Jumaat, 16 Julai 2021 | 11:30am

Penubuhan RCI langkah pulih persepsi rakyat terhadap TH

PERSETUJUAN Kabinet untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu berbangkit mengenai pengurusan dan operasi Tabung Haji (TH) dari 2014 hingga 2020 pasti menggembirakan ramai pihak.

Penubuhan RCI di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) itu diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri, kelmarin.

Siasatan RCI itu akan merangkumi hasil pengauditan perunding seperti PricewaterhouseCoopers (PwC), Ernst & Young (EY) dan Roland Berger dari 2014 hingga 2020.

Antara terma RCI dipersetujui Jemaah Menteri ialah skop RCI tertumpu kepada hasil penemuan perunding ke atas isu berbangkit TH, tetapi tidak termasuk Pelan Pemulihan dan Penstrukturan yang sedang dilaksanakan masa ini.

Ia juga untuk menentukan, sama ada terdapat tindakan menyembunyikan maklumat berkaitan isu yang dibangkitkan dan perbuatan memberi kenyataan yang mengelirukan mengenainya,

Cadangan penubuhan RCI menyiasat tadbir urus baik dalam TH sudah lama dibangkitkan pelbagai pihak. Namun, cadangan berkenaan walaupun diterima baik kerajaan, tiada tindakan susulan sehinggalah persetujuan Kabinet, kelmarin.

Menyorot kembali cadangan itu, ia antara lain disebabkan ada dalam kalangan pelabur dan masyarakat Islam tidak berpuas hati kerana pelbagai dakwaan serta tuduhan seperti pembelian serta penjualan aset dan pelaburan tidak menetapi syariah dikaitkan dengan pengurusan TH.

Sehubungan dengan itu, persetujuan Kabinet untuk menubuhkan RCI ini berupaya untuk merungkaikan pelbagai dakwaan dan tuduhan yang membelenggu TH sekian lama.

Apa lebih utama, penubuhan RCI yang akan dianggotai pakar syariah, perbankan, perundangan dan perbankan itu, juga pastinya akan mengesyorkan tindakan perlu diambil bagi tujuan penambahbaikan tadbir urus TH.

Saranan dan pandangan yang akan dikemukakan nanti pasti akan diberikan perhatian pihak berwajib terutama memastikan mana-mana individu terbabit dalam penyalahgunaan kuasa akan dibawa ke muka pengadilan sekiranya dakwaan atau tuduhan itu ada asasnya.

Hakikatnya, penubuhan RCI yang keanggotaannya adalah dalam kalangan profesional adalah satu langkah tepat bagi memulihkan semula sokongan dan keyakinan masyarakat Islam terutama terhadap institusi TH.

Sebahagian masyarakat Islam sebelum ini sudah hilang keyakinan terhadap TH apabila dakwaan dan tuduhan isu salah laku serta ketidakcekapan pengurusan dibangkitkan. Terdapat sebahagian penyimpan akaun mula mengeluarkan simpanan mereka.

Malah, ada juga menyuarakan kebimbangan apakah wang simpanan mereka akan hilang, malah lebih penting apakah peluang untuk mereka menunaikan ibadah haji akan tipis ekoran dakwaan sebegitu.

Walaupun Bank Negara menyakinkan masyarakat bahawa wang simpanan mereka adalah selamat, persepsi tetap timbul akibat kebimbangan dan hilang kepercayaan tidak berkurang kerana menganggap tiada sebarang siasatan atau tindakan diambil kerajaan bagi memastikan segala tuduhan terbabit tidak berasas.

Hal ini menyebabkan TH yang mempunyai lebih 9.3 juta pendeposit mula terpalit dengan pelbagai isu apabila timbul dakwaan dan tuduhan berkaitan pengurangan aset TH, pelaburan dalam perniagaan tidak patuh syariah serta meragukan, penjualan aset kepada bukan Islam dan pengurangan dalam pembayaran hibah kepada pendeposit.

Semua dakwaan dan tuduhan ini memburukkan imej TH sebagai institusi kewangan Islam yang dihormati masyarakat Islam. Keadaan ini menjadi semakin meruncing apabila banyak laporan polis dibuat.

Ini mengakibatkan masyarakat semakin mendesak kerajaan untuk menubuhkan RCI bagi mendapat gambaran sebenar berkaitan dakwaan dan tuduhan terhadap TH.

Walaupun pernah berlaku debat terbuka antara bekas menteri bertanggungjawab dalam hal ehwal TH dan bekas Pengerusi TH, ia bukanlah mekanisme terbaik mencari jawapan kepada isu ini.

Atas kegagalan mendapatkan penyelesaian terhadap isu yang didakwa itu, pelbagai pihak termasuk orang ramai, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ahli politik menuntut kerajaan agar menubuhkan RCI secepat mungkin bagi mencari jawapan sebenar.

Justeru, penubuhan RCI ini pasti disambut baik semua pihak yang sudah menunggu agak lama agar suruhanjaya seperti ini ditubuhkan. Masyarakat pasti mengharapkan agar segala cadangan penambahbaikan dan saranan untuk mengambil tindakan kepada pihak terbabit akan diberi perhatian serius oleh kerajaan.

Sekiranya dakwaan terhadap mana-mana individu bertanggungjawab membuat pelaburan atau pembelian aset merugikan TH ada asasnya, ia perlu dibawa ke muka pengadilan dengan segera.

Walaupun proses siasatan dan seterusnya pendakwaan di mahkamah akan mengambil masa, jika sekiranya pihak bertanggungjawab dapat dikenal pasti dan didakwa, maka ia akan berupaya meningkatkan semula kepercayaan masyarakat terhadap institusi TH.

Apa yang lebih utama penubuhan RCI dan sebarang tindakan diambil terhadap semua syor suruhanjaya terbabit, meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap TH, sekali gus mendorong mereka yang sebelum ini mempunyai persepsi negatif untuk menyimpan semula dalam TH.

Ia akan memberikan keyakinan kepada mereka bahawa pihak yang akan menguruskan wang mereka lebih beramanah dan bertanggungjawab.

Justeru, penubuhan RCI ini adalah langkah terbaik kerajaan mengembalikan imej TH dan memulihkan persepsi masyarakat terhadap entiti itu sebagai insititusi kewangan Islam berwibawa dan berintegriti.

Penulis adalah Ketua Kluster Tadbir Urus dan Integriti, Majlis Profesor Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Pusat Pengajian Kerajaan Kolej Undang-Undang Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa UUM

Berita Harian X