Rabu, 24 November 2021 | 10:30am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Perhebat langkah promosi semula pengangkutan awam

PANDEMIK COVID-19 memberikan impak besar kepada sektor pengangkutan awam. Kebanyakan bandar besar dunia menyaksikan 50 hingga 90 peratus kadar penurunan penggunaannya.

Persepsi terhadap penularan COVID-19 boleh berlaku ketika menggunakan pengangkutan awam menyebabkan ramai pengguna bertukar kepada kenderaan persendirian.

Banyak kajian penyelidikan melaporkan lebih lama tempoh perintah berkurung akan menyebabkan lebih besar impak terhadap penurunan penggunaan pengangkutan awam.

Malah, proses mengembalikan kadar penggunaan dan kepercayaan masyarakat juga akan lebih sukar.

Ini dibuktikan penyelidikan perbandingan tahap penggunaan pengangkutan awam pasca COVID-19 di beberapa negara seperti China, Korea Selatan dan Singapura.

Penggunaan pengangkutan awam di bandar seperti Seoul dan Singapura, lebih cepat kembali meningkat berbanding Wuhan yang mengalami tempoh perintah berkurung panjang.

Akibat perintah berkurung dan sekatan pergerakan, pengendali mengalami kerugian besar, sekali gus memberikan kesan negatif kepada ekonomi dan sistem pengangkutan negara.

Oleh itu, kebanyakan negara mula mengambil inisiatif mempromosikan kembali pengangkutan awam di samping menerapkan langkah keselamatan pasca pandemik.

Di Hangzhou, Ningbo dan Xiamen, China umpamanya, pelbagai polisi dilaksana seperti diskaun tambang kepada pengguna kerap pengangkutan awam serta tambang percuma pada waktu puncak.

Sebagai negara komited terhadap misi membudayakan pengangkutan lestari seperti tertera dalam Polisi Pengangkutan Negara 2019-2030, kerajaan bersama Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) merangka pelbagai strategi untuk memastikan kadar penggunaan pengangkutan awam terus berada di tahap sepatutnya.

Pelancaran Pas Keluarga Malaysia oleh Perdana Menteri, kelmarin dilihat sebagai antara usaha kerajaan dan Prasarana untuk menaikkan semula kadar penggunaan perkhidmatan pengangkutan awam, terutama di ibu kota dan sekitarnya.

Pas Keluarga Malaysia bernilai RM15 untuk empat ahli keluarga itu membabitkan perjalanan sehari tanpa had dengan Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT), monorel dan Transit Aliran Bas (BRT) di bawah kendalian Rapid KL.

Pas ini dapat digunakan ketika bukan waktu puncak, iaitu Sabtu, Ahad dan cuti umum, sekali gus jelas menitikberatkan keselamatan serta langkah berjaga-jaga terhadap penularan COVID-19.

Galakan menggunakan Pas Keluarga Malaysia pada bukan waktu puncak bertujuan memastikan penjarakan fizikal dan tidak berlaku isu kesesakan penumpang.

Lebih menarik, anak syarikat Prasarana iaitu Prasarana Integrated Development Sdn Bhd (PRIDE) akan melaksanakan Pakej Transit untuk membantu peniaga kecil dengan menyediakan lot perniagaan di sepanjang laluan pejalan kaki di lapan stesen LRT Laluan Kelana Jaya.

Inisiatif ini dilihat sebagai serampang dua mata untuk membantu usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), sekali gus boleh menjadi 'tarikan mesra pengguna' di stesen berkenaan.

Bagaimanapun, usaha meningkatkan kadar penggunaan pengangkutan awam pasti akan dibatasi persepsi masyarakat terhadap kebolehjangkitan COVID-19 ketika menggunakan pengangkutan awam.

Oleh itu, pengendali pengangkutan awam perlu mengambil pelbagai langkah mengembalikan kepercayaan pengguna.

Ini termasuk kekerapan melakukan pembersihan dan sanitasi semua aset pengangkutan awam, memastikan semua penumpang menggunakan pelitup muka dan penjarakan fizikal, selain memberikan maklumat tepat sekiranya berlaku penularan COVID-19.

Bagi orang awam pula, haruslah ingat pengangkutan awam untuk dikongsi bersama. Oleh itu, setiap individu perlu meningkatkan penjagaan kesihatan kendiri dan kebersihan persekitaran ketika menggunakannya.

Ini kerana apabila potensi berlakunya jangkitan COVID-19 dapat dikurangkan, kepercayaan dan keyakinan pengguna terhadap perkhidmatan pengangkutan awam akan meningkat, seterusnya menyaksikan sasaran inisiatif dinyatakan akan lebih berjaya.

Pensyarah Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, Universiti Sains Malaysia (USM)

Berita Harian X