Ahad, 5 Disember 2021 | 11:00am
PRN Sarawak.
PRN Sarawak.

Kepelbagaian etnik, sentimen kenegerian dominasi PRN Sarawak

ESOK Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 akan membuka gelanggangnya bermula hari penamaan calon hingga hari mengundi, 18 Disember ini. Sejumlah 1,252,014 pengundi akan memilih kerajaan memerintah untuk penggal seterusnya.

Sarawak mempunyai jumlah Dewan Undangan Negeri (DUN) paling besar dengan 82 daripada 600 kerusi DUN di seluruh negara. Keputusan PRN 2016 menyaksikan Barisan Nasional (BN) menang 72 daripada 82 kerusi dipertandingkan diikuti DAP (7) dan PKR (3).

Namun keputusan itu berubah selepas 2018 menyaksikan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menguasai 68 kerusi diikuti enam kerusi oleh Parti Sarawak Bersatu (PSB); DAP (5) serta masing-masing satu untuk Perikatan Nasional (PN) dan Bebas.

Selepas kemenangan Barisan Nasional (BN) di Melaka, PRN Sarawak turut menarik perhatian ramai. Walaupun BN tidak bertanding dalam PRN kali ini, auranya tetap ada.

Empat parti membentuk GPS, iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Demokratik Progresif (PDP), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS) adalah komponen sama membentuk BN sebelumnya. Tambahan pula parti terbabit mewakili semua etnik utama di Sarawak.

Jadi, secara umum yang menang pada 2016 adalah GPS. Baik BN ataupun GPS, formula kerjasama grand coalition pelbagai etnik masih utuh dan kekal. Struktur ini dijangka ampuh dalam mengekalkan sokongan kaum masing-masing mengikut jalur parti. Pertukaran lambang daripada 'dacing' BN ke GPS dijangka tidak memberi kesan dalam memikat pengundi.

Keupayaan GPS menggembleng sokongan kaum mengikut jalur komponen masing-masing adalah nadi kekuatan itu. GPS dijangka tiada masalah memperoleh undi Melanau menerusi PBB. Begitu juga kerusi di kawasan Iban, Dayak dan Bidayuh menerusi komponen lain. SUPP mungkin mampu meningkatkan penguasaan di kawasan pengundi Cina mengambil kira kelemahan dan prestasi semasa DAP.

Untuk rekod, pecahan undi mengikut kaum di Sarawak memperlihatkan jumlah pengundi kaum Cina adalah tertinggi sebanyak 365,417 atau 30.5 peratus diikuti Iban (306,942/25.6 peratus); Melanau (304,781/25.4 peratus); Bidayuh (85,044/7.1 peratus) dan Orang Ulu (45,406/3.8 peratus).

Dengan sentimen PRN Melaka memperlihatkan kecenderungan pengundi mahu kestabilan politik dan kerajaan, GPS mungkin sudah mendahului parti saingan dalam aspek ini. Hubungan baik GPS dengan kerajaan persekutuan terutama dalam isu Sarawak berkaitan Perjanjian MA63, tuntutan royalti minyak di samping isu sosioekonomi 34WW serta pembangunan dijangka menjadi kelebihan buat GPS.

Kelebihan buat GPS sudah tentulah pakatan pembangkang longgar dan tidak sepakat. Ketidaksepakatan PH di samping ketiadaan suatu naratif kukuh sesuai dengan dengan citra orang Sarawak mungkin sukar untuk menyaingi GPS.

Faktor calon barangkali menjadi taruhan terbaik buat PH terutama DAP dan PKR dalam mempertahankan 10 kerusi dimenangi dalam PRN 2016.

Sekiranya PH dan juga parti negeri lain terutama Parti Sarawak Bersatu (PSB) mampu meletakkan calon berketrampilan dan boleh berkompromi untuk tidak bertanding sesama sendiri, mereka mungkin ada peluang. Selain itu, atas kertas mungkin sukar menyaingi GPS.

Walaupun GPS nampak mudah memenangi PRN kali ini, masih berat dan belum selamat untuk menyatakan GPS mampu menang besar atau menyamai pencapai BN pada 2016. Ujian terbesar GPS ialah keupayaan Tan Sri Abang Johari Abang Openg yang mesra dikenali sebagai Abang Jo mengepalai parti itu dalam pilihan raya pertamanya.

Pada PRN 2016, dua faktor menyumbang kemenangan selesa BN ialah keperibadian dan karisma Tan Sri Adenan Satem (Tok Nan) serta kebijaksanaannya mengemukakan formula 'calon langsung BN' yang berjaya meyakinkan pengundi mereka memilih 'Team Tok Nan', bukannya BN semata-mata.

Dari satu aspek, cabaran COVID-19 memperlihatkan kemampuan Abang Jo dengan berkesan. Mungkin ini boleh memberikan sedikit kelebihan buat beliau yang nampaknya berkerja keras mahu membina jenamanya sendiri di samping cuba membawa Sarawak ke arah politik baharu dalam perspektif Sarawak sebagai rakan setara dalam persekutuan Malaysia.

Kalau Abang Jo mampu mengawal komponen lain dalam isu pemilihan calon, GPS mungkin berada dalam posisi selesa dan berkelebihan berbanding parti lawan.

Dilihat Abang Jo tidak mahu menggunakan formula Tok Nan menerusi calon langsung BN dalam PRN kali ini. Hal ini mungkin membuka ruang kepada perbalahan dalaman menjejaskan jentera parti.

'Medan pertempuran' sebenar mungkin berlaku di kawasan bandar. Ketika 2016, SUPP mengejutkan ramai apabila memenangi tujuh kerusi selepas merampas kembali kerusi DAP di DUN Batu Kawah, Piasau, Meradong dan Repok.

Dengan DAP menghadapi krisis kepercayaan dalam kalangan orang Cina dan prestasi parti itu dalam PRN Melaka, SUPP harus menggunakan kesempatan ini untuk meningkatkan peluang kemenangannya.

Walaupun begitu, kita tidak boleh menggunakan angkubah PRN Sarawak sebagai pemboleh ubah bagi membaca politik pada peringkat Persekutuan. Faktor kepelbagaian etnik, kesepaduan wilayah dan sentimen kenegerian lebih mendominasi politik pilihan raya di negeri ini berbanding di Persekutuan.

Sebab itu ketiadaan parti Semenanjung seperti UMNO dan BERSATU, ataupun mengapa sambutan terhadap PAS sepi di sini disebabkan oleh faktor terbabit.

Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Berita Harian X