Rabu, 10 Februari 2021 | 10:30am
Rakyat Palestin Belanda sekian lama tertindas oleh kekejaman tentera Zionis.
Rakyat Palestin Belanda sekian lama tertindas oleh kekejaman tentera Zionis.

Hujah pakar Malaysia di ICC buktikan Palestin berdaulat

Pada 5 Februari lalu, Kamar Pra-Perbicaraan I, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) menyampaikan keputusan majoriti panel hakim bersidang bahawa ia mempunyai bidang kuasa di Palestin.

Keputusan ini membuka jalan untuk ketua pendakwa institusi terbabit, Fatou Bensouda, memulakan penyiasatan tuduhan kekejaman terhadap rakyat Palestin.

Bensouda sebelum ini mengumumkan hasrat pejabat pendakwa raya ICC atau OTP memulakan penyiasatan formal terhadap tuduhan jenayah perang di Tebing Barat, Baitulmaqdis Timur dan Semenanjung Gaza.

Namun, disebabkan status Palestin sebagai wilayah diduduki dan dipersoalkan statusnya sebagai negara berdaulat, Bensouda menunggu hakim untuk 'mengesahkan' jika institusi beribu pejabat di Den Haag itu, memiliki wewenang untuk menyiasat dan seterusnya mendakwa rejim Zionis.

Palestin menggunakan status negara pemerhati Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), diperoleh pada 2012, untuk menganggotai ICC dan meminta penyiasatan dimulakan terhadap tindakan Israel.

Rejim Israel pula berpendapat Palestin sebagai bukan negara penuh, tidak boleh dibenarkan mengemukakan petisyen di mahkamah.

Namun, dalam penghakiman dikeluarkan Jumaat, sementara majoriti hakim ICC menjelaskan pengadilan tidak mengambil sikap atas perselisihan sempadan, hakim menyatakan wilayah pengadilan itu termasuk 'wilayah' diduduki Israel sejak 1967, iaitu Gaza dan Tebing Barat, termasuk Baitulmaqdis Timur.

Fakta itu menolak hujah Israel, dengan menyatakan Palestin 'berhak' diperlakukan seperti pihak negara lain atas undang-undangnya.

Perkembangan ini permulaan penting bagi langkah membawa Israel ke muka pengadilan, sejajar hasrat Bensouda menyiasat insiden terjadi ketika perang Gaza 2014 antara Israel dengan Hamas.

Inisiatif ini juga dapat diperluas untuk memastikan ICC dapat menyiasat tragedi pembunuhan lebih 200 rakyat Palestin, termasuk lebih 40 kanak-kanak oleh rejim Israel, dalam demonstrasi di sepanjang Semenanjung Gaza.

Selain itu, Bensouda berpendapat ada 'asas munasabah' untuk mempercayai pihak berkuasa Israel melakukan kejahatan perang dengan memindahkan orang awam Israel ke Tebing Barat untuk tinggal di penempatan.

Konvensyen Geneva 1949 ditandatangani selepas Perang Dunia Kedua melarang pemindahan orang awam dari wilayah diduduki.

Perkembangan positif ini amat dinanti-nantikan pelbagai pihak khususnya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat dunia yang sangat mendambakan keadilan khususnya buat rakyat Palestin yang sekian lama dizalimi serta masyarakat dunia yang cintakan keamanan.

Bagi gerakan NGO di negara ini, keputusan penghakiman itu membuka dimensi baharu dalam sejarah aktivisme hak asasi manusia, khususnya buat Yayasan MyAQSA, iaitu NGO terbabit secara langsung dalam proses perundangan menghasilkan keputusan ICC itu.

MyAQSA diterima sebagai amicus curiae oleh Kamar Pra-Perbicaraan I ICC untuk mengemukakan hujah bagi membantu ICC membuat keputusan.

Amicus curiae bermaksud seseorang individu atau organisasi dipanggil untuk mengemukakan pendapat pakar mereka mengenai perkara menjadi topik perbicaraan di mahkamah.

Istilah ini ialah ungkapan dalam bahasa Latin dan secara harfiah bermaksud 'sahabat mahkamah'. Tujuan amicus curiae untuk membantu mahkamah dengan memberikan penjelasan yang mungkin penting untuk penyelesaian sesuatu kes.

Fungsinya juga dicirikan untuk menarik perhatian mahkamah terhadap fakta tidak diberikan perhatian.

Peranan MyAQSA bermula seawal 2018 apabila mengilhamkan penubuhan pasukan perundangan khas untuk membawa kes ini ke ICC.

Sebuah lagi NGO, iaitu Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA) membantu beberapa aspek penyiasatan awal insiden pencerobohan terjadi ketika perang Gaza 2014 antara Israel dan Hamas.

Pada 2 Mei 2019, delegasi MyAQSA diketuai pengerusinya, Suwardi Yaacob, mengadakan siri pertemuan penting dengan wakil pelbagai bahagian di ICC di The Hague, Belanda.

Ini termasuk masing-masing wakil daripada Bahagian Sokongan Guaman, Kerjasama Antarabangsa dan Analisis Situasi, OTP.

Siri pertemuan itu diadakan sebagai susulan penghantaran nota komunikasi MyAQSA kepada OTP pada 17 Oktober 2018 mengenai desakan untuk mendakwa rejim Israel atas pelanggaran Resolusi 2334, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC) yang diluluskan Disember 2016.

Resolusi 2334 ialah keputusan masyarakat dunia signifikan dalam perjuangan membela nasib rakyat Palestin.

Bagi Malaysia, resolusi itu melakar sejarah tersendiri apabila negara kita menjadi satu dari empat negara menaja, seterusnya berjaya memperoleh sokongan sebulat suara melalui undi 14-0 di UNSC.

Selanjutnya pada 21 Februari tahun lalu, MyAQSA dibenarkan pihak ICC untuk berperanan sebagai amicus curiae dan pihak MyAQSA diminta menyediakan hujah berkaitan yang perlu dihantar kepada ICC sebelum 16 Mac.

Ia detik bersejarah bagi MyAQSA selaku satu-satunya organisasi di Asia yang diterima ICC sebagai amicus curiae bagi membantu mahkamah mengemukakan hujah.

Fungsi itu juga satu cabaran besar buat MyAQSA kerana tujuh negara dan berpuluh organisasi lain juga membuat permohonan sama, tetapi berhujah untuk menyokong Israel.

Dengan berkat sokongan Kedutaan Palestin di Malaysia dan sokongan pasukan pakar perundangan dianggotai Prof Datuk Dr Rahmat Mohamad, Lukman Sheriff Alias, Prof Madya Dr Mohd Hisham Mohd Kamal, Dr Fareed Mohd Hassan, Wan Rohimi Wan Daud, Ahmad Edham Abdulwani dan Azril Mohd Amin, MyAQSA mampu menyediakan hujah membuktikan Palestin sebuah negara berdaulat, justeru ICC mempunyai bidang kuasa untuk menyiasat tuduhan jenayah perang dilakukan terhadapnya.

Pencapaian ini bukti kemampuan NGO tempatan bersaing dan berhujah di persada perundangan antarabangsa.

Inisiatif ini tidak terhad kepada sekadar tindakan berdemonstrasi atau mengeluarkan kenyataan mengkritik kekejaman Israel, tetapi membuktikan peguam, ahli akademik dan aktivis hak asasi manusia kita mempunyai kepakaran dan pengalaman mampu berhujah membantu institusi kehakiman antarabangsa seperti ICC untuk mencapai keadilan bagi masyarakat dizalimi seperti rakyat Palestin.

Ini naratif hak asasi manusia sebenar yang jarang diuar-uarkan media Barat.

Dengan keputusan ICC ini, semoga peranan Malaysia sebagai negara yang sering ke hadapan dalam melindungi dan membela hak asasi manusia rakyat Palestin yang sekian lama tertindas akan kembali bersinar dan berupaya mengangkat kembali keadilan sejagat ke persada lebih baik.

Azril Mohd Amin

Aktivis hak asasi manusia dan antara peguam penyiasat menganggotai pasukan perundangan MyAQSA di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di The Hague, Belanda

Berita Harian X