Isnin, 22 November 2021 | 11:01am
Gambar hiasan/Pengundi yang berkerusi roda mengundi di Sekolah Kebangsaan Ramuan China Besar China pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka. - Foto Asyraf Hamzah
Gambar hiasan/Pengundi yang berkerusi roda mengundi di Sekolah Kebangsaan Ramuan China Besar China pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka. - Foto Asyraf Hamzah

Praktik TRIIS bendung penularan pandemik pasca PRN Melaka

Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka berakhir kelmarin selepas melalui 12 hari tempoh kempen seperti ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), bermula tarikh penamaan calon pada 8 November lalu.

Dari segi statistik, seramai 12,290 petugas terbabit selepas dilantik bagi mengendalikan proses PRN ini, termasuk untuk menguruskan 217 pusat mengundi.

Berdasarkan maklumat di atas, kita boleh lihat bahawa proses PRN Melaka ini membabitkan banyak acara - penganjuran majlis, pergerakan serta interaksi orang ramai yang besar dan luas. Mereka terdiri pengundi, pemimpin dan ahli parti, petugas pihak berkuasa, petugas media dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bukan hanya dari Melaka, bahkan seluruh Malaysia.

PRN Melaka sangat penting sebagai pelaksanaan amalan demokrasi dengan norma baharu ketika pandemik COVID-19 ini.

Prosesnya mempunyai risiko dan berpotensi mencetuskan kluster serta gelombang COVID-19 baharu di Melaka serta seluruh negara, seperti berlaku selepas PRN Sabah pada 26 September tahun lalu lalu.

Terkini kelmarin, satu kes positif COVID-19 dilapor keluar menunaikan tanggungjawab mengundi Alor Gajah. Keputusan ujian pesakit ini diterima daripada makmal swasta selepas individu itu selesai proses mengundi.

Pengarah Kesihatan Negeri (JKN) Melaka, Dr Rusdi Abd Rahman dilapor mengambil tindakan segera mengarahkan SPR di pusat mengundi terbabit menutup sementara kawasan berisiko termasuk saluran mengundi untuk proses disinfeksi menyeluruh.

Realitinya, negara kini masih dalam keadaan pandemik. Kes COVID-19 termasuk varian baharu seperti Delta, Delta Plus, Lambda dan Mu masih menular dalam komuniti di seluruh negara.

Walaupun liputan vaksinasi di Melaka dan Malaysia keseluruhannya tinggi, jangkitan COVID-19 masih boleh berlaku. Kerana itu, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) seperti pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal, mengelak tempat sesak, kerap basuh tangan, tiada gejala serta lengkap vaksinasi sangat penting ketika perjalanan PRN Melaka.

Tidak dinafikan SPR dan pihak berkuasa lain khususnya Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) mewujudkan SOP, malah pasukan khas disediakan khusus bagi PRN Melaka ini.

Namun pemerhatian serta laporan dibaca dan dilihat mendapati, pematuhan SOP agak tidak memuaskan. Pemantauan dan penguatkuasaan juga agak longgar.

Jadi, risiko dan jangkaan pakar kesihatan awam, epidemiologi dan penganalisis politik bahawa PRN Melaka boleh mencetuskan kluster dan gelombang COVID-19 yang agak besar dalam tempoh dua minggu selepas PRN Melaka, adalah munasabah.

Walaupun begitu, kita mengharapkan dengan liputan dan keberkesanan vaksinasi COVID-19 yang tinggi pada masa ini serta tahap kesiapsiagaan baik agensi kerajaan, negara dapat menguruskan lonjakan kes dan gelombang baharu jika ia berlaku nanti.

Namun mesti diingat, situasi semasa dengan faktor musim hujan dan banjir, perlindungan imuniti yang menurun, sikap masyarakat yang leka dan trend kes harian COVID-19 yang menaik, masih berisiko menjadikan PRN Melaka punca utama lonjakan kes nanti.

Itu hakikat yang perlu dihadam semua. Apa yang pasti, PRN Melaka sudah selesai. Yang penting sekarang, apakah tindakan perlu dan boleh dilakukan individu serta mereka yang terbabit dan terdedah dalam proses PRN Melaka?

Juga perlu dilihat, apa yang boleh dilakukan pihak berkuasa terutama MKN dan KKM bagi mengekang risiko lonjakan kes dan menguruskan gelombang baharu sekiranya ia benar-benar berlaku.

Tindakan paling utama dan berkesan pastinya TRIIS. Ia merujuk Test (Uji), Report (Lapor), Isolate (Asing), Inform (Maklum) dan Seek (Cari) seperti disarankan KKM.

TRIIS mesti dipraktik dan ia membabitkan individu serta komuniti secara kendiri dan pihak berkuasa, terutama yang terbabit PRN ini, tidak kiralah penduduk Melaka atau dari luar negeri itu.

Disarankan tindakan pertama ialah melakukan ujian saringan COVID-19 sama ada secara ujian air liur kendiri atau di klinik atau lain-lain tempat yang memberi perkhidmatan ujian. Sebaiknya serta-merta selepas PRN atau sebelum meninggalkan Melaka.

Seeloknya juga ujian diulang semula satu atau dua kali dalam tempoh dua minggu selepas PRN atau pulang dari Melaka sekiranya negatif. Ujian pengesanan COVID-19 tidak terhad kepada yang bergejala, tetapi semua yang terbabit di Melaka.

Bagi yang mendapat keputusan positif, laporkan keputusan ujian di aplikasi MySejahtera, asingkan dengan kuarantin kendiri jika positif, maklum kepada kontak rapat jika positif dan pihak berwajib jika kesihatan merosot dan dapatkan rawatan jika alami gejala berat.

Pada masa sama juga, mesti mengamalkan norma baharu setiap masa iaitu memakai pelitup muka, jarak fizikal, kerap mencuci tangan dan memantau jika ada gejala. Penting juga mengehadkan pergerakan dan percampuran dengan ramai orang.

Elakkan menghadiri majlis, perhimpunan awam dan berkunjung ke tempat awam jika tidak perlu. Sekurang-kurangnya dalam tempoh lima hingga 10 hari, walaupun keputusan ujian negatif. Ini bagi mengelakkan jangkitan kepada orang lain.

Bagi pihak berkuasa pula, tindakan pemantauan kes harian, kluster dan kematian lebih rapi dan terperinci hendaklah dilakukan. Di samping itu, tindakan pengesanan kes dan kontak harus ditingkatkan.

KKM dan MKN patut menggunakan aplikasi MySejahtera secara maksimum dan proaktif. Lokasi dan premis terdapat kes, kluster dan jangkitan dalam komuniti mesti segera dikenal pasti dan diambil tindakan wajar seperti Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) atau Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Selain itu, kerajaan harus terus menggalakkan pengambilan dos penggalak oleh golongan ditetapkan. Liputan vaksinasi untuk golongan penduduk berusia 12 tahun ke atas juga perlu dipertingkatkan lagi.

Kerajaan juga sudah pasti bersedia dengan persiapan prasarana dan sumber, terutama fasiliti kesihatan sebagai kesiapsiagaan menghadapi krisis berganda iaitu lonjakan kes COVID-19 dan bencana banjir. Antara kelengkapan perlu seperti katil di hospital, unit rawatan rapi (ICU) dan alat bantuan pernafasan.

Mudah–mudahan negara dan rakyat terselamat jika berlaku lonjakan kes dan gelombang baharu.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM)

Berita Harian X