Isnin, 25 Oktober 2021 | 11:01am

Wawasan geopark Langkawi tuntut perubahan minda komuniti

LANGKAWI mendapat pengiktirafan sebagai Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) Global Geopark pada 2007 kerana keindahan alam dan nilai warisan geologi bertaraf antarabangsa.

Wawasan geopark itu bukan sekadar jenama berkualiti global untuk destinasi pelancongan, tetapi berhasrat membangunkan wilayah secara lestari sambil meningkatkan kesejahteraan komuniti setempat. Wawasan ini disampaikan kepada pelbagai pihak berkepentingan, termasuk penduduk Langkawi pada 2005 hingga 2006 sebelum mencalonkan Langkawi sebagai geopark.

Kini, selepas hampir 15 tahun Langkawi menjadi geopark, kami melawat beberapa kampung, bertanya khabar dan menilai kembali apakah nikmat geopark meresap ke kelompok komuniti setempat ini?

Transformasi ke arah pembangunan lestari bukan mudah, lazimnya mengambil masa. Dalam konteks Langkawi, kelompok utama, iaitu komuniti nelayan dan petani tradisi, perlu beradaptasi sebagai pemain pelancong pada awal 1980-an apabila Langkawi diisytihar sebagai Destinasi Pelancongan Antarabangsa.

Mulai 2007 pula, mereka perlu berubah sekali lagi sebagai penghuni geopark (geoparkian), iaitu khalifah menyintai warisan kepulauan, menyampaikan cerita alam kepada pelancong dan melaksanakan amalan kelestarian.

Komuniti Melayu tradisi sarat dengan budaya, tradisi dan kepercayaan masih terserlah hingga hari ini. Pegangan agama, tradisi menangkap ikan dan bersawah, bermasyarakat secara berkampung serta kepelbagaian jenis makanan tradisi adalah identiti mereka.

Apabila keseluruhan Langkawi menjadi destinasi pelancongan, ramai orang luar datang ke Langkawi menjalankan perniagaan pelancongan. Sebahagian penduduk tempatan terbabit sama ada menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan atau menjadi pekerja industri pelancongan. Ramai juga yang bekerja separuh masa dan masih mengekalkan hidupan tradisi, iaitu sebagai nelayan dan petani.

Apabila seluruh wilayah Langkawi menjadi UNESCO Global Geopark, kebanyakan penduduk tempatan kurang memahami wawasan geopark ini dan tidak dapat beradaptasi dengan konsep geoparkian. Kebanyakan penduduk menganggap 'geopark hanya satu lagi jenama untuk pelancongan,' dan ia tidak relevan dengan kehidupan mereka.

Sampai sekarang masih ramai bertanya, apa itu geopark? Geopark ialah wawasan Pembangunan Lestari Wilayah yang memberikan tumpuan kepada usaha memulihara warisan bumi, khususnya geowarisan yang selama ini terbiar dan kurang dikenali.

Pada masa sama, geopark berhasrat meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan rasa kecintaan mengenai wilayah istimewa mereka, sekali gus menggunakan sumber baharu ini untuk meningkatkan ekonomi keluarga serta komuniti.

Pertemuan kami dengan komuniti di tiga kampung tradisi, iaitu Kampung Lawer, Kampung Ranggut dan Kampung Kuala Teriang di Mukim Padang Mat Sirat bertujuan bertukar pandangan serta meninjau impak geopark terhadap kehidupan mereka.

Kami berasa amat gembira kerana ketua kampung dan anak buahnya menyambut kami dengan tangan terbuka. Suasana kampung masih amat terserlah dan tradisi bermasyarakat masih sangat utuh. Pertemuan diadakan, sama ada di pekarangan surau atau di kedai kopi tempat mereka singgah selepas berpanas di bendang atau laut.

Kami amat tertarik dengan perkembangan berlaku di Kampung Lawer, di samping sejumlah penduduknya terlihat dengan industri pelancongan, budaya tradisi membuat bendang masih diteruskan. Mereka menanam padi pulut dan ini tentunya boleh dibangunkan sebagai geoproduk yang boleh dibangunkan sebagai cenderahati pelancong.

Berhampiran kampung ini terdapat geowarisan Bukit Sawar yang memiliki landskap berpandangan indah dan kepelbagaian biologi hutan granit yang masih belum dibangunkan sebagai produk geopelancongan.

Penduduk di kampung ini pastinya berupaya membangun georintis Permatang Sawar dan membawa pelancong menikmati alam indah sambil menikmati cerita geologi serta biologi yang mendasari keindahan berkenaan.

Di Kampung Ranggut komuniti mewakili orang lama masih menjalankan usaha tradisi, iaitu membuat bendang untuk padi Jawi. Mereka bergegas dari bendang untuk bersembang dengan kami sambil melepaskan kekecewaan, tiada yang membela nasib dan kebajikan pesawah tradisi ini.

Pesawah di Langkawi perlu diberikan perhatian, terutama berkaitan dengan harga padi yang tidak berpatutan. Kami tidak nampak anak muda, mungkin mereka keluar dari kampung dan bekerja sebagai pegawai, pengusaha atau pemain pelancongan.

Kami melawat Kampung Kuala Teriang 15 tahun lalu, sebelum Langkawi diisytihar sebagai geopark dan ini lawatan susulan. Ketika itu, wujud koperasi isteri nelayan yang mengusahakan produk makanan laut. Usaha kejayaan mereka dijadikan contoh ketika lawatan penilaian UNESCO menjadikan Langkawi sebagai geopark global.

Malangnya, perusahaan ini terpaksa ditutup kerana peralatan yang usang, antaranya disebabkan impak COVID-19 terhadap industri pelancongan. Kuala Teriang adalah contoh terbaik kehidupan tradisi nelayan pesisir sebagai wakil sejarah kehidupan komuniti Melayu yang tinggal di pesisir pantai sejak berkurun lamanya.

Tinggalan begini perlu dijaga dan diperkasa, untuk mengingati kembali zaman silam kita dan landskapnya berpotensi sebagai pusat pelancongan sejarah di kepulauan Langkawi.

Lawatan ke beberapa kampung tradisi di Langkawi UNESCO Global Geopark amat bermakna kepada kami. Banyak pengajaran, pada masa sama, timbul persoalan, apakah wawasan geopark berjaya mengubah set minda komuniti setempat ke arah kehidupan sejahtera dan lestari?

Memang wujud perubahan positif, tetapi kami berasakan masih belum mencapai hasrat yang diharapkan. Begitu banyak kemajuan pembangunan prasarana tersedia, perubahan kepada pengetahuan, sikap dan peluang kepada bagi komuniti setempat masih sangat terbatas.

Penulis adalah Penasihat Langkawi UNESCO Global Geopark dan Felo Utama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Berita Harian X