Selasa, 17 November 2020 | 11:01am

Perkasa teknologi hijau ke arah alam sekitar lestari

PEMERKASAAN teknologi hijau seiring teknologi terkini seperti Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0) untuk mengurangkan kesan pencemaran daripada sisa buangan sebagai contohnya kertas dan plastik.

Contoh implementasi teknologi hijau ialah penjagaan alam sekitar dengan mengurangkan penggunaan kertas dalam kehidupan seharian, termasuk di tempat kerja. Dunia juga mengiktiraf 6 November sebagai hari tanpa kertas.

Penggunaan kertas tanpa had dan kawalan akan mengakibatkan kemusnahan alam sekitar. Jika tidak dibendung, ia akan meningkatkan penghasilan karbon dioksida yang menyebabkan peningkatan pemanasan global lebih pantas.

Malaysia sendiri pernah digelar 'tong sampah dunia' apabila negara maju membuang sisa plastik mereka ke negara ini.

Mengikut Bank Dunia, pada 2016, 242 juta tan sampah plastik dihasilkan secara global, iaitu 12 peratus daripada semua sisa pepejal perbandaran. Sisa ini berasal daripada tiga wilayah iaitu 57 juta tan dari Asia Timur dan Asia Pasifik, 45 juta tan dari Eropah dan Asia Tengah, manakala 35 juta tan lagi dari Amerika Utara.

Jika pembuangan sisa plastik tak terkawal, ia akan mengakibatkan pembebasan kimia yang akan mendatangkan pencemaran dan penyakit. Bahan kimia dibebaskan daripada pembakaran plastik akan merosakkan organ dalaman manusia.

Ekosistem hutan, air sungai dan laut serta haiwan menerima kemudaratan akibat pembuangan sisa plastik dan sisa buangan tidak terurus.

Umum tahu, kepelbagaian kertas penting kerana ia digunakan setiap hari untuk pelbagai tujuan di seluruh dunia. Mengikut Statistik, pengeluaran global kertas dan kadbod berjumlah kira-kira 419.7 juta tan pada 2017. Lebih separuh pengeluaran disebabkan kertas pembungkusan, sementara hampir satu pertiga disebabkan kertas grafik.

Tiga negara pengeluar terbesar dunia ialah China, Amerika Syarikat (AS) dan Jepun - menyumbang lebih separuh pengeluaran kertas dunia. Negara pengimport dan pengeksport pula Jerman dan AS.

Bagaimanapun ada dasar untuk penjagaan alam sekitar yang selari dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) seperti Tindakan Cuaca, Tenaga Bersih dan Mampu Milik, Penggunaan dan Pengeluaran yang Bertanggungjawab, serta Pendidikan Berkualiti.

Pertama, penggunaan dan pengeluaran yang bertanggungjawab untuk pemulihan alam sekitar perlu difahami dan dilaksanakan.

Smarcities World melaporkan strategi dan insentif Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk dasar tanpa kertas Dubai dilaksanakan bertujuan bagi mengubah perkhidmatan dan operasi menjadi 100 peratus digital dan mengurangkan penggunaan kertas dengan lebih daripada satu bilion lembar setiap tahun di sektor kerajaan.

Projek ini akan menjimatkan 130,000 pokok dan 40 jam setiap orang setahun yang dibelanjakan untuk melaksanakan transaksi kertas, setara AED900 juta (RM1.01 bilion).

Oleh kerana kertas diklasifikasikan sumber boleh diperbaharui, pemulihan sangat penting dalam industri ini. Kertas antara banyak bahan, mempunyai kadar kitar semula tertinggi.

Di AS, hampir 53 juta tan kertas dan kertas karton pendek ditemui pada 2018. Kadar pemulihan kertas dan karton di AS adalah 68.1 peratus pada 2018, dua kali ganda berbanding 1990 dengan kurang daripada 34 peratus.

Kedua, tindakan cuaca memastikan kitar semula kertas mengurangkan pelepasan gas rumah hijau yang menyebabkan pemanasan global dengan tiga cara penting mengikut Gabungan Kertas Kitar Semula AS.

Kitar semula kertas menghalang pelepasan metana daripada tapak pelupusan. Apabila kertas tidak dikitar semula, 80 peratus kertas berakhir di tapak pelupusan sampah. Penguraian kertas di tapak pelupusan sampah menghasilkan metana, gas rumah hijau dengan 21 kali daya perangkap haba karbon dioksida.

Agensi Perlindungan Alam Sekitar (EPA) AS mengenal pasti tapak pelupusan sebagai satu-satunya sumber pelepasan metana terbesar negara itu dan penguraian kertas penyumbang terbesar metana dihasilkan. Ringkasnya, semakin kurang kertas, semakin kurang metana dikeluarkan.

Kitar semula kertas menjadikan lebih banyak pokok hidup dan dapat menyerap lebih banyak karbon dioksida. Kertas kitar semula 100 peratus tidak memerlukan pokok untuk dihasilkan.

Ketiga, tenaga bersih dan mampu milik dikaitkan penggunaan tenaga daripada solar, angin, hidro untuk penghasilan tenaga elektrik yang berpotensi digiatkan dan dilaksanakan dengan lebih meluas di Malaysia.

Penghasilan kertas secara konvensional sudah pasti menggunakan tenaga elektrik tinggi.

Keempat, pendidikan berkualiti. Ia menekankan betapa pentingnya penjagaan alam sekitar menerusi pembaziran kertas perlu dididik kepada anaksejak kecil.

Cara mendidik secara aktiviti menggunakan teknologi digital tanpa kertas, pembuangan sampah yang betul, mengelakkan penggunaan bahan plastik dan menyantuni alam sekitar dan penjagaan kebersihan.

Di samping itu, konsep 3R (Guna Semula, Kurang dan Kitar Semula) perlu ditekankan menerusi pelbagai teknologi digital dan kandungan multimedia yang mudah difahami masyarakat.

Dalam konteks Malaysia, Belanjawan 2021 dibentangkan berkait rapat pembiayaan Dasar Teknologi Hijau 3.0. RM2 bilion diperuntukkan mampu merangsangkan lebih banyak pelaksanaan dan inovasi untuk manfaat negara.

Sektor perkhidmatan awam harus menyahut seruan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dan kerajaan untuk implementasi teknologi hijau. Sebagai contoh, jabatan perlu melaksanakan penggunaan teknologi digital untuk menggantikan kertas sepenuhnya dalam jadual berkala.

Ini lebih menjimatkan kos pembelian kertas dan memanfaatkan teknologi digital untuk menyimpan segala dokumen dan maklumat. Institut Jantung Negara (IJN) sebagai contohnya dalam pelaksanaan pelan tujuh tahun untuk beroperasi sebagai hospital tanpa kertas.

Dicadangkan satu pangkalan data khusus dan seragam untuk menyimpan semua dokumen jabatan kerajaan dapat direka bentuk dan dibangunkan, diuji dan diimplementasi dengan hasrat mengurangkan penggunaan kertas.

Segala memo, surat, dokumen, sijil, waran, dasar dapat disimpan dan dibuat salinan pada peranti pelayan di dalam pengkomputeran awan, serta boleh diakses bila-bila masa dengan cepat dan pantas.

Penggunaan teknologi IR4.0, data raya menerusi aplikasi sains data, mekanisasi dan automasi, dapat dimanfaatkan dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk mengakses dokumen dalam bentuk kluster yang dipilih dengan lebih pantas bagi tujuan laporan dan audit.

Ini semua tidak memerlukan kertas dicetak dan kaedah ini dapat mengelakkan pembaziran kos pembelian dan penggunaan kertas.

Penggunaan plastik juga perlu dikurangkan dengan segera dengan pengenalan Dasar Plastik Negara. Ia perlu diperhebatkan kerajaan.

Realitinya, tindakan melestarikan alam sekitar harus dipandang serius semua pihak. Aspirasi UNESCO yang seiring matlamat Belanjawan 2021 harus dikaji dan difahami, seterusnya diimplementasi untuk memperkasakan teknologi hijau.

Sasarannya ke arah Malaysia lebih sejahtera dan alam sekitar kekal terpelihara serta lestari untuk generasi sekarang dan akan datang.

Penulis adalah Profesor Madya di Jabatan Komputeran Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif, Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI)

Berita Harian X