Khamis, 9 Disember 2021 | 11:15am
Petugas memasang bendera Gabungan Parti Sarawak di sekitar bandar raya Kuching bagi merancakkan ‘perang’ pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12. - NSTP/Aizuddin Saad
Petugas memasang bendera Gabungan Parti Sarawak di sekitar bandar raya Kuching bagi merancakkan ‘perang’ pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12. - NSTP/Aizuddin Saad

Parti, personaliti prestasi penentu kemenangan calon PRN Sarawak

Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak kali ini menyaksikan bukan hanya jumlah parti paling banyak bertanding, tetapi juga bilangan calon dan pertandingan pelbagai penjuru paling tinggi dalam sejarah PRN sejak 1969.

Sejumlah 10 parti bertanding termasuk Gabungan Parti Sarawak (GPS) dengan 319 calon ditampilkan. Ini tidak termasuk 30 calon Bebas yang mencuba nasib, meskipun kemungkinan untuk menang agak tipis.

Keadaan mungkin sedikit berbeza bagi Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Ali Biju, yang akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian atas tiket Bebas kali ini.

Jika dilihat rekod PRN-11 lalu, sebanyak 20 daripada 36 calon Bebas hilang wang pertaruhan.

Yang pasti kali ini, cabaran utama GPS dibarisi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) datang daripada DAP dan Parti Sarawak Bersatu (PSB), bukan lagi PKR seperti pada 2016.

Maksudnya, tujuh parti lain lagi akan tersungkur di gelanggang pertaruhan getir disebabkan pertandingan pelbagai penjuru. Kalau dalam PRN pada 2016, sebanyak 35 kerusi menyaksikan pertandingan langsung, namun kali ini hanya dua DUN menyaksikan saingan satu lawan satu.

Jumlah kerusi yang menyaksikan tiga, empat dan lima penjuru pula masing-masing bertambah. Kalau lima tahun lalu, tiada pertandingan enam penjuru, kali ini menyaksikan tujuh kerusi menyaksikan pertembungan sedemikian.

Malah, satu kerusi iaitu DUN Dudong dengan hampir 35,000 pengundi menyaksikan pertarungan sengit lapan penjuru, dengan Presiden PDP, Datuk Seri Tiong King Sing, mempertaruhkan imej dan kredibilitinya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan 70 peratus pengundi keluar mengundi pada 18 Disember nanti. Namun, dengan kempen yang terbatas, tanpa ceramah dan kempen secara massa, tentu sekali ia menimbulkan masalah tersendiri kepada parti serta calon, terutama muka baharu.

PRN Sarawak sepatutnya diadakan akhir tahun lalu, namun disebabkan jangkitan COVID-19 dan pengisytiharan darurat, ia terpaksa ditangguhkan sehingga proklamasi darurat ditarik balik.

Pembangkang pastinya akan menggunakan isu penganjuran PRN dalam waktu jangkitan COVID-19 masih melanda untuk menyerang kerajaan ditadbir GPS.

Namun, jika dilihat, 120 negara di dunia termasuk sembilan di Asia mengadakan pilihan raya dan pungutan suara ketika COVID-19 turut melanda negara dan wilayah berkenaan.

Berjuang atas pelbagai platform dan ideologi, pelbagai parti politik menampilkan jumlah calon berusia 55 tahun ke atas (254 daripada 349 calon dalam lingkungan usia itu) akan memastikan agenda perjuangan melalui manifesto masing-masing dapat menambat hati 1.25 juta pengundi pelbagai kaum di 82 kerusi DUN Sarawak.

Sembilan parti pembangkang - sesuai peranannya - akan cuba mendedahkan kelemahan dan kekurangan GPS yang menunjangi kerajaan negeri. Mereka antaranya, pasti akan mengumpan pengundi dengan janji termasuk memberi bantuan kewangan dan wang tunai.

Hakikatnya, isu terkandung dalam manifesto pembangkang bagaikan sudah dapat diagak. Misalnya berkaitan autonomi, tadbir urus baik, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), reformasi pendidikan, isu COVID-19 dan bagaimana kerajaan menanganinya, ekonomi agama, alam sekitar, kewarganegaraan, pembangunan luar bandar, sekolah daif, kemiskinan, perumahan dan isu berkaitan wanita, golongan muda, golongan miskin dan isu pinggiran lain.

Bagi Ketua Menteri, Tan Sri Abang Johari Abang Openg yang menerajui Sarawak selama lima tahun, pasti mahu rakyat negeri itu menilai dengan objektif prestasi GPS dalam tempoh berkenaan.

Jika dilihat, komitmen Abang Johari cukup tinggi untuk membangunkan Sarawak melalui peruntukan belanjawan besar.

Setiap kali membentangkan belanjawannya termasuk untuk tahun depan, angkanya sekitar RM10 bilion. Lebih 60 peratus adalah untuk pembangunan luar bandar, termasuk membina 10 jambatan membabitkan kos sekitar RM6 bilion.

Beliau juga bersandarkan 110 inisiatif meliputi pelbagai perkara dan bidang, termasuk ekonomi, pendidikan, sosial, perumahan, internet serta sekolah dengan tujuan meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan rakyat.

Perjuangan dan kejayaan menuntut kembali hak di bawah MA63 yang terhakis, tentu memberi kelebihan kepada GPS, apatah lagi Abang Johari berjaya mendapatkan RM6.8 bilion daripada cukai jualan negeri (SST) daripada Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS).

Hampir pasti, GPS akan menggunakan isu bagaimana Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan memerintah, cuba membuli rakyat Sarawak dengan membatalkan banyak projek pembangunan.

Manifesto tebal tetapi pelaksanaan tipis disebabkan tidak dikotakan, termasuk hendak memberikan royalti minyak sebanyak 20 peratus dan memberi balik hasil kutipan cukai sebanyak 50 peratus kepada Sarawak, pasti akan menghantui PH.

Yang pasti, pertarungan kali ini melalui ayam tambatan masing-masing bukanlah semudah dijangka. Pembangkang akan mengasak kubu GPS melalui pelbagai strategi, termasuk menampilkan calon difikirkan mampu menang dan paling berpengaruh di kawasan tempatan, tetapi juga dengan melancarkan serangan di alam maya serta alam nyata.

Namun, kali ini kempen DAP yang biasanya bergantung ceramah dan bintang politik serta jurukempen dari Semenanjung, pasti terencat dek pelbagai kawalan melalui prosedur operasi standard (SOP) kempen.

Akhirnya, kita akan menyaksikan 267 calon akan kecewa kerana hanya 82 kerusi hendak direbut. Calon akan dipilih berdasarkan parti diwakili, selain personaliti dan keupayaan mereka, termasuk bagaimana prestasi ketika menjadi wakil rakyat, bagi penyandang.

Atas kertas, meskipun berdepan kesukaran di 15 kerusi majoriti Cina di bandar dan beberapa kerusi majoriti Dayak, GPS pasti dapat menguasai lebih dua pertiga majoriti nanti. Kecuali DAP dan PSB, kemungkinan besar tujuh lagi parti lain termasuk PAS dan Parti Amanah Negara (AMANAH) akan pulang tangan kosong.

Penulis adalah Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN)

Berita Harian X