Isnin, 15 Februari 2021 | 11:01am
Pelaksanaan SOP ketat dalam kalangan pekerja sektor industri dan bekerja dari rumah antara strategi memastikan penularan pandemik COVID-19 dapat dikawal. - Foto hiasan
Pelaksanaan SOP ketat dalam kalangan pekerja sektor industri dan bekerja dari rumah antara strategi memastikan penularan pandemik COVID-19 dapat dikawal. - Foto hiasan

Pendekatan ergonomik tangani cabaran bekerja norma baharu

Prosedur operasi standard (SOP) membabitkan sektor industri di negara ini dibangunkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) adalah sebagai langkah keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

Laporan KKM menjelaskan gelombang ketiga pandemik COVID-19 di negara ini, sebahagian besarnya disumbang jangkitan tempat kerja. Ini dapat dilihat pada pertambahan drastik kluster tempat kerja dengan nilai kes melebihi 60 peratus.

Seawal Disember tahun lalu, kerajaan mulai agresif melakukan saringan kepada pekerja asing. Operasi pemeriksaan tempat kerja secara mengejut juga dilakukan bagi mengenal pasti premis industri tidak mengikut langkah pencegahan disyorkan.

Ergonomik ditakrifkan sebagai suatu bidang saintifik mengkaji dan memahami saling hubung manusia dengan persekitaran sistem kerja merangkumi fizikal, kognitif, psikososial dan organisasi.

Pengoptimuman interaksi antara kedua-dua komponen ini menghasilkan sistem kerja terbaik. Matlamat ergonomik mengurangkan ralat manusia, kecederaan, penyakit dan meningkatkan produktiviti serta kualiti.

Pendekatan ergonomik dalam membentuk kelaziman baharu pekerjaan ketika dan pasca pandemik COVID-19 nanti, mencakupi aspek pengurusan menyeluruh dimulai aspek perancangan organisasi seterusnya peringkat pelaksanaan praktikal.

Dengan kata lain, ergonomik membantu mengharmonikan saling hubung manusia dengan keperluan, keupayaan dan batasan semasa bekerja dalam sistem kerja.

Justeru, operasi sektor industri dibuka dengan mengambil kira faktor pekerja yang masih bersikap berhati-hati, bimbang dan gelisah serta bagaimana strategi majikan dalam menepati syor MKN dan KKM.

Maka di sini ergonomik berperanan membantu majikan dalam merancang kelaziman baharu bekerja. Terdapat dua pendekatan ergonomik dikupas, iaitu ergonomik makro dan mikro.

Ergonomik makro memberi tumpuan aspek pekerjaan secara holistik, manakala ergonomik mikro tertumpu terhadap aspek pekerjaan individu dan persekitaran tempat kerja mereka.

Mengoptimumkan pekerjaan merangkumi aspek fizikal, psikologi, kognitif dan psikososial dengan penerapan sistem menyeluruh. Pendekatan sistem sosioteknikal atas bawah dalam mereka bentuk kerangka pengurusan pekerjaan tertumpu kepada faktor organisasi bagi memastikan keberkesanan prestasi kerja.

Faktor diambil kira seperti penetapan dasar, pembentukan dan penyusunan organisasi merangkumi struktur, ciri-ciri individu, peranan serta tanggungjawab; perancangan dan pengurusan organisasi (jadual kerja, turunan kuasa dan kaedah komunikasi).

Strategi bermula dengan penetapan dasar organisasi ketika dan pasca pandemik COVID-19. Hala tuju dan visi pengurusan organisasi perlu jelas dan difahami segenap lapisan kakitangan.

Perihal ini penting supaya perkara diputuskan pihak pengurusan diterima golongan bawahan dan tidak menimbulkan konflik organisasi kelak. Kesinambungan hala tuju dan visi pengurusan organisasi diteruskan dengan pembentukan prosedur pengurusan perubahan terhadap prosedur standard organisasi.

Situasi pandemik COVID-19 dengan ketidakpastian dan perubahan drastik pelbagai perkara memberi tekanan kepada pihak pengurusan dalam penetapan dan pelaksanaan sistem kerja mengikut arahan dari semasa ke semasa pihak berkuasa.

Ketika dan pascapenularan pandemik COVID-19, sebahagian besar prosedur dan proses pekerjaan berubah sama sekali. Dengan adanya rancangan pengurusan perubahan, ia mampu meminimumkan konflik dan kecelaruan prosedur serta pelaksanaan sistem kerja lebih tersusun.

Bekerja dari rumah juga adalah norma baharu menjadi amalan sebahagian besar organisasi seluruh dunia ketika ini. Ia memberi impak terhadap sesebuah organisasi apabila pekerja tidak dapat hadir secara fizikal ke tempat kerja.

Kerajaan mengesyorkan pelaksanaan operasi industri dengan SOP tertentu memberi ruang kepada organisasi membuat pertimbangan antara bekerja dari rumah dan bekerja di tempat kerja.

Perkara diberi penekanan dalam memastikan pekerja mampu bekerja dari rumah merangkumi prinsip stesen kerja ergonomik, disiplin, jadual kerja, etika dan amalan ketika aktiviti dalam talian.

Majikan perlu menyalur maklumat membolehkan pekerja merancang kaedah bekerja dari rumah dengan berkesan. Antara input perlu diketahui pekerja ialah skop bekerja dari rumah, waktu diskusi dalam talian, kaedah penyediaan stesen kerja di rumah, kelengkapan dalam erti kata prinsip ergonomik.

Maklumat berbentuk buletin ergonomik boleh disebarluaskan kepada pekerja melalui media sosial atau medium rasmi organisasi. Perkembangan teknologi komunikasi digital membolehkan penyebaran maklumat lebih interaktif.

Contohnya, taklimat dalam talian bekerja dari rumah oleh majikan menggunakan diskusi dua hala yang memberi impak lebih positif berbanding media massa berbentuk buletin dan poster semata-mata.

Peranan majikan dalam mengatur jadual bekerja praktikal ketika bekerja dari rumah disyorkan supaya pekerja memahami rentak pekerjaan baharu, sekali gus mengelak isu tekanan psikologi dan psikososial pekerjaan menjurus kepada masalah kesihatan mental.

Majikan perlu memahami cabaran dihadapi pekerja ketika bekerja dari rumah. Jadual kerja dirancang perlu menitikberatkan keanjalan pekerja membuat pilihan dan mengatur pendekatan sesuai dengan keadaan mereka di rumah.

'Waktu Kerja Anjal' adalah terbaik dengan pendekatan tertentu yang serasi dengan amalan sesebuah organisasi.

Realitinya, pandemik COVID-19 memberi impak kepada rakyat Malaysia. Sektor industri terjejas teruk dan ramai hilang pekerjaan. Kerajaan bertungkus-lumus memastikan penularan pandemik COVID-19 dapat dikawal.

Pendekatan ergonomik dalam merencana strategi bekerja dengan kelaziman baharu membantu pengurusan industri menyediakan tempat kerja selamat dan sihat.

Penulis adalah Penyelidik dan Perunding Faktor Manusia dan Ergonomik di Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Selangor

Berita Harian X