Selasa, 12 Oktober 2021 | 10:31am
Orang ramai diingatkan supaya sentiasa mematuhi SOP bagi mengelakkan kenaikan kes berulang lagi.
Orang ramai diingatkan supaya sentiasa mematuhi SOP bagi mengelakkan kenaikan kes berulang lagi.

Kebenaran rentas negeri hidupkan semula pelancongan, ekonomi

Keputusan kerajaan memberi kebenaran untuk mereka yang menerima vaksinasi lengkap untuk melakukan pergerakan rentas negeri bermula, semalam, sememangnya adalah perkara yang amat dinanti-nantikan Keluarga Malaysia.

Pengumuman dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kelmarin itu, sebagai persediaan negara menghadapi fasa endemik dalam tempoh terdekat.

Rakyat di seluruh negara kini boleh menarik nafas lega apabila perjalanan merentas negeri boleh dilakukan tanpa perlu memohon kebenaran daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) kecuali mereka yang berada di dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Langkah ini menunjukkan keyakinan kerajaan terhadap keberkesanan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dengan vaksinasi lengkap populasi dewasa mencapai 90 peratus direkodkan baru-baru ini.

Hakikatnya, pengorbanan ini semua dilakukan seluruh rakyat yang berjauhan dengan keluarga sepanjang pelaksanaan sekatan pergerakan penuh termasuk membabitkan larangan rentas daerah dan negeri ini, berbaloi apabila jumlah kes harian COVID-19 menurun daripada lima angka kepada empat angka sejak 3 Oktober lalu.

Pastinya peluang ini akan digunakan dengan sebaiknya oleh rakyat untuk pulang ke kampung untuk bertemu dengan pasangan, ibu bapa dan keluarga yang sudah lama terpisah dalam tempoh lama.

Selain itu, peluang ini amat sesuai digunakan oleh Keluarga Malaysia untuk bercuti bersama keluarga ke destinasi pelancongan menarik di dalam negara bagi mengurangkan tekanan akibat terpaksa 'terkurung' di sekitar kawasan kediaman.

Perkembangan ini juga sebenarnya memberikan sinar dalam menghidupkan kembali sektor pelancongan domestik yang terjejas akibat pandemik ini hampir dua tahun yang lalu.

Justeru, keputusan terbaru diumumkan kerajaan ini amat bertepatan dengan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan Pelan Pemulihan Pelancongan iaitu mengembalikan semula keyakinan rakyat untuk melancong, menyemarakkan pelancongan domestik dan mengenal pasti produk serta meningkatkan penawaran lebih kreatif dengan memaksimumkan sumber sedia ada.

Penggiat industri perlu menyambut peluang ini dengan mengetengahkan pakej pelancongan kreatif dan komprehensif bagi menarik minat rakyat untuk mendapatkan pengalaman melancong yang bermakna.

Ia juga diharap dapat memacu pertumbuhan ekonomi negara terutamanya merangsang aktiviti perniagaan dalam skala lebih luas dalam ekosistem pelancongan domestik antaranya sektor perhotelan, perkhidmatan, pengangkutan, makanan dan peruncitan.

Selain itu, kebenaran rentas negeri ini memberi peluang kepada penduduk di sekitar tempat pelancongan untuk kembali aktif dengan penjualan barang kraf tangan, cenderamata, gerai makanan dan makanan tradisional untuk menambahkan pendapatan yang selama ini terjejas akibat penutupan berkenaan.

Penawaran aktiviti pelancongan ini juga memberi peluang kepada penduduk tempatan untuk kembali mempromosikan kepelbagaian budaya termasuk tarian tradisional, muzik serta adat resam.

Dengan peningkatan permintaan sektor pelancongan, lebih banyak peluang pekerjaan dapat ditawarkan kepada graduan dan penduduk, sekali gus meningkatkan ekonomi setempat.

Khabar gembira itu turut disambut Presiden Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (BUMITRA), Harun K C Ahmmu yang menegaskan kebenaran itu dapat memastikan ekonomi bergerak kembali dan pemain industri boleh menjana semula pendapatan, seterusnya kembali merancakkan industri pelancongan negara.

Pada masa sama, semua pihak tidak boleh bersikap sambil lewa terhadap kelonggaran diberikan, sebaliknya perlu mengambil perhatian terhadap peringatan Perdana Menteri bahawa tidak mustahil penularan wabak COVID-19 akan kembali meningkat jika pematuhan prosedur operasi standard (SOP) diambil mudah.

Peringatan sama turut diberikan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang mengingatkan semua untuk mematuhi SOP supaya kenaikan kes tidak lagi berlaku, sekali gus menjadikan keberkesanan kebenaran rentas ini sebagai tanggungjawab rakyat bersama.

Justeru, komitmen dan tanggungjawab setiap rakyat untuk sentiasa mengikut SOP ditetapkan perlu sentiasa menjadi panduan.

Perniagaan berkaitan pelancongan seperti hotel, pusat peranginan, inap desa, restoran, pengangkutan dan pusat rekreasi termasuk sektor kerajaan perlu tegas dalam pemantauan serta penguatkuasaan SOP pada setiap masa.

Pelaksanaan dan kepatuhan terhadap SOP oleh setiap pelancong dan penggiat industri mesti menjadi keutamaan bagi memastikan risiko jangkitan dapat diminimumkan dan operasi sektor pelancongan ini akan dapat terus dibuka.

Setiap rakyat juga perlu mengambil tahu dan peka dengan kesihatan diri melalui Penilaian Kendiri COVID-19 dengan pelaksanaan TRIIS, iaitu Test (melakukan ujian kendiri); Report (laporkan hasil ujian di MySejahtera); Isolate (pengasingan kendiri); Inform (jika positif maklumkan kepada kontak rapat) dan Seek (dapatkan rawatan segera).

Justeru, diharap agar Keluarga Malaysia dapat memanfaatkan kebenaran rentas negeri ini dengan merancang perjalanan sebaik mungkin dan tidak terburu-buru membuat pergerakan hingga mengabaikan aspek keselamatan keluarga masing-masing.

Semoga langkah kerajaan ini dapat membantu menghidupkan semula sektor pelancongan domestik dalam norma baharu kehidupan fasa endemik serta melonjakkan kembali ekonomi negara.

Kejayaan dalam pematuhan SOP ketika sempadan negeri dibuka ini, bakal menjadi petunjuk kepada langkah pembukaan sempadan negara pula, sekali gus menerima masuk pelancong dari luar negara pula yang akan dapat menjana pendapatan negara khususnya pelancongan.

Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Melaka

Berita Harian X