Khamis, 18 Februari 2021 | 11:00am
Program DidikTV KPM membolehkan ibu bapa turut menonton bersama, menyemak dan melihat hasil kerja sekolah anak. - Foto Malai Rosmah Tuah /BH
Program DidikTV KPM membolehkan ibu bapa turut menonton bersama, menyemak dan melihat hasil kerja sekolah anak. - Foto Malai Rosmah Tuah /BH

Saluran DidikTV KPM bantu pelaksanaan PdPR lebih berkesan

Murid menjadi antara golongan amat terkesan dengan pandemik COVID-19. Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bertujuan membendung penularannya, menyebabkan institusi pendidikan terpaksa ditutup termasuk sekolah harian, berasrama penuh, antarabangsa dan pusat tahfiz.

Pada masa sama, Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang bertujuan memastikan kesinambungan pendidikan tidak dapat dilaksanakan secara menyeluruh, apatah lagi pada masa singkat.

Justeru, Kementerian Pendidikan (KPM) berusaha melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membendung risiko keciciran murid ketika mengikuti proses PdPR dengan menggunakan pelbagai teknologi untuk memastikan kesinambungan pembelajaran.

Terkini, saluran khusus TV Pendidikan melalui DidikTV KPM yang dilancarkan semalam, dilihat berupaya membantu dan melengkapkan pelaksanaan PdPR lebih berkesan.

Usaha ini akan memberi impak positif kepada lebih lima juta murid di negara ini, khususnya kepada mereka yang tiada akses kepada pendidikan secara dalam talian.

DidikTV KPM sebenarnya kesinambungan pelbagai program KPM yang mula dilaksanakan sejak tahun lalu dan ditambah baik bagi memastikan setiap murid tidak ketinggalan dalam pembelajaran dan mendapat akses pendidikan lebih berkualiti.

Platform DidikTV KPM ini dilihat dapat memperkasakan budaya ilmu dalam kalangan masyarakat sesuai dengan norma baharu. Ia disasarkan secara terancang, menyeluruh dan berfokus bermula daripada akar umbi, iaitu kanak-kanak pada peringkat prasekolah hingga ke menengah.

Bahan pembelajaran yang disediakan mengikut silibus kurikulum dan kokurikulum KPM, di samping menerapkan elemen didik hibur sebagai nilai tambah bagi memenuhi keperluan murid.

Kandungan bahan pembelajaran secara digital yang mengandungi elemen teks, gambar, audio, video dan animasi pasti menarik minat untuk kekal fokus belajar serta memenuhi pelbagai gaya pembelajaran murid.

Menerusi saluran DidikTV KPM, proses PdPR lebih interaktif dan berpusatkan murid dapat dilaksana bagi memastikan mereka mencapai hasil pembelajaran yang diharapkan.

Cara penyampaian pengajar santai, mudah difahami dan kreatif dilihat antara faktor kejayaan DidikTV KPM. Pengajar ialah guru cemerlang berpengalaman luas dan terlatih dalam bidang mata pelajaran masing-masing serta memiliki kemahiran, kepakaran dan sangat komited dalam menyampaikan kandungan pengajaran.

Lebih penting, saluran DidikTV KPM ini disiarkan di seluruh negara dan boleh dicapai secara offline, percuma serta boleh diulang siar bila-bila masa menerusi aplikasi ASTRO. Program ini disiarkan setiap Isnin sehingga Jumaat bermula jam 7 pagi hingga 12 tengah malam dan pelaksanaannya secara berjadual.

Usaha penting ini diharap dapat memastikan setiap murid dapat mengikuti proses PdPR yang dilaksanakan dan mengatasi isu keciciran atau ketinggalan murid dalam pelajaran semasa tempoh pandemik ini.

Kebanyakan keluarga dalam masyarakat kini mampu memiliki sekurang-kurangnya sebuah televisyen serta mendapat siarannya. Maka tidak hairanlah saluran televisyen dilihat berupaya menjadi platfform utama dalam menyampaikan kandungan pembelajaran secara terus berbanding penyampaian dalam talian.

Antara isu yang dikenal pasti semasa pelaksanaan PdPR dalam talian adalah tiada capaian internet atau jika ada, capaiannya lambat, kekangan bilangan peranti elektronik tidak mencukupi dalam keluarga, kos pembiayaan peranti elektronik serta yuran langganan internet tinggi.

Justeru, DidikTV KPM diharap dapat mengatasi semua masalah yang sudah dikenal pasti itu, malah ia tidak menambah beban kewangan kepada keluarga.

Impaknya, isu pelaksanaan PdPR semasa pandemik ini dapat ditangani, sekali gus mengatasi isu keciciran murid dalam pembelajaran. Secara tidak langsung, usaha ini dapat merapatkan jurang digital murid antara bandar dengan luar bandar.

Bagi ibu bapa, menerusi saluran DidikTV KPM ini akan memudahkan mereka memantau aktiviti PdPR anak berbanding penggunaan telefon pintar.

Ibu bapa juga boleh meluangkan masa menonton bersama, mengikuti proses PdPR dan menyemak hasil kerja anak. Secara tidak langsung, hubungan kekeluargaan menjadi lebih erat, menerapkan nilai murni dalam keluarga dan masalah sosial dapat dibendung apabila murid dapat mengikuti pembelajaran secara terancang.

Saluran DidikTV KPM ini juga dapat mengurangkan bebanan ibu bapa untuk menyediakan peranti elektronik kepada setiap anak bersekolah, terutama mereka dalam kalangan keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dan miskin yang berdepan dengan masalah tiada peranti atau capaian internet.

Secara tidak langsung, usaha ini dapat menangani kemelut kos kehidupan seharian bagi setiap keluarga ketika berdepan dengan pandemik. Ini juga dapat memastikan usaha untuk membentuk keluarga bahagia serta masyarakat intelektual dan sejahtera dapat direalisasikan.

Diharap semua pemegang taruh khususnya murid, guru dan ibu bapa memberikan sokongan padu dalam melaksanakan tanggungjawab ini bagi memastikan kelangsungan serta kejayaan agenda besar pendidikan negara.

Ini dapat memastikan kita berupaya melahirkan generasi pewaris negara lebih cemerlang bagi memenuhi aspirasi negara. Ia selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menghasratkan pembangunan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis.

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Pendidikan, Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris

DidikTV Road To Success SPM (2020): https://www.youtube.com/playlist?list=PLL9CnO8V-9tvp_AF9MyM2eGttS6TjITng

Berita Harian X