Ahad, 15 November 2020 | 11:30am
KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Pengeluaran Akaun 1 bersasar langkah tepat

ISU pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sering muncul apabila rakyat menghadapi tekanan kewangan. Isi rumah menghadapi dua masalah utama iaitu tiada simpanan tunai dan hutang perumahan tinggi khususnya membabitkan golongan B40 dan M40.

Ia kesan peningkatan kos sara hidup dan pinjaman perumahan terutama di bandar akibat kos memiliki rumah yang tinggi.

Setiap kali krisis kewangan, kerajaan akan menggunakan KWSP sebagai saluran membantu rakyat. Contohnya, potongan caruman wajib dua peratus dan pengeluaran i-Lestari.

Jadi, tidak hairanlah KWSP menjadi sasaran untuk selesaikan masalah kewangan kerana hanya itu simpanan mandatori dipunyai pekerja di Malaysia, walaupun cuma ada 6.5 juta pencarum dari 15.5 juta tenaga kerja di negara ini.

Objektif KWSP ditubuhkan bagi membantu pekerja memiliki simpanan hari tua. Jangka hayat rakyat Malaysia meningkat kepada 77 tahun dan 79 tahun buat lelaki serta wanita. Persaraan wajib adalah pada usia 60 tahun.

Justeru, hampir 20 tahun mereka memerlukan simpanan kewangan itu, namun masalahnya kebanyakan hanya bertahan untuk empat hingga lima tahun. Maka, wang KWSP sepatutnya jangan diganggu hingga tiba hari tua.

Sudah pasti jika pengeluaran Akaun 1 KWSP dibenarkan, suntikan ekonomi akan berlaku melalui perbelanjaan yang dapat merangsang ekonomi. Itu tidak dinafikan.

Perbelanjaan isi rumah penyumbang terbesar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) iaitu sekitar 60 peratus. Namun, untuk yang masih bekerja, kerajaan memberi pengurangan dua peratus dari 11 peratus. Ini juga menyuntik rangsangan kepada ekonomi.

Untuk yang kehilangan pekerjaan atau dikenakan potongan gaji, mereka masih ada simpanan i-Lestari untuk pengeluaran RM500 sebulan sehingga Disember 2021. Ini juga menyuntik dan merangsang ekonomi.

Namun, jika semua penyelesaian berpunca daripada KWSP, pasti simpanan hari tua akan berkurangan dengan banyak.

Jika digunakan untuk membayar hutang, ia masih membantu ekonomi negara cuma kesan bergandanya kurang berbanding untuk perbelanjaan yang dilihat lebih berkesan merangsang ekonomi seperti diuar-uarkan.

Maka, lebih sesuai pengeluaran sekali gus ini tidak dibenarkan kerana ia membataskan ekonomi secara optimum. Nilai besar atau kecil RM10,000 adalah relatif bergantung profil pencarum.

Perlu diketahui hanya 22 peratus jumlah pencarum mempunyai simpanan lebih RM200,000. Nilai RM10,000 itu pula adalah lima peratus daripada RM200,000, maka ia jumlah besar kepada majoriti pencarum KWSP.

Jika kerajaan membenarkan juga pengeluaran Akaun 1, dicadangkan diberi mengikut peratusan, iaitu lima peratus daripada jumlah simpanan Akaun 1 mereka.

Ini lebih praktikal dan sesuai tanpa menggalakkan mereka yang mempunyai simpanan bawah RM50,000 menjejaskan simpanan hari tua mereka. Pencarum juga masih boleh mengeluarkan simpanan Akaun 2 untuk pembelian rumah, pendidikan dan sakit kronik.

Secara peribadi, langkah membenarkan pengeluaran RM500 untuk tempoh seperti diumumkan tepat sekali kerana bagi golongan kehilangan pekerjaan, sudah ada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan sebagainya.

Wang KWSP untuk hari tua. Jangan fikir nanti bila tiada wang simpanan, kerajaan akan memberi lagi bantuan kepada mereka.

Kita bukan negara membangun dengan sistem percukaian tinggi pada kadar 40 hingga 50 peratus seperti Australia serta negara Scandinavia lain, di mana kerajaan boleh menanggung termasuk menyediakan jaringan sosial.

Malaysia tidak mampu ke arah itu lagi. Jumlah dibenarkan RM500 untuk 12 bulan sudah cukup banyak sekiranya ada hanya RM10,000 dalam Akaun 1 dan pastinya tidak mungkin bagi yang kurang simpanannya.

Soal dividen tinggi, KWSP sering tekankan supaya pengurus dana persaraan itu dapat pulangan yang tinggi setiap tahun. Selari dengan itu, ramai mahu mengeluarkan KWSP setiap kali ada masalah kewangan.

Dalam pelaburan ini, satu kehendak yang sukar dipenuhi iaitu mahukan pulangan tinggi setiap tahun, tetapi dikurangkan prinsipal simpanan.

Kita mesti praktikal dan harus faham bukan mudah bagi KWSP memberi pulangan tinggi setiap tahun terutama mengambil kira situasi sekarang, ditambah keadaan ekonomi domestik serta global dalam kedudukan sangat mencabar.

Dari sudut strategik pula, pengurangan wang mengecilkan saiz dana diamanahkan kepada KWSP. Ini akan meminimumkan bargaining power (kuasa rundingan) antara KWSP dengan pengurus dana untuk mendapatkan pulangan optimum. Pastinya ia membimbangkan.

Penulis adalah Penganalisis Ekonomi di UniKL Business School

Berita Harian X