Khamis, 25 November 2021 | 10:30am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Pesta buku rancak semula industri, pulihkan ekonomi

INDUSTRI buku turut menyumbang pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Aktiviti penerbitan buku, akhbar, majalah, majalah berkala serta berkaitan berada di bawah klasifikasi Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK).

Data perangkaan jelas menunjukkan sumbangannya dalam ekonomi Malaysia terus meningkat kepada RM320 bilion tahun lalu dengan pertumbuhan dua digit, iaitu 10.4 peratus berbanding 7.3 peratus (2019).

TMK menyumbang 22.6 peratus kepada KDNK, merangkumi Nilai Ditambah Kasar Industri Teknologi Maklumat dan Komunikasi (NDKTMK). Oleh itu, industri penerbitan dan buku bukan sahaja membantu menggerakkan kitaran ekonomi, bahkan memperkukuh budaya membaca rakyat.

Bagaimanapun pandemik COVID-19 menyebabkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam industri buku menjadi kumpulan paling terjejas dan sangat berisiko ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kesannya, ada kedai buku 'gulung tikar' kerana tidak mampu bertahan. Perusahaan ini antara tidak dibenarkan beroperasi pada tempoh terbabit kerana dikategorikan bukan perkhidmatan perlu.

Namun dari segi ekonomi, PKS menyumbang kepada keseluruhan KDNK sebanyak 38.9 peratus pada 2019 berbanding 2018 (38.3 peratus). Dari segi nilai, KDNK PKS pada harga malar 2015 adalah RM552.3 bilion berbanding keseluruhan KDNK (RM1.4 trilion).

Hal ini menjelaskan pertumbuhan KDNK PKS sebanyak 5.8 peratus pada 2019, dipacu sektor perkhidmatan mencatatkan pertumbuhan kukuh 7.4 peratus.

Bagaimanapun, selepas dua tahun pelbagai aktiviti buku berkait secara langsung dengan ekonomi dan PKS tertangguh, Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) akan kembali dianjurkan, 11 hingga 20 Februari depan.

Kali ini, ia menjadi pesta buku norma baharu dengan mengutamakan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN). Penyelarasan diadakan bersama agensi terbabit bagi mendapatkan input model ideal dan selamat kepada pengunjung serta pempamer.

Harus diingat PBAKL satu-satunya pesta buku terbesar di negara ini dan bertaraf antarabangsa berlangsung setiap tahun. Meskipun pandemik melanda, penganjuran pesta buku diteruskan secara dalam talian.

Ini adalah bukti kerajaan komited memulihkan lekukan ekonomi melanda industri buku. Hal ini dilihat sejak penangguhan PBAKL pada saat akhir penganjurannya pada tahun lalu, iaitu dalam tempoh sembilan hari sebelum dijadualkan berlangsung.

Anggaran lambakan stok bernilai RM74.2 juta membabitkan 138 syarikat penerbitan seluruh negara mempengaruhi aliran tunai syarikat dan berkemungkinan besar boleh membawa kepada penutupan operasi sebahagian penerbit.

Bagaimanapun, PBAKL secara dalam talian dianjurkan sebagai alternatif. Pada tahun ini dengan penyertaan 111 pempamer, ia mencatatkan jualan melebihi sasaran, iaitu 156,959 naskhah dalam tempoh 17 hari penganjuran.

Mengikut rekod jualan, statistik jualan buku pada tiga hari pertama menunjukkan peningkatan sangat memberangsangkan, iaitu 178 peratus berbanding tahun lalu. Ini pencapaian sangat baik bagi jualan buku melalui platform e-dagang secara kolektif di peringkat nasional.

Tahun lalu, pesta buku dalam talian berlangsung dengan 48 pempamer dan mencatatkan jualan 59,000 naskhah. Ini bermakna sambutan pencinta buku tetap menggalakkan walaupun dibuat dalam talian.

Justeru, PBAKL 2022 menjadi keperluan untuk menyuntik kembali ekonomi industri buku bagi tempoh pemulihan. Ekosistem merangkumi pengarang, penerbit dan pencetak, kontraktor jualan serta kedai buku mengalami gangguan ekonomi tidak pernah berlaku sebelum ini.

Oleh itu, PBAKL 2022 menjadi permulaan sangat baik dan sesuai bagi industri buku mengembalikan semula rentak penghasilan serta jualan seperti sebelum pandemik atau jauh lebih baik berbekalkan pengalaman jatuh bangun berkenaan.

Secara global, pesta buku juga mula dianjurkan untuk mengembalikan semula penghasilan dan jualan buku. Contohnya, Pesta Buku Antarabangsa Sharjah, Emiriah Arab Bersatu (UAE) menarik 1.7 juta pengunjung daripada 109 negara selama 11 hari penganjurannya, selain 1,632 penerbit dan ejen penerbitan daripada 83 negara.

Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM)

Berita Harian X