Jumaat, 15 Oktober 2021 | 11:01am

URUS bantu B50, jamin kelangsungan sumbangan bank

Dengan pembukaan semula ekonomi, bank menumpukan perhatian dan bekerjasama dengan Agensi Kredit dan Pengurusan Kaunseling (AKPK) untuk membantu pelanggan paling terkesan.

Dalam aspek ini, industri perbankan menawarkan pelbagai skim bantuan pembayaran balik, dirancang di bawah bimbingan Kementerian Kewangan serta Bank Negara Malaysia (BNM).

Ketika kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama pada Mac tahun lalu, bank di Malaysia segera menawarkan bantuan besar-besaran kepada peminjam.

Moratorium asal ditawarkan secara menyeluruh oleh bank membantu sekitar 8.25 juta individu serta peminjam perusahaan kecil dan sederhana (PKS), dengan jumlah nilai pinjaman kasar sekitar RM97.26 bilion.

Selain membantu peminjam menstruktur semula atau mengurus kembali kewangan, ia memberi peluang kepada mereka memulakan perancangan mengatur semula kemudahan kredit bagi memastikan kelangsungan jangka panjang.

Usaha ini mewakili lebih 38.9 peratus jumlah rangsangan bernilai RM250 bilion diumumkan kerajaan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) tahun lalu - satu petunjuk bahawa sebahagian besar rangsangan ekonomi dalam bentuk bantuan ditawarkan bank.

Bank kemudian menawarkan bantuan pembayaran balik secara bersasar berdasarkan permohonan peminjam, serupa dilakukan di kebanyakan negara lain. Rasionalnya kerana bank mempunyai sumber terhad, justeru perlu menggunakan sumber ini untuk membantu mereka benar-benar memerlukan.

Pada masa sama, bank sedar mereka perlu menjimatkan sebahagian sumber untuk tahap pemulihan pada kemudian hari.

Dalam bantuan terbaru menerusi pembayaran balik diumumkan di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) Plus dan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), lebih 2.6 juta peminjam individu dan 86,000 peminjam PKS memperoleh bantuan pembayaran balik antara 1 Jun hingga 10 September lalu.

Malah, di bawah pakej PEMULIH terbaru – terbuka kepada mana-mana peminjam individu terjejas menerusi dasar opt-in – sehingga Julai lalu lebih 25 peratus portfolio runcit bank dianggarkan dalam bentuk program pembayaran balik, sebahagian besarnya dalam bentuk moratorium untuk pembayaran balik bulanan.

Selaras perkembangan program vaksinasi dan tahap pemulihan negeri yang berbeza, Bank di Malaysia sedar masih ada sebahagian besar peminjam, terutama berpendapatan isi rumah RM5,880 sebulan dan ke bawah masih bergelut akibat tekanan kewangan.

Ini termasuk kehilangan pekerjaan atau sebahagian besar pendapatan bulanan mereka, antaranya sehingga setahun setengah lamanya. Mereka paling terkesan mempunyai simpanan terhad (jika ada) dan terjejas paling teruk berdasarkan pendapatan dan aset mereka.

Setiap bank mengkaji jenis bantuan boleh dipertimbangkan kepada kumpulan ini dan yakin mereka perlu membantu perniagaan untuk mula beroperasi, berkembang dan menggaji semula pekerja.

Sememangnya kita sudah dapat melihat tanda positif pembukaan semula ekonomi secara beransur-ansur dan bank mempunyai peranan penting untuk dimainkan pada tahap ini melalui penawaran modal kerja yang dapat membantu mempercepatkan pemulihan.

Namun, sangat mustahak untuk kita sedar bahawa bank perlu mengimbangi antara membantu pelanggan terjejas dan membantu membiayai pemulihan ekonomi negara. Kita harus memastikan sumber terhad digunakan optimum dan sebarang bantuan tidak menyebabkan kesan tidak disengajakan kepada ekonomi serta rakyat secara umumnya.

Oleh itu, kami percaya langkah pertama perlu dibuat adalah mengambil pendekatan bersasar dalam memberi bantuan tambahan, bukan menyeluruh (contohnya, pengecualian faedah secara menyeluruh). Ia langkah terbaik untuk kepentingan peminjam dan pada masa sama, memastikan bank dapat menyalurkan sebahagian sumber mereka untuk membiayai keperluan ekonomi negara.

Realitinya, keadaan ekonomi sebenar sesebuah negara bergantung keadaan sektor perbankan dan pasaran modal. Sektor perbankan yang kuat dan berdaya tahan akan membantu memacu pertumbuhan ekonomi lebih cepat ketika ekonomi sihat, dan bertindak sebagai pengalas ketika ekonomi lemah seperti dialami kini.

Jika sektor perbankan lemah, ia boleh mengakibatkan ekonomi menjunam seperti berlaku di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah semasa krisis kewangan global 2008.

Ini menyebabkan badan kawal selia perbankan memperkenal langkah memastikan sektor perbankan kekal kukuh biarpun apa terjadi kepada ekonomi sebenar.

Kesan bank terhadap ekonomi sebenar diwakili kedua-dua penyata imbangan. Dari segi liabiliti, ia menjana pendapatan dengan membayar faedah kepada pendeposit dan pemegang bon secara berterusan serta dividen kepada pemegang saham.

Dari segi aset, bank membiayai infrastruktur dan aktiviti ekonomi melalui pemberian pinjaman, misalnya untuk membina lebuh raya baharu, loji jana kuasa, hospital serta rumah supaya lebih ramai dapat digaji.

Namun, bank hanya dapat melakukan ini jika mereka meraih keuntungan kerana sebahagiannya diagihkan sebagai dividen, manakala selebihnya disimpan sebagai modal untuk aktiviti pinjaman baharu.

Oleh itu, penting bagi bank mempunyai modal mencukupi (melalui pendapatan tertahan) dan kecairan untuk memberi lebih banyak bantuan dalam pemulihan pasca pandemik.

Sebarang ketidakupayaan antara bank Malaysia untuk memberi pinjaman pada tahap kritikal ini akan memberi kesan buruk kepada ekonomi yang sememangnya sudah rapuh.

Mungkin ramai tidak sedar akibat lain tidak disengajakan daripada skim pengecualian faedah secara menyeluruh. Ia boleh menyebabkan kehilangan kepercayaan terhadap perbankan Islam.

Di bawah konsep Akaun Pelaburan Islam (IA), bank Islam memainkan peranan perantara pelaburan di mana pelabur awam - melalui perkongsian risiko - mengambil bahagian dalam risiko dan pulangan daripada aset pembiayaan institusi kewangan Islam.

Jika peminjam dikecualikan membayar keuntungan, ini akan mempengaruhi pulangan dan pembayaran pelabur.

Pengecualian faedah tidak bersasar juga berpotensi dijadikan precedent atau pendahulu untuk jangkaan tingkah laku peminjam masa akan datang, di mana jangkaan adalah mereka akan dapat meminjam tanpa sebarang kos.

Ini mungkin menyebabkan pinjaman masa depan lebih sukar dan mahal kerana bank akan mengelak memberi pinjaman, terutama kepada kumpulan peminjam berpendapatan rendah yang paling memerlukan pinjaman.

Untuk memenuhi keperluan peminjam terkesan, bank membangunkan skim bersasar bersama AKPK untuk memberi sokongan berterusan dan menyeluruh melalui skim disokong industri dikenali Program Pengurusan dan Ketahanan Kewangan (URUS).

Skim ini menyerupai skim pengurusan hutang AKPK sedia ada yang terbukti membantu lebih 324,000 peminjam.

URUS mengambil pandangan menyeluruh, bukan hanya dengan pengecualian faedah tiga bulan, tetapi juga pengurangan pembayaran ansuran dan kos faedah untuk jenis kemudahan pembiayaan tertentu sehingga dua tahun.

Skim ini disasarkan kepada peminjam individu yang memperoleh pendapatan isi rumah bulanan RM5,880 dan ke bawah yang kehilangan pekerjaan atau mengalami sekurang-kurangnya 50 peratus pengurangan pendapatan.

AKPK juga memberikan kaunseling kewangan dan perancangan kepada mereka yang terjerumus masalah kewangan.

Secara kolektif, bank memberi sumbangan besar dianggarkan bernilai RM1 bilion dengan angka akhir bergantung jumlah peminjam untuk membantu membiayai skim ini. Ini mencerminkan komitmen kami untuk membantu pelanggan terjejas dalam tempoh mencabar.

Kami yakin URUS akan memberikan bantuan lebih baik kepada mereka yang memerlukan kerana ia sumbangan lebih bermakna daripada industri serta memberi masa serta ruang kepada peminjam untuk bangkit, tamat daripada pelbagai program bantuan pembayaran balik dan akhirnya memenuhi tanggungjawab pembayaran hutang mereka seperti biasa.

Ia juga penyelesaian terbaik kerana membantu yang benar-benar memerlukan dan pada masa sama, membolehkan bank terus memberi pinjaman dalam pemulihan semula ekonomi pasca pandemik.

Berita Harian X