Isnin, 2 November 2020 | 11:00am
Kebijaksanaan Seri Paduka memanggil mesyuarat khas Raja-Raja Melayu dalam menangani isu berkaitan adalah dialu-alukan. - Foto hiasan
Kebijaksanaan Seri Paduka memanggil mesyuarat khas Raja-Raja Melayu dalam menangani isu berkaitan adalah dialu-alukan. - Foto hiasan

Seri Paduka bertindak ikut Perlembagaan

PADA Ahad minggu lalu, negara menyaksikan satu keputusan terpenting dalam sejarah tanah air sejak merdeka. Yang di-Pertuan Agong selepas bermesyuarat dengan Raja-Raja Melayu, tidak memperkenankan permintaan Perdana Menteri untuk perisytiharan darurat. Keputusan ini julung-julung kali berlaku di negara ini.

Walaupun keputusan ini disambut baik majoriti rakyat, sudah tentu ia mengejutkan kerajaan. Pada pengamatan ahli undang-undang, Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri atau Menteri seperti diperuntukkan dalam Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Atas alasan itu, seorang peguam memfailkan kes memohon mahkamah untuk menentukan sama ada Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa budi bicara menolak permintaan Perdana Menteri untuk satu perisytiharan darurat pada Jumaat lalu.

Peguam ini memohon supaya mahkamah merujuk kepada Perkara 40 dan Perkara 150 mengenai hak serta kuasa Agong untuk membuat perisytiharan darurat selepas diminta berbuat demikian oleh Jemaah Menteri.

Beliau juga memohon mahkamah untuk menentukan keabsahan pindaan kepada Perkara 150 (8) yang memasukkan peruntukan bahawa mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa bagi mendengar kes selepas keputusan dibuat Yang di-Pertuan Agong dalam perkara berkaitan darurat.

Secara umumnya, Perkara 40 (2) memperuntukkan Agong mempunyai budi bicara dalam tiga perkara. Pertama, perlantikan seseorang sebagai Perdana Menteri pada hemat baginda mendapat sokongan majoriti perwakilan dalam Dewan Rakyat di Parlimen (tertakluk kepada Perkara 43 (1), (2) & (a)).

Kedua, tidak memperkenankan pembubaran Parlimen selepas diminta berbuat sedemikian oleh Perdana Menteri. Ketiga, meminta diadakan mesyuarat Majlis Raja-Raja membabitkan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-Raja dan apa-apa tindakan hasil daripada mesyuarat berkenaan serta dalam apa-apa hal lain disebut dalam Perlembagaan.

Apa yang menjadi kesamaran dalam Perkara 40 (2) itu ialah peruntukan 'dan dalam apa-apa hal lain yang disebut dalam Perlembagaan.'

Pakar Perlembagaan dan perundangan berbeza pendapat dalam hal ini. Bagi mereka yang menyokong Yang di-Pertuan Agong hendaklah mengikut nasihat Jemaah Menteri untuk mengisytihar darurat mengikut Perkara 150 adalah kerana Perkara 40 (2) memperuntukkan sedemikian.

Oleh itu, Yang di-Pertuan Agong tidak boleh menolak permintaan perisytiharan darurat oleh Jemaah Menteri.

Bagi mereka yang berpendapat Yang di-Pertuan Agong mempunyai budi bicara dalam perkara berkaitan darurat sama ada memperkenankan atau tidak, merujuk kepada peruntukan di hujung Perkara 40 (2) 'dan dalam apa-apa hal lain yang disebut dalam Perlembagaan' dan hak prerogatif baginda dalam memperkenankan permohonan perisytiharan darurat selepas berpuas hati atas keperluannya seperti diperuntukkan dalam Perkara 150 (1) dan (2).

Ini dikuatkan dengan kes Stephen Kalong Ningkan yang diputuskan pada 1968. Mahkamah Agong dalam keputusan majoriti memutuskan Yang di-Pertuan Agong boleh mengisytiharkan darurat apabila baginda berpuas hati untuk berbuat demikian bagi memastikan keadaan negara stabil dan aman.

Keputusan majoriti menyatakan baginda mempunyai kuasa mutlak dalam perkara berkaitan dengan darurat.

Ini bertepatan dengan ungkapan Almarhum Sultan Azlan Shah: "Seorang Raja itu tetaplah dia seorang Raja, tanpa mengira sama ada yang bersifat mutlak atau berperlembagaan. Yang membezakannya cuma Raja Mutlak memiliki kuasa yang tidak terbatas, manakala kuasa Raja Berperlembagaan pula ditakrifkan di dalam Perlembagaan.

"Tetapi adalah tidak tepat jika kita mengatakan bahawa peranan Raja adalah seperti seorang Presiden yang tertakluk ketat kepada peruntukan Perlembagaan sahaja. Peranan Raja mengatasi perkara di dalam Perlembagaan."

Bagi mereka yang menyatakan tindakan Yang di-Pertuan Agong menyalahi Perlembagaan kerana pada pengamatan mereka, baginda hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri seperti dalam peruntukan Perkara 40 (1) & (1A).

Tambahan lagi, hak budi bicara Yang di-Pertuan Agong hanya dalam tiga perkara seperti disebut itu seperti diperuntukkan dalam Perkara 40 (2).

Mereka merujuk kepada kes Teh Cheng Poh pada 1979. Privy Council memutuskan bahawa mengikut konsep Raja Berperlembagaan sesuatu tindakan dibuat Yang di-Pertuan Agong adalah atas nasihat Jemaah Menteri kecuali dalam perkara diberi dalam Perlembagaan. Ini termasuk dalam perkara berkaitan darurat.

Privy Council juga memutuskan tindakan Yang di-Pertuan Agong tidak boleh atas kehendaknya sendiri, tetapi tertakluk kepada peruntukan dalam Perkara 40 (1) di mana baginda hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri.

Jadi, mengikut keputusan Teh Cheng Poh, Yang di-Pertuan Agong hendaklah membuat perisytiharan darurat selepas mendapat nasihat Jemaah Menteri.

Persoalan seterusnya, apakah tindakan Yang di-Pertuan Agong, Ahad minggu lalu itu, berlawanan dengan keputusan berkenaan? Apakah keputusan ini mengikat baginda?

Sebenarnya, Yang di-Pertuan Agong bertindak mengikut Perlembagaan dan tidak menyimpang daripada keputusan kes diputuskan di mahkamah. Keputusan dalam kes Teh Cheng Poh walaupun terkemudian dan pada lazimnya mengikat, tidak semestinya tidak tepat.

Tindakan Yang di-Pertuan Agong tidak memperkenankan permintaan perisytiharan darurat adalah selari dengan keputusan kes Stephen Kalong Ningkan dan mengikut ketetapan Perkara 150 (1) bahawa baginda boleh membuat perisytiharan darurat selepas berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku yang menyebabkan keselamatan, kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya terancam.

Perkara 150 (2) memperuntukkan Yang di-Pertuan Agong juga boleh bertindak sedemikian sebelum sebenarnya berlaku kejadian mengancam keselamatan, kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya jika baginda berpuas hati kejadian sedemikian hampir benar berlaku.

Apa menghairankan, peguam itu memfailkan kes mempertikaikan kesahihan tindakan Agong. Perkara 150 (8) (a) memperuntukkan tindakan Yang di-Pertuan Agong muktamad dan konklusif serta tidak boleh dicabar dan dipersoalkan di mana-mana mahkamah atas apa alasan sekalipun.

Tambahan pula, Perkara 150 (8) (b) memperuntukkan mahkamah tidak mempunyai sebarang bidang kuasa untuk melayan atau memutuskan apa-apa permohonan, soal atau prosiding dalam apa-apa jua bentuk dalam keputusan yang dibuat baginda dalam perkara berkaitan darurat.

Meskipun begitu, ada pihak mempertikaikan kesahihan Perkara 150 (8) kerana ia dimasukkan selepas pindaan ini dibuat dengan memasukkan peruntukan tindakan Yang di-Pertuan Agong tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah selepas kes Teh Cheng Poh diputuskan.

Mengambil ungkapan Sultan Azlan Shah dalam kupasannya, tindakan Yang di-Pertuan Agong tidak semestinya apa tersurat dalam Perlembagaan.

Ini dapat dilihat apabila baginda memanggil Raja-Raja Melayu untuk sama-sama memberi pandangan sebelum mengambil satu-satu keputusan dalam perkara besar dan yang mempunyai implikasi besar kepada rakyat serta negara.

Kebijaksanaan baginda memanggil mesyuarat khas Raja-Raja Melayu dalam menangani isu ini adalah dialu-alukan walaupun tidak ada peruntukan jelas untuk berbuat demikian dalam Perkara 38 (Majlis Raja-Raja).

Tambahan pula, membaca peruntukan dalam Perlembagaan hendaklah secara holistik dan harmoni kerana sesuatu peruntukan berkait rapat dengan peruntukan lain.

Ia tidak boleh dibaca secara literal dan berasingan. Apa tersurat dalam Perlembagaan juga perlu diambilkira.

Akhirnya, sesuatu tindakan Yang di-Pertuan Agong dalam perkara berkaitan dengan darurat ialah hak prerogatif baginda dan tidak boleh dipertikaikan mana-mana pihak termasuk dicabar mana-mana mahkamah.

Penulis adalah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Kajian Tinggi Islam Antarabangsa (IAIS) Malaysia

Berita Harian X