Seperti dijangka, senarai penuh anggota Kabinet kerajaan negeri Sabah yang diumum kelmarin, mengesahkan beberapa realiti politik.
Meskipun jelas kabinet Gabungan Rakyat Sabah (GRS) ini memperlihatkan dominasi Perikatan Nasional (PN), demi kestabilan politik - seperti mana yang berlaku Putrajaya - Kabinet kerajaan GRS memastikan tiada satu pun parti yang tertinggal.
Apa yang jelas, Kabinet Sabah yang dibentuk ini mengiktiraf peranan besar komponen GRS. Bukan sahaja Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), UMNO, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Progresif Sabah (SAPP), ia juga mengambil kira Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas.
Usaha mengukuhkan kestabilan politik ini turut dipanjangkan kepada ADUN Lantikan daripada etnik Cina.
Meskipun majoriti pengundi Cina menolak GRS ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, ini menunjukkan kepekaan yang tinggi kerajaan negeri kepada suara akar umbi.
Tahap kepekaan ini jugalah yang membawa kepada pengiktirafan sumbangan besar PAS melalui lantikan Dr Aliakbar Gulasan, sebagai ADUN Lantikan.
Meskipun pada awalnya desas-desus lantikan ini mendapat tentangan daripada komponen GRS, pemilihan Setiausaha Badan Perhubungan PAS Sabah itu dilihat sebagai langkah yang tepat.
Sebagai anak jati Sabah, pendekatan politik beliau yang dilihat sederhana dan mencerminkan fabrik sosiobudaya Sabah, diakui sendiri oleh Presiden STAR, Dr Jeffrey Kitingan. Lagi pun, PAS sendiri bukan asing lagi kepada komponen GRS.
Dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis yang berlangsung Januari lalu, PAS berkongsi pentas yang sama dengan STAR dan PBS ketika membantu kemenangan Datuk Mohamad Alamin daripada UMNO. Keberkesanan kerjasama ini kemudian terbukti dalam PRN Sabah yang lalu.
Pendek kata, jasa dan sumbangan PAS ini tidak boleh dipandang enteng. Oleh itu, jika lantikan etnik Cina ke dalam kabinet GRS dialu-alukan, maka lantikan ADUN PAS juga wajar menerima layanan serupa.
Tambahan pula, pemilihan ADUN Lantikan PAS ini juga pasti akan menyumbang kepada pengukuhan sokongan PAS kepada Putrajaya.
Selanjutnya, senarai Kabinet ini juga menggambarkan usaha penstrukturan semula pentadbiran. Ketiadaan beberapa portfolio lama seperti Kementerian Kesihatan, Kementerian Pelajaran dan Menteri Undang-Undang membayangkan kerajaan GRS mahu mengelak pembaziran sumber dan duplikasi kuasa agensi Persekutuan di Sabah.
Ini akan membantu melicinkan pentadbiran negeri apabila proses birokrasi pentadbiran dan pembangunan hal ehwal pendidikan serta kesihatan Sabah dapat diselaras dengan lebih cekap. Lagi pun, dengan desentralisasi pentadbiran sedia ada, tiga portfolio ini juga tidak banyak kesan dan fungsi dalam pentadbiran kerajaan negeri sebelum ini.
Namun, penstrukturan semula pentadbiran ini menyebabkan pewujudan beberapa portfolio baharu seperti Menteri Tugas-Tugas Khas yang diberi kepada ADUN Membakut, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif.
Portfolio ini bukan sesuatu yang asing. Sebelum ini pun, Tan Sri Musa Aman ketika menyandang kedudukan sebagai Ketua Menteri Sabah, pernah melantik bekas Naib Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Bobbey Suan, menerajui portfolio sama dalam senarai awal Kabinet beliau pada Mei 2018, sebelum ia tumbang dan diganti kerajaan Parti Warisan Sabah (WARISAN) pimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein juga pernah menjawat jawatan sama pada peringkat Persekutuan pada 2017. Hari ini, Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Mastura Mohd Yazid, pula memegang portfolio itu di Jabatan Perdana Menteri.
Persoalannya sekarang, apakah bidang tugas sebenar Mohd Aripin dalam Kabinet Sabah? Persoalan ini menjadi besar apabila Kabinet GRS ini turut mengandungi 20 pembantu menteri.
Kabinet GRS memiliki 11 kementerian. Sembilan daripadanya mempunyai dua pembantu menteri, manakala dua lagi hanya ada seorang pembantu menteri. Zahirnya, oleh kerana setiap kementerian sudah ada setiausaha tetap masing-masing, apakah pula bidang tugas semua pembantu menteri ini?
Apa yang dibimbangi, ia hanya akan menyebabkan lebih banyak lapisan birokrasi, duplikasi tugas dan pertindihan kuasa. Ini belum mengambil kira jawatan lantikan politik yang dibawa menteri, timbalan menteri dan barisan pembantu menteri ini kelak.
Apa pun persoalannya, ia tidaklah begitu penting kerana ini adalah sesuatu yang teknikal. Yang mustahak sekarang, ialah cara bagaimana kerajaan negeri baharu ini akan menangani wabak COVID-19 demi melindungi nyawa dan periuk nasi rakyat.
Mungkin takdir, sebaik Kerajaan Persekutuan Perikatan Nasional (PN) ditubuhkan, ia berhadapan dengan gelombang pertama wabak COVID-19. Hari ini, kerajaan Sabah yang baru dibentuk ini juga turut berdepan dengan gelombang wabak COVID-19.
Kerajaan Sabah pimpinan Datuk Seri Hajiji Mohd Noor, sepertimana Tan Sri Muhyiddin Yassin di Putrajaya, mesti berkerja keras untuk menangani ancaman wabak ini.
Ia mesti segera bertindak dan melaksana apa jua yang dijanjikan semasa PRN Sabah ke-16 yang lalu. Hajiji tidak boleh gagal.
Penulis adalah Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sabah