Sabtu, 19 Jun 2021 | 11:00am
Antara cabaran dihadapi pendidik ialah memastikan pelajar fokus dan kekal mengikuti sesi PdPR. - (Foto hiasan/Danial Saad
Antara cabaran dihadapi pendidik ialah memastikan pelajar fokus dan kekal mengikuti sesi PdPR. - (Foto hiasan/Danial Saad

Perbaiki pelaksanaan PdPR 2.0 atasi isu keciciran pelajar

COVID-19 memberikan kesan besar kepada sektor pendidikan apabila lebih ramai pelajar keciciran. Tahun lalu, Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) melaporkan satu pertiga kanak-kanak dunia di negara membangun tidak mempunyai peluang untuk mendapatkan pembelajaran secara jarak jauh khususnya melalui radio, televisyen dan internet.

Di negara ini, tinjauan Kementerian Pendidikan (KPM) mengenai kesediaan murid terhadap pembelajaran dalam talian mendapati 1.85 juta murid tidak mempunyai peranti dan menghadapi masalah akses internet yang menafikan capaian kepada pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Tidak dinafikan PdPR di negara ini jika merujuk kepada Manual PdPR dikeluarkan KPM tahun ini adalah gabungan kaedah dalam dan luar talian. Namun, keciciran masih berlaku dan data mengenainya belum dikongsikan.

Dalam hal ini, KPM harus lebih proaktif bagi memastikan keciciran pembelajaran tidak terus berlanjutan sehingga berlaku senario generasi keciciran (lost generation).

Pada peringkat ini, data kehadiran pelajar sepanjang PdPR seharusnya sudah dikongsikan kerana ia masuk fasa ketiga pelaksanaannya.

Berdasarkan data ini, komuniti pendidik, ahli akademik bersama pemegang taruh lain dapat merancang pelbagai inisiatif serta tindakan bersama ke arah peningkatan kualiti PdPR.

Perkongsian data itu juga dapat mengurangkan kebimbangan terhadap keciciran pembelajaran dan penguasaan murid.

Apabila PdPR disambung lagi bermula 13 Jun lalu, masyarakat khususnya ibu bapa mula risau terhadap keciciran dan penguasaan pembelajaran anak. Perlu diakui Manual PdPR dikeluarkan KPM sebenarnya terlalu umum dan tiada panduan tepat lagi jelas mengenai pelaksanaannya.

Ketika ini kita menyaksikan kesungguhan guru menyampaikan pembelajaran dalam talian berbekalkan pengalaman dan kesediaan mereka serta pelajar untuk mengadaptasi kaedah ini. Pelbagai pendekatan, strategi dan bahan cuba diaplikasikan sejak bermula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu.

Malah, ada guru tampil membuat penyesuaian serta pengubahsuaian reka bentuk pengajaran dan pembelajaran (PdP) semata-mata untuk memenuhi keperluan pembelajaran setiap murid dalam konteks sesebuah komuniti terbabit seperti bandar, luar bandar atau pedalaman.

Bagaimanapun, saban hari pembabitan pelajar pada sesi pembelajaran di rumah semakin merosot dengan isu motivasi murid terus diperkatakan.

Kehadiran murid kurang memberangsangkan ditambah pula kekangan data, akses peranti dan capaian internet terbatas antara faktor penyumbang.

Walaupun terdapat pembelajaran luar talian menerusi modul, nota edaran mahupun DidikTV KPM dilaksanakan pada peringkat sekolah rendah hingga menengah, isu keciciran pembelajaran murid mahupun pencapaian pembelajaran murid masih menjadi tanda tanya.

Senario keciciran ini bukan hanya disebabkan keterbatasan prasarana digital dan akses komputer, bahkan menjangkaui kecekapan guru untuk mengendalikan sesi PdPR.

Berbekalkan pengalaman mengendalikan kelas secara fizikal berkapasiti 35 hingga 45 murid, guru terus mengaplikasikan pendekatan sama ketika pengendalian sesi pembelajaran dalam talian yang akhirnya menjadi sesi penerangan, menyalin nota, latihan dalam buku teks atau membaca nota serta menonton video.

Interaksi ini secara tidak langsung memberi kesan terhadap minat dan motivasi murid untuk fokus serta kekal mengikuti sesi PdPR.

KPM seharusnya memberi perhatian terhadap kemampuan guru mengaplikasikan kemahiran berkaitan menerusi beberapa siri latihan berterusan terancang dan sistematik.

Selain itu, adakah ibu sudah didedahkan dengan tatacara pengurusan PdPR? Adakah komuniti pembelajaran menyokong sarana ibu bapa sudah diwujudkan bagi memastikan gerak kerja dan panduan pelaksanaan PdPR difahami sepenuhnya sedangkan merekalah pihak sangat penting dalam memastikan kelancaran PdPR?

Mengapa tidak diteliti kerangka pembelajaran komuniti persekolahan di rumah atau home school sebagai asas untuk menggerakkan sarana ibu bapa dalam menjayakan PdPR fasa ketiga ini.

Berdasarkan kajian lepas, kejayaan komuniti pembelajaran persekolahan di rumah dalam memastikan pencapaian pembelajaran anak seiring dengan perkembangan potensi mereka.

Hari ini, ibu bapa tanpa pengetahuan khusus kepada kurikulum dan strategi pengajaran digesa untuk membantu guru serta pihak sekolah dalam membimbing anak tanpa adanya khidmat sokongan kepada mereka untuk mengendalikan sesi PdPR ini.

Oleh itu, beberapa cadangan wajar diberi perhatian. Pertama, Manual PdPR 2.0 perlu dikemas kini dan diperincikan merangkumi pelaksanaan PdPR sistematik dan terancang baik menerusi pembelajaran dalam talian mahupun luar talian.

Kedua, pembelajaran dalam talian seharusnya memberi fokus kepada konsep dan prinsip yang perlu disampaikan serta difahami semua murid. Masa pembelajaran selebihnya adalah untuk lebih memberi fokus kepada penerokaan pemahaman murid menerusi aktiviti perbincangan, kajian, eksperimen atau sumbang saran dan pembentangan projek.

Ketiga, tingkatkan kemahiran seni pengajaran pedagogi dalam talian kepada semua guru. Keempat, dapatkan perkongsian tip daripada guru yang tular di media sosial bagaimana menarik minat murid untuk fokus dan faham mengenai isi kandungan dibentangkan.

Kelima, peranan media konvensional seperti akhbar dan televisyen tidak boleh dinafikan. Televisyen misalnya boleh dicapai di mana sahaja yang perlu digunakan guru sebagai medium pembelajaran, manakala akhbar bercetak juga menyedia pelbagai modul sebagai sisipan pembelajaran dihasilkan guru pakar atau ahli akademik.

Sebenarnya, gabungan media digital dengan kaedah tradisional mampu menjadi platform penting kepada semua guru untuk melaksanakan PdPR secara formal dan tidak formal, namun ia memerlukan sokongan pelbagai pihak khususnya ibu bapa untuk menjayakannya.

Penulis adalah Pensyarah Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya

Berita Harian X