Sabtu, 18 Disember 2021 | 11:00am
Gerakan koperasi, terutama koperasi pengguna dicadangkan sebagai medium menangani kenaikan harga barangan keperluan yang terus meningkat. - Foto hiasan/NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
Gerakan koperasi, terutama koperasi pengguna dicadangkan sebagai medium menangani kenaikan harga barangan keperluan yang terus meningkat. - Foto hiasan/NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

Idea koperasi pemborong tangani kenaikan harga barang

Kenaikan harga barangan asas,
terutama ayam, ikan dan sayur terus mencengkam di tengah-tengah pandemik COVID-19, terutama bagi
rakyat marhain dalam kelompok B40, iaitu mereka berpendapatan di
bawah RM4,360.

Pelbagai langkah dan usaha dilakukan pihak berwajib bagi menangani isu ini. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sebagai contoh, menguatkuasakan undang-undang dengan melaksanakan pemantauan harga dengan mengawal harga pelbagai item kawalan dan barangan keperluan asas.

Beberapa akta seperti Akta Kawalan Bekalan 1961, Perintah Kawalan Harga (Penandaan Harga oleh Penjual Runcit) 1993 serta Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2017 diguna pakai untuk tujuan itu, termasuk mengikat peniaga supaya mematuhi etika dan peraturan ditetapkan.

Baru-baru ini, kerajaan mempromosikan Jualan Keluarga Malaysia di 222 kawasan Parlimen dengan menawarkan harga barangan keperluan antara 20 hingga 50 peratus lebih murah, terutama di lokasi yang mempunyai penduduk dalam kelompok B40 dan M40.

KPDNHEP turut membenarkan aktiviti jualan harga murah tanpa kuota atau had bilangan empat kali setahun, serta tidak perlu menunggu hari perayaan.

Namun, harga barangan keperluan terus meningkat. Harga kubis bunga, sawi, cili merah serta keperluan lain seperti ayam dan telur melonjak di luar kawalan. Harga ayam contohnya meningkat daripada RM8 kepada RM10.70 sekilogram, manakala harga telur ayam gred C naik mendadak daripada RM8 kepada RM11 sepapan.

Begitu juga harga kubis Cina yang naik daripada RM3 kepada RM9. Kenaikan ini tambah sukar dengan ketiadaan skim penetapan harga siling kecuali pada hari perayaan. Saranan supaya pengguna berjimat, mengawal pembelian, bahkan memboikot pekedai juga kurang berkesan kerana ia membabitkan barangan keperluan asas yang sukar diganti dengan barangan lain.

Di tengah-tengah kemelut ini, gerakan koperasi, terutama koperasi pengguna dicadangkan sebagai medium menangani kenaikan harga barangan.

Sudah sewajarnya koperasi sebagai entiti perniagaan yang sekian lama wujud, mengembangkan serta menambah giat peranannya yang bukan sahaja melindungi kepentingan ahli, tetapi juga mengimbangi kesejahteraan masyarakat keseluruhannya.

Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) misalnya menganjurkan Program Barang Asas 100 (BA100) pada 2020, di mana barangan dijual pada harga lebih rendah.

Di bawah program ini barangan asas diperlukan orang ramai, termasuk barangan basah, kering dan juga ubat-ubatan dijual lima peratus lebih murah berbanding harga pasaran biasa.

Program ini memberikan faedah kepada lebih tiga juta penduduk khususnya ahli koperasi dan golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) di negara ini.

Justeru, saranan kerajaan supaya Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan ANGKASA mewujudkan koperasi pemborong diharap dapat segera dilaksanakan.

Ia penting bagi membolehkannya membeli barangan secara pukal pada harga murah, seterusnya mengimbangi kenaikan harga barangan. Selain menjalankan operasi pemborongan, koperasi ini juga boleh bertindak sebagai pembekal kepada koperasi pengguna dan peruncit persendirian lain bagi mempelbagaikan aktiviti perniagaan.

Sebagai langkah jangka panjang, koperasi pemborong ini juga boleh mengembangkan fungsi menjadi pengeluar serta pengimport barangan bagi mengekalkan momentum perniagaan.

Kerajaan juga melalui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi boleh menggubal satu langkah proaktif dengan mewujudkan kempen '1Kampung 1Koperasi' dengan menyediakan bantuan kepakaran, khidmat nasihat dan kewangan seperti kemudahan kredit.

Kementerian sama juga perlu bekerjasama dengan agensi pemasaran dan institusi pendidikan lain bagi membantu pengusaha koperasi runcit memasarkan barangan secara dalam talian, menggunakan aplikasi digital.

Pemasaran digital dapat mengurangkan kos dengan jualan terus kepada pengguna tanpa menggunakan orang tengah atau pengiklanan.

Kerajaan juga perlu menyokong pembangunan koperasi pemborong ini dari segi pemasaran sama ada dengan memberi subsidi mahupun pengecualian cukai bagi membolehkannya beroperasi pada harga kompetitif. Usaha ini diharap dapat membantu pembangunan koperasi pemborong dalam tempoh lebih cepat.

Satu hab pemborongan dan penyimpanan yang disokong prasarana juga perlu disediakan bagi penyimpanan barangan terkumpul secara pukal. Ia bagi memudahkan agihan dan mengekalkan kualiti barang dan perkhidmatan.

Selain itu, koperasi pemborong sendiri perlu dilengkapi keupayaan logistik dan pengangkutan sendiri bagi mengelak kebergantungan kepada pihak luar dan menjamin bekalan berterusan dalam masa diperlukan.

Glorious Land Logistik Port di Beijing China sebagai contoh, dijadikan hab pemborongan moden terbesar di Beijing dengan keluasan 8,000 meter persegi bagi menempatkan pelbagai produk untuk pembungkusan yang kemas dan menjimatkan ruang.

Kewujudan hab pemborongan seperti ini membolehkan pembekal memasarkan produk kepada pemborong berskala besar, di samping menyediakan rantaian pemborong dan peruncit yang mampu membekalkan produk secara konsisten dan berterusan kepada pengguna.

Koperasi pengguna runcit sedia ada berjumlah sekitar 5,000 juga perlu meningkat dan mempelbagaikan fungsi, selain memperbanyakkan lagi bilangan kedai dan premis perniagaan masing-masing dengan membuka lebih banyak cawangan, bagi menyokong penubuhan koperasi pemborong ini.

Perluasan fungsi dan premis ini juga dapat memberi faedah kepada ahli, selain meningkatkan perolehan tahunan.

Akhir sekali, usaha KPDNHEP mempelopori program Transformasi Kedai Runcit (TUKAR) dengan kerjasama FELDA Trading bagi membangunkan kedai runcit tempatan jenis tradisional dengan mewujudkan rantaian pemborongan dan peruncitan koperasi, wajar diberi nafas baharu yang lebih progresif.

Program ini bukan sekadar mampu menyokong penubuhan koperasi pemborong, malah juga membangunkan usahawan tempatan.

Penulis adalah Pensyarah Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM)

Berita Harian X