Jumaat, 28 Januari 2022 | 10:00am

PRN Johor terus uji keampuhan UMNO, BN jika bergerak 'solo'

Gesaan mengadakan pilihan raya negeri (PRN) secara berasingan daripada pilihan raya umum (PRU) menjadi trend parti politik mendapatkan sokongan sama ada bertujuan mengekalkan kuasa atau mendapatkan semula kuasa pada peringkat negeri.

Politik 'tekan suis' ini terjadi kerana ketiadaan majoriti jelas dalam pembentukan kerajaan negeri dengan beza bilangan kerusi dewan undangan negeri (DUN) antara parti membentuk kerajaan dengan pembangkang adalah tipis.

Keadaan ini membolehkan mana-mana pihak mudah termakan pujuk rayu melompat parti atau beralih sokongan sehingga kerajaan negeri terbubar. Misalnya, krisis DUN di Perak kerana ketiadaan sokongan mendesak peletakan jawatan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (BERSATU) sebagai Menteri Besar membawa kepada pembubaran DUN. Sementara di Melaka, krisis dua singa di atas bukit sama akhirnya menjadikan 'politik angka' membawa kepada pembubaran DUN dan PRN.

Kemenangan lebih dua pertiga majoriti pada PRN Melaka dan kemenangan besar PRN Sarawak, mendorong UMNO melihat kemenangan berturut-turut ini sebagai peluang amat baik buat UMNO-Barisan Nasional (BN) mengembalikan kepimpinannya.

Tambahan pula Pakatan Harapan (PH) berada dalam keadaan yang agak lemah kini. Ketika berada ditampuk kuasa, PH kalah berturut-turut pada pilihan raya kecil 2019 bermula dengan Cameron Highlands diikuti di Semenyih (DUN), Rantau (DUN), Tanjung Piai (Parlimen), Kimanis (Parlimen), Chini (DUN) dan Slim, Perak (DUN) – semuanya dimenangi BN. PH masih gagal mendapatkan undi percaya menerusi pungutan statutory declaration (SD) ketika kemelut di Badan Eksekutif dan kalah teruk pada Pilihan Raya Umum Negeri Melaka.

Walaupun PRU negeri Melaka dikritik kerana peratusan keluar mengundi adalah rendah iaitu 65.85 peratus, umum maklum peratusan rendah ini disebabkan isu keselamatan berkait penularan varian baharu COVID19.

Apa jua kritikan diberi, pengundi Melaka telah menggunakan peluang itu untuk membuat keputusan dan memilih BN sebagai kerajaan negeri mentadbir selama lima tahun akan datang.

Kini, Johor pula dijangkiti 'politik tekan suis' namun ia tidak dilatarkan krisis didesak pembangkang. Ketidakstabilan di Johor disebabkan perbezaan dalaman UMNO terus-menerus menolak pembentukan kerjasama dengan BERSATU – parti serpihan yang rata-rata ahlinya adalah bekas ahli UMNO.

BERSATU dilihat ibarat duri dalam daging menyakitkan bagi segelintir pemimpin tertinggi UMNO. Pengkhianatan adalah label diberikan kepada BERSATU yang nawaitunya mahu menjuarai integriti, sebaliknya pendedahan korupsi menjadi dendam kesumat membarah.

Ibarat retak menanti belah dalam cinta tiga dimensi UMNO-PAS-BERSATU, pembubaran DUN Johor, sedikit sebanyak turut membabitkan keadaan kurang aman dalam hubungan kerjasama tiga dimensi itu.

Pergeseran dalam PAS dengan pengguguran Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat yang juga dikaitkan dengan perbezaan pandangan mengenai kerjasama Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) turut dilihat memberi kesan kepada kemahuan UMNO untuk bergerak secara solo seperti dahulu sebagai BN dan tidak secara MN mahupun PN.

Pentas tepat untuk menguji keampuhan bergerak solo sebagai BN ialah Johor.

Umum maklum Johor ialah kubu kuat UMNO, tetapi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), ia ditembusi dengan kerusi Parlimen dimenangi BN hanya lapan berbanding 18 kerusi Parlimen oleh PH.

Bagi kerusi negeri, BN memperoleh 19 kerusi sementara PH sebanyak 36 kerusi. Harus diingat PH boleh menang besar apabila Dr Mahathir mengambil langkah menubuhkan BERSATU, iaitu ahli UMNO keluar parti dan masuk BERSATU lalu bekerjasama dengan PH. Sokongan kawasan dahulunya UMNO menjadi BERSATU-PH.

Apabila PH jatuh pada tahun kedua pemerintahan kesan 'Langkah Sheraton', kerusi dimenangi BERSATU bergabung kembali dengan UMNO di bawah PN. Akhirnya, daripada 56 kerusi negeri di Johor, majoriti tipis meletakkan keadaan kerusi negeri terbahagi kepada PN 28 dan PH 27.

Bagaimanapun, BERSATU adalah parti serpihan ibarat teratai terapung, tidak mengakar dan membumi, ditambah sentimen pengundi berasa tertipu apabila mereka mengundi calon atas tiket UMNO, tetapi calon berkenaan keluar UMNO masuk BERSATU. Perubahan itu menjadikan rakyat dan pemimpin UMNO Johor tidak berpuas hati.

Sesuai dengan slogan 'Bangsa Johor' dilaungkan, UMNO mahu membuktikan kuasa sebenar masih lagi milik UMNO yang gigih, ampuh dan tepat memimpin Johor di bawah Dirgahayu Sultan yang daulatnya didukung rakyat di seluruh pelosok negeri.

Bukan sahaja 'Bangsa Johor' sebenarnya diuji hubungan intra-etnik yang pelbagai termasuk Bugis, Banjar, Melayu, Mandeling, Jawa, Arab dan keturunan Peranakan, bahkan pegangan politiknya.

Walaupun semua dipermudahkan Inggeris selaku penjajah ketika banci penduduk 1871 merangkumkan pelbagai bangsa dan dialek di bawah satu label Melayu, hakikatnya politik bangsa Melayu di Johor adalah rencam dan menyulitkan.

PRN Johor adalah usaha UMNO mengembalikan kuasa sebenar parti itu yang dilihat kembali mengukuh selepas kemenangan besar PRN Melaka. Tambahan pula, Sabah dan Sarawak sudah kembali menjadi 'deposit tetap' BN atas kemenangan besar Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada pilihan raya negeri masing-masing.

UMNO mahu meneruskan peluang meraih kemenangan dalam keadaan COVID-19 dalam proses bertukar menjadi endemik, Pelan Pemulihan Negara (PPN) menampakkan tanda positif untuk negara kembali rancak dalam pelaburan dan pembangunan.

Apatah lagi persidangan rantau ASEAN juga memberi petunjuk 30 peratus aktiviti dagangan dunia akan tertumpu di rantau Asia Tenggara kesan keaktifan Inisiatif Satu Jajaran, Satu Laluan atau One Belt, One Road (OBOR).

Justeru, UMNO Johor mahu menggunakan peluang semaksimum mungkin mengatur strategi mengambil alih Johor dengan cara terhormat. Kalau bukan sekarang, bila lagi?

Timbalan Pengarah, Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Berita Harian X