Khamis, 25 Februari 2021 | 11:01am
Setiap kursus ditawarkan IPT perlu memberi penekanan kepada program berasaskan kerja dan industri bagi meningkatkan peluang survival pelajar. - Foto hiasan
Setiap kursus ditawarkan IPT perlu memberi penekanan kepada program berasaskan kerja dan industri bagi meningkatkan peluang survival pelajar. - Foto hiasan

Semak semula kurikulum di IPT demi survival era COVID-19

MESKIPUN vaksin sudah sampai ke negara ini, ia bukan penyelesaian mutlak bagi mencorak kehidupan lebih bermakna pada masa akan datang.

Pandemik COVID-19 sebenarnya menuntut warga berfikir secara kritis dan kreatif meneruskan kelangsungan kehidupan pada era mencabar ini.

Begitu juga dengan nasib bakal graduan yang menyelesaikan pengajian pada peringkat tinggi pada musim ini. Adakah mereka bersedia mendepani kehidupan mendatang? Adakah kurikulum diajar menyediakan mereka dengan kemahiran survival ini?

Pendidikan sangat berkait kurikulum pembentukan manusia dan ke arah manakah manusia akan dibentuk. Oleh itu, tugas perancang dan pereka bentuk kurikulum sangat penting.

Merancang dan mereka bentuk kurikulum pendidikan bukan sesuatu tugas yang mudah. Kesukaran dihadapi apabila kita memerah otak untuk merancang pembelajaran atau dipanggil pengalaman pembelajaran bernilai tinggi kepada pelajar, terutama pada peringkat tinggi.

Di sini tempat pertemuan pakar pendidikan negara boleh duduk semeja berfikir menghasilkan topik, idea, gagasan dan wawasan bagi peningkatan mutu pendidikan, termasuk membuat kajian semula terhadap sistem, kualiti serta matlamat pendidikan tinggi negara.

Di sinilah juga, tempat pertemuan semua pakar untuk merancang kurikulum terbaik bagi melahirkan modal insan warganegara kita yang memerlukan banyak cabaran dalam kalangan pakar kurikulum, terutama kurikulum pendidikan tinggi.

Ke arah manakah modal insan warga pendidikan tinggi negara perlu dibawa? Apa yang kita berikan kepada pendidikan tinggi negara sepatutnya yang terbaik untuk survival bangsa sehingga 50 tahun ke hadapan.

Satu contoh paling hampir ialah sekiranya kita dapat menonton video di YouTube bagaimana penonton warganegara Jepun dalam sebuah stadium di negara luar yang mengutip sampah seusai perlawanan bola sepak dunia, boleh menjadi iktibar.

Video itu ditonton di seluruh dunia dan mereka yang menonton akan berfikir - apakah sistem pendidikan yang membolehkan mereka berkelakuan sedemikian?

Apabila merancang kurikulum, sama ada pada peringkat rendah atau tinggi, pakar pendidikan tidak dapat tidak akan merujuk dua model utama dalam perancangan kurikulum iaitu Model Tyler dan Model Taba.

Model Tyler memberi penekanan kepada empat soalan iaitu apakah matlamat pendidikan ingin dicapai, bagaimanakah pengalaman pembelajaran dipilih bagi mencapai matlamat ini, bagaimanakah pengalaman pembelajaran diorganisasikan untuk mencapai pembelajaran berkesan dan bagaimanakah pencapaian hasil pembelajaran dinilai.

Model Taba pula, menambah beberapa lagi aktiviti dalam merancang kurikulum, antaranya memasukkan kajian pasaran dijalankan terlebih dahulu terhadap keperluan sesebuah program.

Dalam hal ini, penulis ingin menyoroti pengalaman dalam merancang beberapa program pendidikan tinggi di sesebuah institusi.

Sudah pasti dasar di samping amalan baik diguna pakai Kementerian Pengajian Tinggi dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) merancang serta melaksanakan kurikulum, wajib dirujuk.

Antaranya matlamat program dari segi objektif pembelajaran program (PEO) dan hasil pembelajaran program (PLO) yang menyokong Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) serta Society 5.0.

Dari segi struktur program pula, bagi meningkatkan pengalaman pembelajaran pelajar, kandungan kurikulum perlu dimasukkan kursus yang memberi penekanan kepada kemahiran abad ke-21 iaitu kemahiran berfikir secara kritikal, kreatif, kemahiran komunikasi dan kolaborasi.

Setiap program juga perlu memberi penekanan kepada program berasaskan kerja dan industri seperti dua tahun belajar di universiti dan dua tahun bekerja di industri tertentu (2U 2i) serta program pembelajaran berasaskan pengalaman.

Program kurikulum ini perlu juga sentiasa dinilai penilai luar dan dalam bagi meningkatkan kualiti program. Justeru, memasukkan elemen berkaitan pandemik dalam kurikulum perlu diambil kira bagi meningkatkan peluang survival pelajar.

Antaranya ialah kemahiran keusahawanan yang sememangnya wajib dimasukkan dalam hasil pembelajaran pelajar apabila program mengikut panduan kerangka kelayakan Malaysia 2.0 (MQF 2.0).

Sebenarnya, pelbagai pengalaman pembelajaran pendidikan tinggi negara dirancang bagi meningkatkan survival bangsa sebelum pandemik.

Antaranya perlu bersifat hibrid contohnya dwimajor, program perlu bersifat global, program dengan penekanan SULAM (Service Learning Malaysia-University for Society), pendekatan pembelajaran heutagogi, peergogi dan sibergogi serta pentaksiran alternatif seperti pentaksiran berasaskan projek, portfolio dan pentaksiran autentik juga perlu dilaksanakan.

Namun, semua perancangan ini memerlukan pelaksanaan kurikulum yang betul. Individu terbabit pelaksanaan kurikulum akan menjadi pemain utama dalam menguruskan kejayaan sesebuah kurikulum.

Antaranya staf akademik iaitu individu paling penting dan vital dalam memastikan kejayaan pelaksanaan program dengan pengetahuan, kemahiran dan pengalaman dimiliki.

Era COVID-19 memerlukan semakan semula perancangan dan pelaksanaan kurikulum dalam mana-mana program pendidikan tinggi lebih menyeluruh.

Antaranya penerapan pelbagai teknologi dalam pembelajaran baharu seperti pembelajaran digital terkini, memperkenalkan beberapa kemahiran baharu yang menggunakan teknologi seperti kemahiran perniagaan dalam talian dan memasukkan elemen kemahiran berfikir kritis dan kreatif yang lebih banyak.

Satu daripadanya ialah seperti disarankan alat berfikir CoRT4 oleh Edward de Bono.

Akhir sekali, adakah tugas universiti untuk melahirkan pekerja yang mahir atau warga yang baik?

Dalam hal ini, kita perlu mengimbas kembali falsafah pendidikan global diikuti, sama ada perenialisme iaitu menyediakan pendidikan bagi membolehkan mahasiswa menjadi manusia atau esensialisme (penekanan kepada menyediakan modal insan dengan pengetahuan utama) atau progresivisme (aktiviti penerusan kehidupan masa kini) atau rekonstruksionisme iaitu penekanan kepada keadilan masyarakat.

Jika dilihat survival bangsa pada era COVID-19, tidak dapat dinafikan keutamaan kepada kurikulum bersifat progresif perlu diutamakan.

Falsafah pendidikan ini menuntut modal insan mencipta pengetahuan baharu dan membuat eksperimen serta mencari penyelesaian masalah.

Hal ini bersesuaian dengan survival era COVID-19 yang menuntut manusia sentiasa berhadapan masalah dan mencari penyelesaiannya.

Penulis adalah Ahli Pertubuhan Pembangunan Penyelidikan dan Dasar Pendidikan Tinggi (PenDaPaT), Universiti Utara Malaysia (UUM)

Berita Harian X