Sabtu, 23 Oktober 2021 | 10:31am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Lahirkan lebih ramai pakar bidang kebersihan industri

STATISTIK menunjukkan jumlah kemalangan, kecederaan dan penyakit pekerjaan masih tinggi, terutama dalam sektor perkilangan yang turut menyumbang jumlah pekerjaan tertinggi negara.

Cabarannya lebih besar dalam industri kecil dan sederhana (IKS), maka perlunya kepemimpinan yang jelas, pengetahuan teknikal yang kuat dan kolaborasi berkesan untuk mengarusperdanakan kesihatan pekerjaan, termasuk dalam bidang kebersihan industri atau industrial hygiene.

Saban tahun, Kementerian Sumber Manusia dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) menggembleng tenaga membabitkan semua pihak berkepentingan dalam memastikan keselamatan di tempat kerja, tanpa mengira industri.

Hakikatnya, jumlah pengamal dalam sektor kebersihan industri di negara ini sangat rendah. Sehingga kini, hanya ada 14 pakar profesional bertauliah (CPIH) dalam bidang itu di seluruh negara, sedangkan masih banyak perlu dilakukan untuk melindungi kesihatan pekerja.

Organisasi utama seperti Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Nasional (NIOSH) memainkan peranannya dalam berkolaborasi dengan profesional kesihatan dan keselamatan pekerjaan (KKP) untuk memperkukuhkan amalan kebersihan industri.

Persatuan Kebersihan Industri Malaysia (MIHA) juga bekerjasama dengan badan kerajaan, industri, persatuan kebersihan industri antarabangsa, persatuan KKP tempatan dan pelajar universiti melalui gerakan pelajar yang ditubuhkan.

Dalam usaha mentransformasikan Malaysia ke arah sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi melalui persekitaran kerja yang selamat, sihat, kondusif dan produktif, Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2021-2025 (OSHMP 2025) dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri pertengahan minggu lalu.

Pelan itu menterjemahkan komitmen dan hala tuju KKP negara untuk tempoh lima tahun akan datang, selaras hala tuju kerajaan berpaksikan KKP inklusif – kebersamaan dan komitmen.

Antara tujuh strategi teras dalam pelan induk adalah pendidikan dan penyelidikan yang berkaitan KKP, dengan tiga program utama bertujuan meningkatkan kesedaran, pendidikan dan penglibatan masyarakat dalam KKP; meningkatkan kecekapan dan profesionalisme di tempat kerja serta memupuk budaya penyelidikan dan pembangunan KKP.

Sejajar arah tuju itu dan sebagai usaha memperbanyakkan kepakaran kebersihan industri masa depan, program sarjana muda pertama dalam bidang ini dan keselamatan industri mula ditawarkan di Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM), di Kampus Shah Alam untuk pengambilan Oktober ini. Ia kesinambungan diploma bidang sama di Kampus Bukit Besi UiTM Terengganu yang bermula tiga tahun lalu.

Untuk merapatkan jurang antara dunia fizikal dan digital serta menghadapi realiti masa hadapan dalam era Revolusi Industri Keempat (IR 4.0), pelajar dilengkapi pengetahuan dan kemahiran terkini.

Dalam senario pembelajaran terbuka dan jarak jauh (ODL) kini berganjak menjadi norma baharu, penekanan juga diberikan kepada kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan, internet kebendaan (IoT) dan kemajuan terkini lain dalam pelbagai disiplin untuk memastikan program akademik ditawarkan memenuhi tuntutan yang sentiasa berubah-ubah.

Pendidikan 5.0 (Education 5.0) disesuaikan untuk keluar daripada kepompong pengajaran berasaskan kandungan tradisional kepada kaedah baharu dalam mendidik individu yang menghargai keperibadian setiap pelajar dan kadar pembelajaran mereka sendiri.

Ia memberikan penekanan kepada pembelajaran fleksibel, dengan fokus kepada penyampaian kemahiran hidup, kaedah pembelajaran berpusatkan pelajar dan penggunaan teknologi yang diterapkan dengan nilai dan prinsip. Ini bukan hanya penting untuk memberi maklum balas segera, malah membantu mengenal pasti kekuatan dan kelemahan pelajar.

Harapannya, program akademik kebersihan industri ditawarkan di negara ini dapat menghasilkan graduan mahir dalam kerja lapangan yang dapat mengintegrasikan dan menerapkan konsep pengurusan OSH, dalam menyokong strategi nasional dan menggembleng usaha pihak berkepentingan ke arah peningkatan berterusan dalam pengurusan hazard kesihatan dan risiko pendedahan pekerjaan di tempat kerja.

Berita Harian X