Jumaat, 18 Jun 2021 | 10:17am
Status dan kualiti air sungai perlu dititikberatkan supaya sentiasa baik dan lestari. - Foto hiasan
Status dan kualiti air sungai perlu dititikberatkan supaya sentiasa baik dan lestari. - Foto hiasan

Tadbir urus berkesan, kesedaran rakyat jamin kelestarian sungai

BERDASARKAN Kanun Tanah Negara 1965, sungai merujuk kepada mana-mana sungai, anak sungai, caruk atau lain-lain aliran air semula jadi, serta apa-apa cawangan sungai, alur, delta atau lencongan buatan daripadanya.

Pada 2020, hanya 53 peratus lembangan sungai di Malaysia dikelaskan bersih, 42 peratus tercemar dan bakinya dikategorikan tercemar teruk.

Natijahnya, pelbagai program dan kempen berkaitan sungai dijalankan, namun episod pencemaran sungai berterusan berlaku.

Di Selangor misalnya, pencemaran sungai menjadi polemik kerana sering dibabitkan dengan gangguan bekalan air. Di Kuala Lumpur pula, sungai bertukar menjadi longkang konkrit yang tiada upaya menyerap air dalam tanah, menjadikan sebahagian ibu negara sinonim dengan banjir kilat.

Memandangkan 98 peratus bekalan air tawar negara berasal daripada sungai, maka status dan kualiti air sungai perlu dititikberatkan supaya sentiasa baik dan lestari.

Umumnya, jumlah punca pencemar sungai akan meningkat selaras kepesatan pembangunan dan aktiviti perindustrian. Ia cabaran buat negara dalam memastikan kualiti sungai terjaga, selari peningkatan kualiti hidup masyarakat.

Isu krisis bekalan air berpunca pencemaran sungai perlu diberi perhatian kerana akses kepada bekalan air minuman bersih sangat penting untuk kelangsungan hidup dan kesejahteraan kesihatan rakyat Malaysia.

Pada 2021 saja, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) memperuntukkan RM89.2 juta menerusi Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) untuk pemuliharaan sungai dan mengurangkan risiko banjir di seluruh negara.

Dengan peruntukan sebegini besar, sepatutnya kesejahteraan sungai mampu dipelihara dan dipulihara.

Namun, Sungai Kim Kim di Johor yang kembali dicemari, menimbulkan persoalan sejauh mana sungai akan terus menjadi mangsa kerakusan manusia dan sampai bila ia akan berterusan.

Persoalannya, mengapa kes pencemaran sungai sering berulang walaupun terdapat tindakan dan penguatkuasaan diambil?

Sungai yang sepatutnya jernih, bertukar keruh dan kotor serta tercemar akibat perbuatan segelintir pihak. Kewujudan kilang haram dan kawasan perumahan setinggan di kawasan rizab sungai serta pertambahan penduduk, antara faktor penyumbang kemerosotan kualiti air sungai.

Pertumbuhan pesat sektor perindustrian dan projek pembangunan dijangka memberi kesan berterusan terhadap kualiti sungai, sekiranya pihak pemegang taruh tidak memberi perhatian kepada elemen menjaga kelestarian sungai.

Ternyata, elemen penguatkuasaan semata-mata tidak cukup berkesan dalam memastikan kes pencemaran sungai tidak berulang.

Malaysia sudah agak ke hadapan dari segi peraturan dan undang-undang berkaitan isu alam sekitar termasuk elemen membabitkan sungai, walaupun masih ada kelompangan perlu ditambah baik.

Yang penting, pelaksanaan undang-undang berkaitan perlu bersepadu untuk memastikan keberkesanannya demi kesejahteraan masyarakat.

Pembabitan semua agensi berkaitan dalam mengawal punca pencemaran di bawah bidang kuasa masing-masing juga amat penting, bagi mengelak isu pencemaran sungai berulang.

Ini kerana, hanya 20 hingga 25 peratus punca pencemaran di satu-satu lembangan sungai tertakluk di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974, manakala 75 hingga 80 peratus di bawah bidang kuasa agensi lain.

Justeru, penguatkuasaan terhadap punca tertakluk di bawah AKAS 1974 saja tidak mampu meningkatkan kualiti air sungai tercemar.

Ia memerlukan tindakan bersepadu semua jabatan dan agensi di bawah Kerajaan Persekutuan dan negeri bagi mengawal pencemaran punca bermula peringkat perancangan hingga semasa operasi bagi mengelakkan isu pencemaran sungai berulang.

Pemegang taruh daripada sektor pertanian, perladangan, penternakan dan perikanan pembalakan, selain industri serta penggerak projek juga perlu mempunyai kesedaran alam sekitar yang tinggi dengan membudayakan 'self-regulation' atau kawalan kendiri.

Pemaju pula perlu bertanggungjawab mengambil kira impak kepada persekitaran dan ekosistem kehidupan sebagai satu elemen yang amat penting dan tidak hanya mementingkan projek masing-masing saja.

Penguatkuasaan perundangan berkaitan pemeliharaan dan pemuliharaan sungai haruslah berkala dan tidak bertindak hanya berdasarkan aduan atau hanya selepas berlakunya pencemaran sungai.

Penguatkuasaan dan pemantauan berterusan juga harus dijalankan melalui pemeriksaan ke atas punca pencemar secara bersasar termasuk kilang, loji kumbahan dan bengkel terutama terletak di hulu loji rawatan air dan pengeluar buangan terjadual.

Kes pendakwaan terhadap pihak yang didapati mencemar sungai perlu dipercepatkan dan pemilik kilang yang menyebabkan sungai tercemar itu perlu diadili sebaik mungkin dan diberi pengajaran sewajarnya.

Operasi pemeriksaan premis besar-besaran di seluruh negara perlu berkala, disusuli rondaan termasuk waktu malam ke kawasan spesifik untuk memantau aktiviti mencurigakan atau berisiko mencemarkan sungai seperti pelepasan efluen tidak terawat, pembakaran terbuka dan pelupusan haram buangan terjadual turut disarankan.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) juga perlu melihat pelan pembangunan di kawasan masing-masing, sebelum meluluskan sebarang projek atau kegiatan bagi mengelakkan sumber air tercemar hingga menjejaskan pengguna.

Kerajaan pula perlu memeriksa status kilang di seluruh negara dengan menutup premis haram dan mengenal pasti sungai kritikal daripada segi pencemaran.

Anggota masyarakat pula perlu memainkan peranan aktif sebagai antara pemegang taruh utama dalam melaporkan kejadian pencemaran sungai.

Program Pendidikan Komunikasi dan Kesedaran Awam (CEPA) harus dipergiatkan supaya masyarakat lebih peka dengan semua aktiviti pembangunan di sekeliling mereka, khususnya yang berpotensi mencemari sungai.

Dengan ini masyarakat dapat berperanan sebagai 'mata dan telinga' kerajaan.

Program dan kempen kesedaran kepada pihak industri bagi mempertingkat tahap kesedaran terhadap kepentingan penjagaan sungai juga penting.

Kita boleh mengambil contoh pengurusan sungai terbaik diamalkan negara lain untuk diaplikasi, misalnya Jepun dan Korea yang melaksanakan kawalan pencemaran berdasarkan penetapan Jumlah Beban Harian Maksimum (TMDL). Ia berjaya memulihkan sungai mereka yang dahulunya tercemar.

Pelaksanaan TMDL mengambil kira semua punca pencemaran termasuk apa saja air buangan ke dalam sungai yang dikendalikan di bawah bidang kuasa pelbagai agensi, bukan hanya memfokus kepada premis industri yang melepaskan sisa serta loji rawatan kumbahan.

Hakikatnya, faktor pendidikan awam, pemantauan, perancangan dan penguatkuasaan adalah kunci utama memastikan kesejahteraan dan kelestarian sungai terpelihara.

Sudah sampai masanya urus tadbir, Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (IWRM) dan program kesedaran kalangan rakyat sebagai model baharu menjaga sungai dipraktis sewajarnya.

Penulis adalah Profesor Madya di Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Berita Harian X