Sabtu, 27 November 2021 | 10:30am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Patuhi SOP di sekolah, siap sedia beralih ke fasa endemik

PENGAJARAN dan pembelajaran (PdP) bersemuka sudah berlangsung di semua negeri beralih kepada Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan sedikit perubahan dilaksanakan, iaitu secara penggiliran dengan murid dibahagikan kepada dua kumpulan.

Selepas mekanisme ini dilaksanakan sejak sebulan lalu, terdapat beberapa senario perlu difikirkan bersama mengenai pelaksanaan PdP secara bersemuka ini.

Kita sudah maklum, apabila terdapat murid positif COVID-19, sekolah masih boleh dijalankan seperti biasa selepas disanitasi Kementerian Kesihatan (KKM) dan murid berkenaan menjalani kuarantin, sama ada secara kendiri di rumah mahupun di pusat perubatan.

Namun, bagaimana pula senario golongan pendidik didapati positif COVID-19 ketika sekolah dibuka dan PdP dijalankan secara bersemuka?

Ada kebimbangan ibu bapa mengenai sejauh mana impaknya terhadap PdP bersemuka dan keberkesanan prosedur operasi standard (SOP) yang ditekankan pihak sekolah. Tentu ia akan menimbulkan persoalan apakah sekolah perlu ditutup semula dan perlukah ibu bapa bergilir-gilir menjaga anak pada hari bekerja dan bersekolah?

Sebenarnya, ibu bapa tidak perlu bimbang kerana PdP masih boleh dilaksanakan. Guru menjalani kuarantin masih boleh melaksanakan pengajaran terhadap murid mereka.

Kaedah sebelum ini dilaksanakan guru ketika Pengajaran dan Pembelajaran Dari Rumah (PdPR) masih relevan dilaksanakan, walaupun pembabitan murid kurang memberangsangkan.

Aplikasi seperti Quizizz, Google Form dan Google Meet masih membabitkan proses penerangan serta penilaian. Di samping itu, guru lain masih boleh menggantikan tempat mereka yang positif sementara waktu kerana ada penggiliran murid.

Pelaksanaan penggiliran murid sebenarnya menjadi persediaan awal difikirkan Kementerian Pendidikan (KPM) dalam mengatasi masalah sekiranya terdapat guru positif COVID-19, walaupun ada kata-kata nakal menyatakan pendekatan penggiliran murid menambah beban kerja terhadap guru.

Dari segi kepatuhan SOP ketika di sekolah, terutama murid di sekolah rendah yang sukar dikawal disebabkan dunia mereka penuh dengan keseronokan bermain dan bersama-sama rakan lain, ibu bapa tidak perlu terlalu bimbang.

Semua sekolah akan sentiasa dilawati pegawai, sama ada dari Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), mahupun KPM bagi memastikan SOP di sekolah dipatuhi. Isu SOP ini sangat ditekankan Menteri Pendidikan.

Pihak sekolah juga dibantu Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dari segi pembelian pelitup muka dan pelindung muka serta pensanitasi tangan dalam memastikan setiap pihak tidak dijangkiti COVID-19 ketika di sekolah. Apa yang perlu difikirkan ibu bapa adalah SOP ketika berada di luar sekolah.

Sebenarnya, tindakan menutup semula sekolah dilihat sudah kurang sesuai memandangkan pelaksanaan pemberian vaksin terhadap guru dan kakitangan sekolah. Murid turut diberikan suntikan vaksin.

Ini langkah proaktif dilakukan kerajaan memandangkan selepas ini kita akan beralih ke fasa endemik.

Walaupun peratusan kehadiran murid ke sekolah kurang memberangsangkan ketika sekolah kembali dibuka, sekurang-kurangnya proses PdP lebih berkesan dilaksanakan secara bersemuka. Terdapat segelintir ibu bapa belum bersedia untuk menghantar anak ke sekolah kerana kerisauan berlaku jangkitan COVID-19 di sekolah.

Realitinya, setiap pihak perlu melaksanakan peranan masing-masing dalam memastikan proses PdP secara bersemuka berjalan lancar. Pembelajaran secara bersemuka tetap menjadi pilihan terbaik.

Pembelajaran perlu diteruskan walaupun ketika pandemik dengan komitmen semua pihak, terutama tanggungjawab dan pemantauan tinggi ibu bapa ketika PdP dan PdPR bagi mengelakkan keciciran dalam pembelajaran anak.

SOP perlu dipatuhi sepanjang masa dan kita sepatutnya sudah bersedia untuk beralih ke fasa endemik demi mencapai pemulihan sepenuhnya.

Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Pendidikan, Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

Berita Harian X