Rabu, 27 Oktober 2021 | 11:02am
 Bantuan pemulihan harus utamakan golongan terjejas teruk untuk bangkit semula. - Foto hiasan/BERNAMA
Bantuan pemulihan harus utamakan golongan terjejas teruk untuk bangkit semula. - Foto hiasan/BERNAMA

Belanjawan perlu tumpu bantu golongan terjejas bangkit semula

Belanjawan 2022 menjadi belanjawan pertama negara selepas pelancaran Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12). Justeru, ia dijangka akan memperhalusi beberapa strategi dan kenyataan dasar direncana serta diperkenalkan di bawah RMK-12, terutama bagi tahun hadapan, iaitu tahun kedua dalam fasa RMK-12 yang akan berakhir pada 2025.

Belanjawan ini juga yang pertama bagi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang baru sahaja melancarkan gagasan di bawah pentadbirannya, iaitu konsep Keluarga Malaysia. Oleh itu, seperti juga RMK-12 berpaksikan konsep itu, Belanjawan 2022 ini akan memperincikan lagi makna aspirasi Keluarga Malaysia, terutama dalam konteks ekonomi.

Malah, apa yang lebih penting lagi sebenarnya adalah bagaimana Belanjawan 2022 berupaya menterjemahkan prinsip dan falsafah utama aspirasi Keluarga Malaysia dengan dasar, program serta langkah konkrit dan jelas yang akhirnya dapat dirasai seluruh Keluarga Malaysia tanpa ada yang tertinggal.

Dalam erti kata lain, idea Keluarga Malaysia bukan sekadar retorik atau slogan semata-mata.

Hakikatnya, ekonomi global, begitu juga ekonomi Malaysia, belum keluar sepenuhnya daripada kemelut pandemik COVID-19. Impak pandemik ini, yang mula menghambat ekonomi dunia dan kita sejak Mac tahun lalu, masih dirasai hingga hari ini.

Walaupun sekatan rentas negeri sudah tiada lagi dan lebih 94 peratus rakyat dewasa Malaysia menerima vaksin lengkap, proses pemulihan ekonomi, iaitu dari segi prospek pertumbuhan ekonomi negara, perniagaan dan pelaburan, pekerjaan serta penggunaan, eksport dan import dan juga aliran tunai perniagaan dan mata pencarian rakyat, memakan masa untuk dipulihkan.

Apatah lagi untuk menjadikannya lebih baik berbanding sebelumnya pada masa hadapan. Begitu juga dengan aspek sosioekonomi rakyat semakin terjejas, seperti kadar kemiskinan, ketidakseimbangan agihan pendapatan dan pembangunan wilayah, aspek kebahagiaan serta kesejahteraan rakyat dan kekayaan, kemakmuran dan kualiti hidup rak- yat secara keseluruhannya.

Oleh itu, tidak hairanlah Belanjawan 2022 ini akan meneruskan penumpuan terhadap memulih dan membina semula ekonomi rakyat, perniagaan dan juga mengukuhkan kembali asas makroekonomi terjejas teruk.

Selain itu, Belanjawan 2022 juga dijangka akan memainkan peranan penting dalam memperkasa dan mereformasi ekonomi negara dalam usaha untuk memastikan agenda mentransformasi ekonomi Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi dapat dicapai pada 2025.

Tidak dapat dinafikan, kita sememangnya ketika ini sudah nampak cahaya di hujung terowong. Tidak lama lagi, hampir semua negeri di Malaysia akan berada pada Fasa Empat dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan sempadan negara juga akan dibuka.

Namun, pemulihan ekonomi yang akan berlaku ini dijangkakan tidak seimbang atau pemulihan berbentuk 'k'. Di sinilah kepentingan Belanjawan 2022 ini, sejajar pendekatan Keluarga Malaysia, untuk memahami dan memastikan bahawa negeri, daerah, sektor, industri, perniagaan serta kumpulan rakyat begitu terjejas dan tidak dapat bangkit kembali untuk dibantu dengan lebih baik berbanding sebelumnya.

Inisiatif langsung atau tidak langsung kepada rak- yat, pekerjaan dan perniagaan seperti bantuan tunai langsung, upah subsidi, perkhidmatan moratorium, geran khas, program reskilling dan upskilling, skim JanaKerja misalnya, perlu diteruskan.

Kerajaan juga mungkin boleh memperkenalkan pendekatan dan strategi baharu lebih kreatif supaya ekosistem ekonomi ini lebih mesra rakyat dan kukuh serta kalis kemelesetan pada masa hadapan.

Contohnya dari aspek pekerjaan, sudah tiba masanya untuk kita mengiktiraf mereka dalam barisan hadapan supaya gaji dapat ditingkatkan, sejajar tugas dan beban dalam mendepani bukan sahaja pandemik COVID-19 ini, bahkan kemungkinan bentuk wabak lain pada masa hadapan.

Hakikatnya, kita tidak begitu meletakkan nilai sebenar pekerjaan 'barisan hadapan' ini dalam pasaran buruh, walaupun sekarang kita sudah sedar betapa pentingnya kerjaya ini dalam masyarakat.

Selain itu, skim jaminan pekerjaan juga boleh dipertimbangkan, terutama kepada generasi muda lebih menjurus kepada sektor kreatif, kesihatan dan penjagaan serta sektor hijau dan kelestarian.

Aspek keusahawanan sosial, menjurus untuk menyelesaikan masalah masyarakat, bukannya untuk memaksimumkan keuntungan semata-mata, perlu difokuskan dalam belanjawan ini.

Dari sudut perbankan, keputusan kerajaan dengan bantuan pihak bank dalam memperkenalkan Program Pengurus dan Ketahanan Kewangan (URUS) dalam usaha untuk membantu golongan B50 dalam aspek kewangan amat dialu-alukan.

Namun, kita juga sedar ramai rakyat dan perniagaan di luar sana yang sudah menjadi muflis dan perniagaan 'gulung tikar' akibat pandemik serta sekatan aktiviti ekonomi dan sosial yang berlaku.

Oleh itu, untuk membolehkan golongan ini kembali bangkit dalam fasa pemulihan ini, kerajaan mungkin boleh memikirkan satu mekanisme baharu, bersama dengan bank dan juga pihak berkaitan untuk memaafkan hutang ini atau dalam terma ekonomi, written off.

Langkah ini mungkin boleh difikirkan dan dilakukan kepada golongan begitu terjejas teruk sahaja sebagai permulaan.

Dari aspek bantuan tunai, saya percaya konsep seperti Universal Basic Income (UBI) ini juga boleh dieksperimentasi di negara ini dengan beberapa projek perintis sebagai permulaan supaya pemberian bantuan ini dapat dilakukan secara berterusan dan berskala pada masa hadapan.

Dari aspek pertumbuhan ekonomi dan pelaburan pula, tidak dinafikan kerajaan perlu fokus dalam agenda digitalisasi, kelestarian serta keterangkuman dalam merangsang semula momentum pertumbuhan ekonomi dan menarik lebih banyak pelaburan serta mencipta peluang pekerjaan, terutama kepada generasi muda di luar bandar dan beberapa negeri yang masih terbelakang dari aspek pembangunan.

Komitmen dan pendirian kerajaan terhadap perjanjian Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) serta Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) juga perlu diterjemahkan dalam beberapa reformasi perundangan dan regulasi dan mensiapsiagakan pihak perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk menerima manfaat daripada akses kepada pasaran yang lebih luas melalui perjanjian ini.

Akhirnya, semua ini akan membawa kepada peningkatan dalam Key Happiness Outcome (KHO) dengan kedudukan Malaysia lebih baik dalam Carta Indeks Kebahagiaan Dunia pada 2022.

Penulis adalah Ketua Unit Penyelidikan Risiko Ekonomi dan Politik, Universiti Utara Malaysia

Berita Harian X