alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat.

Penulis adalah Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM)

Berita Harian X