Pandemik COVID-19 yang melanda dunia secara tidak langsung mengubah landskap persekitaran siber. Dunia sudah mula mengadaptasi teknologi digital sebagai medium untuk melaksanakan urusan seharian.
Syarikat kecil dan sederhana mula menggunakan teknologi digital seperti e-dagang dan e-pembelian untuk transaksi dalam talian. Pada peringkat kerajaan pula, konsep e-kerajaan diperkenalkan.
Umumnya, proses digitalisasi kehidupan manusia berlaku dengan pesat sehingga memudahkan manusia untuk saling berhubung tanpa perlu bersentuhan secara fizikal.
Hari ini, Malaysia tidak terkecuali menjadikan digitalisasi sebagai agenda strategik negara. Menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, peningkatan 23 peratus dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun lalu berjaya dicapai melalui pendapatan e-dagang dengan nilai AS$190 bilion (RM796.48 bilion).
Ini menggambarkan impak positif terhadap pertumbuhan ekonomi digital di Malaysia. Persekitaran siber yang selamat dan kondusif memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi digital Malaysia.
Oleh itu, persekitaran siber selamat perlu dijadikan agenda nasional supaya dapat terus menjamin kesejahteraan pengguna siber Malaysia di pelbagai peringkat.
Disebabkan tidak ada persempadanan jelas dalam persekitaran siber, kebiasaannya persekitaran siber ditadbir pelbagai pihak daripada pelbagai negara yang bertanggungjawab mencorakkan nilai dan norma dalam persekitaran siber.
Atas tuntutan ini, Malaysia perlu memposisikan keterlibatan negara secara strategik untuk turut sama berada pada wacana antarabangsa, demi menetapkan nilai dan norma berkaitan hal ehwal siber.
Institut Kajian Strategik Antarabangsa mengeluarkan suatu laporan berkenaan keupayaan siber dan kuasa nasional dengan memberi gambaran Malaysia sebagai negara yang mempunyai kekuatan dalam pembangunan dasar keselamatan siber dan ekonomi digital.
Dasar Keselamatan Siber Negara, Strategi Keselamatan Siber Malaysia 2020–2040, Dasar Revolusi Perindustrian Keempat Kebangsaan (4IR), Rangka Kerja Keselamatan Siber Sektor Awam (RAKKSSA), Pelan Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL), Wacana Keselamatan ICT Kebangsaan (NICTSeD) dan pelbagai lagi, memberi tumpuan khusus untuk mempertingkatkan keupayaan negara dalam persekitaran dan keselamatan siber.
Malah, CyberSecurity Malaysia (CSM) turut memperkenalkan inisiatif Program Pemerkasaan Keselamatan Siber (SiberKASA) dengan tujuan melestarikan prasarana dan ekosistem keselamatan siber negara.
Kesepaduan dalam dasar berkenaan persekitaran dan keselamatan siber negara secara tidak langsung dapat mewujudkan ekosistem siber yang dipercayai, seterusnya menggalakkan pertumbuhan ekonomi digital yang mampan.
Kestabilan persekitaran siber, terutama dalam menangani ancaman siber yang sentiasa berubah-ubah amat bergantung kepada amalan diplomatik dan kerjasama antara negara.
Amalan diplomasi siber negara yang mantap perlu dibangunkan supaya negara dapat berkolaborasi dengan pelbagai pihak, seterusnya mengupayakan Malaysia untuk membentuk wacana antarabangsa dan membina kepercayaan terhadap penjenamaan dan ekosistem siber Malaysia.
Istilah diplomasi siber mula diperkatakan aktor politik dan diplomasi dunia, seiring perubahan amalan diplomasi pada era digital. Evolusi diplomasi di persekitaran siber secara tidak langsung membawa kepada sebuah evolusi dalam hubungan antarabangsa dengan memberi tumpuan khusus terhadap pembangunan norma dan nilai dalam persekitaran siber.
Secara umum, diplomat siber berperanan mempromosikan komunikasi antara negara, membuat perundingan kesepakatan dan mengumpulkan maklumat dari negara lain untuk mewujudkan persekitaran siber selamat.
Antara lain, diplomat siber turut berperanan melindungi kepentingan nasional yang terkait dunia siber, selain mewujudkan kerjasama pelbagai pihak seperti sektor awam dan swasta, organisasi antarabangsa atau antara kerajaan.
Melihat pentingnya keberadaan Malaysia sebagai negara yang cakna dan aktif terhadap hal ehwal persekitaran siber, adalah menjadi keutamaan untuk negara melatih kader diplomat siber supaya dapat menyediakan penyertaan lebih mantap dalam diplomasi siber.
Barisan diplomat siber negara juga akan bertindak sebagai duta untuk mempromosikan nilai dan identiti siber negara dalam wacana antarabangsa.
Negara besar yang sudah mempunyai keupayaan kuasa siber kebiasaannya membangunkan portfolio siber mereka sendiri dan menjuarai isu keselamatan siber pada wacana antarabangsa.
Malaysia juga perlu memainkan peranan sama - untuk turut menjuarai isu berkaitan persekitaran siber dengan diplomat siber negara akan membuka jalan bagi meningkatkan keupayaan siber Malaysia serta melindungi kepentingan negara, seterusnya mematangkan lagi ekonomi digital, persekitaran siber dan teknologi digital.
Antara usaha kerajaan untuk melahirkan diplomat siber adalah dengan membangunkan pakar yang mempunyai pengetahuan mendalam berkaitan siber, terutama dalam kuasa siber, keselamatan siber, teknologi termaju dan peraturan antarabangsa berkaitan.
Barisan diplomat inilah yang perlu menempatkan diri secara konsisten pada pelbagai forum berkaitan siber supaya subjek dan isu berkenaan siber yang sentiasa berubah dapat dikemas kini.
Pada masa sama, diplomat siber perlu meningkatkan profil diplomasi siber dalam platform pelbagai hala seperti ASEAN, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Komanwel dan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM).
Dengan itu, diplomasi siber negara dapat membina pengaruh pada wacana antarabangsa sehingga berupaya mempromosi nilai dan identiti siber negara.
Nilai, pengaruh dan identiti siber negara yang diterima pada peringkat antarabangsa akan menjadikan Malaysia peneraju dalam persekitaran siber, seterusnya mewujudkan kuasa siber yang kuat.
Impaknya, ekonomi digital negara akan terus berkembang dan secara langsung meningkatkan tahap kestabilan ekonomi negara.
Dalam aspek sosial pula, etos atau watan siber beridentitikan Malaysia dapat diperkenal sehingga menjadikan pengguna siber di Malaysia masyarakat digital diikuti seluruh dunia.
Pensyarah Fakulti Pengurusan Maklumat, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Johor