Sabtu, 20 November 2021 | 11:00am
Pelancongan antarabangsa perlu diberi tumpuan penting kerana menjana pertumbuhan ekonomi. - Foto hiasan
Pelancongan antarabangsa perlu diberi tumpuan penting kerana menjana pertumbuhan ekonomi. - Foto hiasan

Usaha lebih proaktif kembalikan keyakinan pelancong asing

Hampir dua tahun berhadapan pandemik COVID-19. Pelbagai cara dan usaha dilakukan dalam mengharungi detik sukar itu.

Dalam konteks pelancongan, situasi semakin mencabar kerana sektor ini amat terkesan sehingga banyak pengusaha pelancongan gulung tikar dan terpaksa memilih bidang lain sebagai alternatif.

Bagi mereka yang terbabit dan bergantung harap kepada sumber pendapatan daripada sektor pelancongan, pembukaan semua aktiviti itu amat dinantikan.

Namun, bagi yang tidak 'berfikiran pelancongan', mereka mungkin tidak bersetuju membuka sektor ini pada waktu terdekat kerana 'khabarnya' industri pelancongan menjadi pencetus peningkatan semula pandemik.

Dalam situasi sekarang, semua pihak berada dalam keadaan tidak menentu. Ada yang begitu sensitif sehingga perkara terpencil juga diangkat sebagai isu besar, sekali gus mencetuskan panik dalam kalangan masyarakat.

Lebih membimbangkan, ada pihak mengambil kesempatan daripada situasi ini dengan meletakkan sektor pelancongan sebagai penyebab negara sengsara akibat penularan pandemik.

Selepas pembukaan pelancongan domestik bermula 16 September lalu, sektor ini mula menampakkan sinarnya. Ramai menarik nafas lega khususnya mereka terbabit dalam sektor berkenaan.

Dengan kerjasama padu semua pihak di bawah payung Keluarga Malaysia, Gelembung Pelancongan Langkawi mencatat kejayaan dengan merekodkan keuntungan pendapatan RM15.97 juta bermula 16 hingga 30 September lalu.

Projek rintis itu mencapai kejayaan boleh dibanggakan dengan pelbagai usaha dilaksana untuk memastikan gelembung pelancongan mencapai matlamat ditetapkan.

Prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dan dikuat kuasa untuk memastikan premis penggerak industri selamat dikunjungi, dengan adanya pensijilan MySAFE Langkawi di bawah pelan pemulihan Pelancongan Langkawi 2021-2022.

Pensijilan MySAFE ini diberikan kepada penggerak industri merangkumi industri penginapan, restoran, produk pelancongan dan premis perniagaan.

Namun setelah hampir dua tahun sektor pelancongan ini 'tidak bernyawa', ada beberapa isu perlu diambil perhatian segera khususnya dalam memastikan ia masih relevan untuk beroperasi semula.

Antara masalah terpaksa dihadapi pengusaha pelancongan adalah tenaga kerja mahir bagi memenuhi keperluan semasa khususnya di sektor perhotelan.

Kebanyakan pekerja hotel memilih bidang lain setelah tiada pekerjaan ketika negara terpaksa menutup sektor pelancongan sejak tahun lepas.

Hal ini banyak menjejaskan operasi sektor perhotelan, sekali gus memberikan kesan kepada kualiti perkhidmatan apabila permintaan bagi sektor ini semakin meningkat.

Lebih memburukkan keadaan soal infrastruktur produk pelancongan atau hotel memerlukan penambahbaikan serta penyeliaan sempurna bagi menjamin keselamatan dan keselesaan pelancong.

Itu antara isu domestik perlu diuruskan secara bijaksana bagi memastikan kelestarian sektor pelancongan negara.

Selain pelancongan domestik, segmen pelancongan antarabangsa harus diberikan tumpuan penting kerana amat penting dalam menjana pertumbuhan ekonomi negara.

Apabila sebut pelancongan antarabangsa, banyak perkara perlu diambil perhatian. Soal penghasilan SOP untuk pelancong antarabangsa dan promosi serta pemasaran harus diberi perhatian khusus.

Ini penting bagi memastikan kelancaran kemasukan pelancong ke negara ini dan tidak berlaku masalah, khususnya dalam kalangan pelancong.

Perancangan membuka sempadan negara kepada sektor pelancongan harus dijalankan lebih awal membabitkan semua pihak, termasuk kerajaan dan agensi berkaitan serta pengusaha pelancongan.

Selain SOP baik, soal kemudahsampaian pelancong juga harus diambil kira. Pengangkutan seperti penerbangan pelancong untuk ke negara ini perlu diuruskan dengan sempurna dan lebih awal bagi memastikan pakej pelancongan dapat segera dipasarkan.

Bukan itu sahaja apabila pakej pelancongan sudah terjual dan pelancong asing sedia melancong ke negara ini, soal pengurusan pelancong ini juga harus diselaraskan lebih efisien membabitkan semua pihak bertanggungjawab seperti syarikat agensi pelancongan dan penerbangan serta imigresen.

Ini penting bagi memastikan pelancong yang ingin datang ke negara ini dapat menikmati pengalaman manis sepanjang percutian mereka. Namun, jika berlaku masalah pada peringkat ini, ia tentu memberikan gambaran negatif kepada industri pelancongan negara.

Sehingga kini, kerajaan melalui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) mengadakan lima sesi libat urus menerusi Jawatankuasa Pasukan Pengurusan Krisis (CMT) membabitkan lebih 30 wakil industri pelancongan dan lebih 15 wakil industri seni serta budaya bagi mendapatkan maklum balas mengenai cabaran dihadapi dan cadangan diusulkan.

Hasil sesi libat urus itu, MOTAC meneliti setiap pandangan dikemukakan penggerak industri.

Segala permasalahan dihadapi penggiat industri pelancongan, input diterima sudah dibawa ke mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi pertimbangan sewajarnya.

Namun, hasil sesi libat urus itu juga perlu diterjemahkan kepada sistem pengurusan proaktif, sekali gus mampu menjamin kepentingan semua pihak khususnya pengusaha pelancongan yang menjadi barisan hadapan kepada sektor pelancongan negara.

Persoalannya, sejauh mana tuntutan itu dipenuhi dan bagaimana pula dengan pelaksanaannya? Ini semua memerlukan satu sistem pengurusan proaktif, sekali gus mampu menjamin kepentingan semua pihak.

Meskipun terpaksa berhadapan pelbagai cabaran, penggiat industri pelancongan perlu menerima hakikat soal keselamatan dan kesihatan masyarakat lebih diutamakan. Oleh itu, semua pihak mesti bermuhasabah dan mengambil iktibar daripada situasi hari ini untuk merancang masa depan lebih baik.

Tidak salah jika kita melangkah setapak ke belakang untuk melompat lebih jauh ke hadapan, sekali gus memacu pertumbuhan industri pelancongan lebih cemerlang.

Pada peringkat awal ini, kita boleh merancang strategi pemulihan khususnya dalam sektor pelancongan dan membangunkan modal insan yang bakal menjadi penggerak utama sektor pelancongan negara.

Program promosi dan pemasaran juga perlu disusun semula dengan lebih awal bagi mengembalikan keyakinan masyarakat tempatan serta antarabangsa untuk melancong semula.

Kita harus memaklumkan kepada dunia bahawa Malaysia adalah destinasi selamat dan sentiasa mengutamakan faktor kebersihan serta keselamatan dengan protokol norma baharu meyakinkan.

Dalam menghadapi situasi masa kini, kita perlu bersiap sedia dengan norma baharu ini demi memastikan kelangsungan industri pelancongan dalam menyumbang kepada ekonomi negara.

Semoga usaha dirancangkan dapat mengembalikan daya saing industri ini dan mendapat sokongan padu serta kerjasama penuh semua pihak berkepentingan termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penggiat industri berkaitan.

Penulis adalah Naib Presiden Majlis Pelancongan Malaysia

Berita Harian X