Isnin, 11 Januari 2021 | 10:30am
PENGUNDI perlu patuh prosedur operasi standard (SOP) yang ketat ketika pilihan raya bagi mengelakkan penularan pandemik COVID-19.
PENGUNDI perlu patuh prosedur operasi standard (SOP) yang ketat ketika pilihan raya bagi mengelakkan penularan pandemik COVID-19.

Pastikan pandemik terkawal sebelum laksana PRU-15

Ketika peningkatan jumlah kes harian COVID-19 membimbangkan, rekod baharu mencatatkan lebih 3,000 kes sehari, ada parti politik menggesa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dapat diadakan pada suku pertama tahun ini.

Dengan memberikan perbandingan negara berjaya mengadakan pilihan raya pada musim pandemik, pelbagai reaksi diberikan parti pemerintah dan pembangkang.

Sebagai perbandingan, pilihan raya di Singapura pada 10 Julai tahun lalu dan New Zealand (17 Oktober) berjaya berlangsung dengan tiada peningkatan kes COVID-19 ketara.

Jika kita lihat semula, ketika pilihan raya diadakan di Singapura, kes ketika itu terkawal. Jumlah kes mendadak naik sebelum pilihan raya berkenaan adalah dalam kalangan pekerja asing yang tinggal di asrama pekerja.

Tindakan agresif kerajaan Singapura menjejak, mengasing, mengkuarantinkan dan merawat mereka berjaya mengekang penularan wabak itu.

Di New Zealand, perintah berkurung dibuat sebelum pilihan raya dan penangguhan pilihan raya selama empat minggu berjaya menghalang penularan.

Skala pilihan raya di negara berkenaan lebih kecil jika dibandingkan dengan pilihan raya umum (PRU) sekiranya diadakan di negara ini.

Kita lihat pula bagaimana pilihan raya boleh menyebabkan peningkatan kes secara mendadak. Contohnya, pilihan raya presiden di Amerika Syarikat (AS) mencatatkan peningkatan mendadak.

Buat kali pertama, AS mencatatkan jumlah kes lebih 100,00 sehari dan selepas hari ketiga, jumlah kes meningkat kepada 130,000 kes. Hari ini, jumlah kes harian terbaru hampir mencecah 300,000 kes sehari.

Pilihan raya berkenaan juga menyaksikan penyandangnya, Donald Trump kalah yang antara sebab kekalahan ialah rakyat melihat beliau gagal menangani masalah COVID-19 dengan baik. Beliau sendiri dijangkiti COVID-19 dalam tempoh berkenaan.

Pilihan Raya Negeri (PRN) di Sabah juga membuktikan peningkatan kes berlaku, bukan hanya di negeri itu, bahkan kluster terjadi di Semenanjung dalam kalangan mereka mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah.

Dengan kadar kebolehjangkitan sekarang dengan nilai RO sebanyak 1.12, kita dijangkakan mencatatkan jumlah kes harian sebanyak 3,000 kes sehari pada Februari.

Dengan nilai RO 1.1 juga, jumlah kes dijangka mencecah 8,000 kes sehari pada minggu keempat Mei. Lebih membimbangkan lagi sekiranya nilai R0 meningkat lebih daripada itu, tentulah kadar peningkatan kes harian lebih tinggi akan dicatat lebih awal.

Bercakap risiko jangkitan COVID-19 dan peningkatan kadar kes harian, masa sesuai untuk pilihan raya dibuat dijangkakan apabila lengkuk epidemik dapat dilandaikan dan nilai R0 kurang 0.5.

Cara paling berkesan mengurangkan nilai R0 ialah melalui pemberian vaksin.

Jadi, waktu paling sesuai adalah apabila sekurang-kurangnya 70 peratus rakyat mendapat imunisasi supaya imuniti kelompok terhasil. Perlu diingat, kebanyakan vaksin memerlukan dua dos dan juga sela masa untuk imuniti terhasil.

Jika parti politik berasakan pilihan raya perlu juga dilakukan, apa kata kita sama-sama berusaha keras menurunkan R0 dengan cara mengadakan kempen kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan menjaga prosedur operasi standard (SOP) dan menunjukkan contoh baik kepada masyarakat.

Kempen kesedaran vaksin juga perlu ditingkatkan supaya lebih ramai bersedia menerimanya. Lebih banyak kempen sebegini dilakukan, lebih mudah kita mengekang penularan wabak COVID-19.

Sekiranya pilihan raya tidak dapat dielakkan atas sebab Perlembagaan atau untuk menjamin kestabilan politik, mengukuhkan ekonomi bagi menarik pelabur, terutama pelabur asing kembali melabur dan memulihkan ekonomi rakyat, garis panduan dan SOP ketat perlu dibuat.

Pemahaman dan pematuhan garis panduan adalah mandatori untuk semua, sama ada calon mahupun penyokong parti serta rakyat.

Perhimpunan perlu dielakkan, manakala pergerakan antara negeri juga dihadkan. Kempen secara elektronik melalui media sosial dan khidmat pesanan ringkas (SMS) cara terbaik mengelakkan pertemuan fizikal. Norma baharu dalam berkempen bagi pilihan raya perlu bersesuaian ketika pandemik ini.

Model pilihan raya di Singapura dan New Zealand agak berbeza dengan model di negara ini. Namun, kerajaan diharap memberikan perhatian serius terhadap pilihan raya di Singapura.

Walaupun menggunakan peti undi, proses pendaftaran menggunakan sistem dalam talian dan waktu pengundian dipanjangkan hingga 10 malam bagi mengurangkan kesesakan di pusat pengundian.

Sistem kempen mereka juga berbeza mengunakan media elektronik termasuk televisyen dan juga media sosial.

Justeru, pilihan raya wajar ditangguh hingga jumlah kes terkawal, sekurang-kurangnya selepas imuniti kelompok dapat dicapai. Garis panduan baharu serta proses pilihan raya selamat perlu bagi menjamin penularan wabak tidak berlaku.

Di samping itu, semua pihak perlu berganding bahu membantu mengurangkan penularan COVID-19, tanpa mengira fahaman politik.

Dr Mohd Dzulkhairi adalah pakar perubatan kesihatan awam dan Dr Nurul Azmawati adalah pakar mikrobiologi klinikal dari Universiti Sains Islam Malaysia

Berita Harian X