Khamis, 18 March 2021 | 10:30am

Percaturan 3 parti Melayu tentukan survival bangsa

Tiga parti politik Melayu, iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), UMNO dan PAS dianggap cukup penting kerana secara dasarnya diharap menjadi asas serta pelindung bangsa terbesar di negara ini.

Ketiga-tiga parti ini juga akan menjadi asas kepada kestabilan politik negara kerana tidak stabilnya politik Melayu membawa makna politik Malaysia juga demikian.

Alasannya boleh diterima kerana orang Melayu dan Bumiputera ialah penduduk majoriti serta pengundi terbesar negara.

Namun, ke manakah arah perjuangan tiga parti politik utama Melayu ini? Apakah yang ingin dicapai dan matlamat utamanya? Jelaskah matlamat parti politik Melayu ini dan bagaimanakah mahu mencapai matlamatnya?

Matangkah pemikiran dan analisis falsafah serta asas sejarah politik negara difahami pemimpin utama parti politik utama orang Melayu ini?

Sehingga saat akhir ini, tiga parti utama politik Melayu berkenaan tidak dapat memberikan satu kata putus jelas. Apakah akan berlaku kerjasama antara ketiga-tiganya, khususnya antara BERSATU dengan UMNO?

Apa yang dapat dirumuskan, secara kasarnya hubungan antara BERSATU dengan UMNO tidak mesra (dengan kepemimpinan utama UMNO yang ada sekarang).

Adakah hubungan 'tidak mesra' antara UMNO dengan BERSATU akan berterusan hingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15)? Andai berterusan, kemungkinan besar ia membawa kesan buruk kepada politik bangsa Melayu.

Jalan keluar dan penyelesaian mesti dicari bagi menyatukan semua parti politik utama bangsa Melayu.

Hubungan baik antara PAS dan UMNO atas kerjasama Muafakat Nasional (MN) sebelum terbentuk Perikatan nasional (PN), perlu difikir dan dicari penyesuaian dengan suasana serta struktur parti politik semasa.

Kerjasama antara PAS dengan UMNO mempunyai asas kukuh, iaitu menyatukan parti politik Melayu bagi matlamat utama membentuk kekuatan politik orang Melayu yang dikatakan terancam ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) berkuasa.

Orang Melayu akan menjadi lemah dalam keadaan berpecah belah. PAS dan UMNO ialah dua parti politik Melayu di luar kerajaan ketika PH berkuasa.

Kerjasama PAS dan UMNO jelas menunjukkan kekuatan apabila mereka beberapa pilihan raya kecil (PRK). Calon PH kalah dan terbukti ditolak pengundi Melayu.

Percaturan baharu politik bermula Mac tahun lalu apabila kerajaan pimpinan PH runtuh dan diganti kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

BERSATU, PAS, UMNO, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan parti politik di Sabah bekerjasama membentuk gabungan baharu.

Kerjasama parti politik Melayu berubah kepada struktur baharu. Wajarkah kerjasama berasaskan MN antara PAS dengan UMNO terus statik dan tidak berubah?

Apakah MN terus kekal dengan hanya dua parti Melayu, iaitu PAS dan UMNO? Apakah perlu memasukkan semua parti politik Melayu lain (terutama BERSATU) bagi membentuk muafakat lebih besar?

Inilah persoalan besar perlu difikir dan dipecahkan pemimpin politik utama Melayu serta pengundi secara keseluruhannya.

Persoalan ini sukar dijawab, tetapi semua analisis dan pemikiran perlu dikaitkan kepada apakah matlamat dan objektif akhir politik bangsa Melayu? Apa ingin dicapai dan apakah perlu dielakkan perkara buruk daripada berulang?

Apa pun keputusan, parti utama orang Melayu perlu dikaitkan dengan matlamat akhir yang ingin dicapai. Keputusan perlu disesuaikan dengan struktur semasa parti politik Melayu.

Kerajaan yang ada sekarang pada asasnya adalah kerjasama parti utama orang Melayu (tanpa menafikan kerjasama parti politik di Sabah dan Sarawak).

Wajarkah kerjasama yang ada sekarang ditamatkan dan PRU-15 diasaskan kepada jajaran baharu berlainan daripada dibentuk, awal Mac tahun lalu?

Wajarkah parti politik Melayu, iaitu BERSATU, UMNO dan PAS berpecah sehingga bertanding secara berasingan? Katakan UMNO keluar dan bertanding bersendirian, apakah ia mampu menang dan membentuk kerajaan?

Kalau ingin bekerjasama, dengan parti politik manakah UMNO akan membentuk kerjasama? Adakah gabungan itu lebih baik daripada kerjasama membentuk kerajaan sekarang (BERSATU, UMNO dan PAS)?

Lebih utama, adakah gabungan baharu UMNO akan diterima sebahagian besar pengundi Melayu?

Sekiranya UMNO keluar dan bertanding sendirian, berapa banyak kerusi mampu dimenangi. Kemungkinan akan berlaku pertandingan tiga penjuru. Apakah pilihan utama pengundi Melayu di kawasan Parlimen majoriti Melayu?

Bagi Parlimen bukan majoriti Melayu atau peratus pengundi Melayu kecil, apakah ia akan membawa keuntungan dan kelebihan kepada kepentingan Melayu?

Ini bukan persoalan rasis dan semangat perkauman, tetapi dalam politik Malaysia isu berasaskan kaum tidak boleh diketepikan kerana ia perkiraan penting.

Satu kesimpulan mudah adalah ketiga-tiga parti politik utama ini perlu bekerjasama untuk menghadapi PRU-15.

Keburukan lebih banyak daripada kebaikan akibat berlaku perpecahan, terutama antara UMNO dengan BERSATU. UMNO boleh bertanding bersendirian, tetapi risikonya besar.

UMNO boleh bertanding di semua kerusi majoriti Melayu dengan keluar daripada kerjasama PN, tetapi jumlah kemenangan bakal dimenangi juga risiko besar.

Keputusan lebih mudah dan memungkinkan peratus kemenangan calon UMNO besar adalah bertanding di kawasan majoriti Melayu dengan kerjasama bersama BERSATU dan PAS.

Pembahagian kerusi antara tiga parti utama orang Melayu perlu diubah suai dengan struktur politik semasa negara.

Kalau sebelum PRU-14, semua kawasan majoriti Melayu milik UMNO, tetapi situasi semasa berubah.

BERSATU perlu mendapat tempat wajar dan munasabah, manakala UMNO juga perlu berkorban kerusi tradisi kerana perubahan situasi dan struktur baharu. Struktur politik sebelum PRU-14 memerlukan perubahan dan penyusunan semula.

Politik berasaskan kepartian semata-mata perlu berkorban demi kepentingan politik bangsa lebih besar dan kepentingan jangka panjang.

Kerjasama rapat parti politik utama Melayu akan menjamin kemenangan, tetapi perpecahan dan mengutamakan kepentingan parti bakal membawa risiko besar.

Perpecahan parti politik Melayu akan melemahkan politik bangsa Melayu dan membawa keuntungan kepada lawan.

Justeru, pemimpin politik Melayu perlu merenung sedalamnya dan membuat keputusan bijak demi survival bangsa serta politik jangka panjang bangsa Melayu.

Prof Madya Dr Mohd Noor Yazid

Profesor Madya di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah (UMS)

Berita Harian X